Datuk Zainul Rijal Abu Bakar

Kenyataan media Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM), Datuk Zainul Rijal Abu Bakar.

1. PERSATUAN Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM) menzahirkan kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana pada hari ini Jemaah Menteri Malaysia telah pun terbentuk sebaik sahaja mendapat perkenan daripada Yang Di Pertuan Agong. Hal ini menamatkan spekulasi beberapa hari tentang siapa yang akan dilantik sebagai anggota Jemaah Menteri.

2. PPMM merakamkan setinggi tahniah kepada semua Menteri Kanan, Menteri dan Timbalan Menteri yang dilantik sebentar tadi. PPMM mengingatkan jawatan-jawatan yang dilantik itu merupakan tanggungjawab yang perlu dipikul, amanah yang perlu dilunaskan serta beban yang wajib dilaksanakan.

3. Sebagai Jemaah Menteri yang menjalankan kuasa Yang DiPertuan Agong menurut Perlembagaan Persekutuan perlu sentiasa menginsafi sumpah Yang Di Pertuan Agong memelihara Islam pada setiap masa. Tanpa mengira agama, anggota Jemaah Menteri mestilah mempertahankan Perlembagaan Persekutuan khususnya kedudukan istimewa agama Islam, orang Melayu dan Raja-Raja Melayu.

4. PPMM juga mengajak semua rakyat Malaysia dan Jemaah Menteri agar menumpukan perhatian kepada pembangunan negara selepas ini. Isu politik sudah terlalu masak dibicarakan sehingga hari ini sehingga kita meminggirkan pembangunan negara walaupun negara sedang berada di dalam kemelut ekonomi, kesihatan dan pembangunan sosial.

5. PPMM juga mengingatkan Jemaah Menteri agar tidak mengulangi kesilapan yang lalu. Barisan Jemaah Menteri perlu mendengar dari setiap rakyat termasuklah NGO Islam. Mereka bukan hanya perlu mendengar apa yang mereka ingin dengar sahaja tetapi apa yang patut mereka dengar walaupun mungkin ia pahit.

Advertisement

6. PPMM juga memohon agar Jemaah Menteri tidak hanya memberi tumpuan kepada pihak berkaitan politik sahaja tetapi juga merasai denyut nadi rakyat walaupun mereka tidak mendatangkan keuntungan politik kepada Jemaah Menteri.

7. PPMM sekali lagi mengucapkan tahniah kepada semua Menteri Kanan, Menteri dan Timbalan Menteri, PPMM bersedia membantu mana-mana Jemaah Menteri sekiranya mereka memerlukan sebarang bantuan khususnya dari sudut perundangan.

8. Namun begitu PPMM tetap akan memberi penghargaan kepada pihak kerajaan sekiranya melakukan kebaikan dan akan terus memberi kritikan membina jika sebarang tindakan kerajaan dilakukan bercanggah dengan undang-undang.

9. Akhirnya PPMM mendoakan agar Kerajaan ini diberkati Allah swt, mendapat bimbingan dari para alim ulama agar tidak tersasar dari landasan agama serta berkekalan demi kebaikan agama bangsa dan tanah air.

10. Semoga kita sama-sama dapat membangunkan negara tercinta kita ini berpaksi kepada jatidiri negara serta aspirasi kita bersama.

DATUK ZAINUL RIJAL ABU BAKAR Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM).

Advertisement
Please follow and like us:

Author / Editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *