Mulai esok (22 Mac) tentera akan membantu polis menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan hingga 31 Mac. (Gambar hiasan : Astro Awani)

NEGARA kita berada dalam darurat walaupun tidak diisytiharkan Darurat oleh Yang DiPertuan Agong. Negara kita berada dalam keadaan mencemaskan dan segala yang menjurus usaha  mengekang penularan virus Covid-19 semestinya disokong.

Berdepan dengan serangan virus yang bertalu-talu ini ,  kita sepatutnya tidak ada masa lagi untuk berpolitik – mencari kelemahan lawan untuk mengaut faedah politik.  Ini bukan sahaja suatu yang sangat tidak sihat dalam budaya politik malah menggadai nyawa orang ramai.

Semua maklum bahawa serangan virus bahaya yang mengorban lapan nyawa di negara ini bukan perkara kecil. Biarpun ia berlaku ketika kemuncak krisis politik hingga bertukar Perdana Menteri dari Pakatan Harapan (PH) kepada Perikatan Nasional (PN), masalah yang dihadapi negara adalah tanggungjawab bersama.

Etika berpolitik matang ada had dan sempadannya. Pertentangan ideologi politik tidak sepatutnya mewujudkan penentangan dalam semua perkara lebih-lebih lagi yang bersangkutan dengan kepentingan masyarakat.  Walaupun mungkin memberikan keuntungan politik tetapi sangat tidak bermaruah pihak yang mengambil kesempatan itu.

Tentulah tidak elok lagi mendukacitakan apabila ada beberapa pemimpin pembangkang mengaitkan wabak ini dengan kerajaan yang dilabelkan sebagai ‘pintu belakang.’  Inilah realiti taraf pemikiran sesetengah ahli politik kita yang tidak dapat membezakan waktu sesuai untuk berpolitik dan bekerja untuk masyarakat.

Doktor dan jururawat bertungkus lumus menangani penularan wabak Covid-19 hingga sanggup bertugas berbelas jam sehari. (Gambar: The Star)

Orang ramai boleh berfikir bahawa wabak ini tidak ada kena mengena dengan perubahan pentadbiran daripada blok Pakatan Harapan (PH) kepada Perikatan Nasional (PN).  Ketika warga Kementerian Kesihatan terutama doktor dan jururawat terpaksa bekerja berbelas jam sehari kerana Covid-19,  ayam di atas tunggul reput asyik berkokok menyalahkan orang itu dan ini kepada media luar negara.

Suatu yang tidak boleh diterima mempolitikkan segala yang berkaitan dengan usaha kerajaan menangani Covid-19.  Daripada tidak setuju menggunakan khidmat tentera untuk membantu polis hinggalah perkara-perkara remeh yang sememangnya tidak diutamakan ketika kecemasan.

Apakah salahnya kerajaan menggunakan khidmat tentera?  Bukannya tentera kerahkan semua aset pertahanannya untuk berdepan dengan orang ramai.  Kehadiran tentera bukan hendak berperang dengan sesiapa tetapi membantu polis menguatkuasakan Perintah Larangan Pergerakan.

Ternyata hal ini sengaja dipolitikkan oleh pihak yang berkepentingan.  Sedangkan sebelum ini bukan tidak pernah tentera membantu orang kampung mendirikan jambatan, rumah dan sebagainya. Begitu juga ketika berdepan musibah banjir,  bukan tidak pernah tentera turut memberikan sumbangan. Kenapa tidak dijadikan isu hingga menggunakan media antarabangsa untuk menghentam kerajaan?

Advertisement

Ada pemimpin pembangkang  menganggap tindakan Majlis Keselamatan Negara (MKN) menggunakan khidmat tentera sebagai tidak masuk akal.  Akal siapa?  Akal beliau atau akal anggota MKN? Kalau benar beliau berakal lebih tinggi sudah tentu tidak membangkitkan perkara-perkara yang tidak menjurus kepentingan orang ramai.

Temubual ini disiarkan oleh saluran berita antarabangsa kelmarin. Beliau beruntung kerana berkokok ketika kerajaan bertungkus lumus memerangi virus Covid-19. Beliau terus berpolitik tanpa mengira keadaan.  Tidak bolehkah membantu pihak berkuasa walaupun bertentangan ideologi politik?  

Kalaupun tidak setuju menggunakan khidmat tentera, beliau dengan kedudukan yang kononnya sangat dihormati tidak sepatutnya mempelekeh   MKN yang dianggotai oleh  antaranya Perdana Menteri, Menteri Kesihatan,  Menteri Dalam Negeri, Menteri Pertahanan, Ketua Setiausaha Negara,  Panglima Angkatan Tentera dan Ketua Polis Negara.

Menteri Pertahanan,  Panglima Angkatan Tentera dan Ketua Polis Negara yang mempunyai hubungan langsung dalam hal ehwal keselamatan tentunya mempunyai alasan kukuh menggunakan khidmat tentera. Ini ‘membantu’ polis  dan bukannya memberi kuasa kepada tentera untuk mengatkuasakan Perintah Larangan Pergerakan.

Ahli politik memanglah tidak dapat dipisahkan dengan suatu yang mempunyai faedah politik. Tetapi berpada-padalah berpolitik,  kalau keadaan tidak sesuai dan menjejaskan kepentingan umum, simpan dulu peluru-peluru untuk musuh politik.

Tidak elok mengambil kesempatan dalam keadaan yang kacau bilau di mana jumlah mereka yang dijangkiti bertambah dan kematian juga meningkat – hari ini sudah lapan orang. Wajar atau tidak menggunakan khidmat tentera sebenarnya isu kecil. Kelihatan besar apabila dijadikan bahan politik. Cukup-cukuplah. Jangan cetus kekeliruan kepada masyarakat. – KU SEMAN KU HUSSAIN

Advertisement
Please follow and like us:

Author / Editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *