Kerajaan lambat bertindak menyekat kemasukan pelancong dari negara yang diserang Covid-19 terutama China. (Gambar The Star)

MEMERANGI wabak Covid-19 menuntut keputusan yang tepat dan pantas.  Ini satu-satunya wabak yang begitu cepat menular dan kini lebih tiga suku negara di dunia terjejas teruk kerana Covid-19. China yang menjadi punca virus ini telah bertindak pantas – dari negara yang mencatat paling banyak kematian hingga tidak ada kes terbaru.

China mencatatkan 81,171 kes,  3277 kematian dan 73,159 yang dijangkiti virus ini telah pulih dan semalam (Isnin) hanya pertambahan 78 kes baru.  Pada awal Februari lalu,  China mencatatkan lebih 30,000  kes  dengan 811 kematian.

Ketika ini Itali menjadi negara mencatat jumlah kematian paling tinggi iaitu 6,077 orang dan pada Isnin sahaja 602 orang yang dijangkiti meninggal dunia. Antara yang menyebabkan kegagalan perintah larangan pergerakan keingkaran sesetengah warganya. Berlaku perpindahan besar-besaran dari kawasan wabak ke kawasan tidak ada wabak dan sebaliknya.

Ternyata perintah larangan pergerakan yang begitu ketat dan tegas di China antara yang menyumbang pengurangan kes baru. Malah China pada Januari lalu ketika jumlah kes sekitar 30,000 telah mengambil tindakan menutup wilayah Wuhan. Tidak ada aliran keluar dan masuk ke wilayah wabak.

Tetapi Malaysia masih selesa ketika kes di China sudah mencecah lebih 30,000.  Kerajaan ketika itu masih tergagau dan tidak ada hala tuju untuk berdepan dengan Covid-19 yang  ternyata sangat bahaya itu.  Maka tidak hairanlah apabila kerajaan menawarkan kemudahan visa kepada pelancong China, negara yang sedang berdepan dengan wabak.

Sepanjang Perintah Larangan Pergerakan kerajaan telah menutup semua pintu masuk ke negara ini untuk menghalang pelancong asing yang dijangkiti virus ke negara ini. (Gambar NST)

Sekiranya Malaysia mengambil langkah serupa pada Januari atau Februari lalu dengan menghalang kemasukan pelancong China dan negara-negara yang diserang Covid-19, keadaan barangkali tidak seteruk sekarang. Setakat ini sudah mencatat sebanyak 1,624 kes dan 15 kematian.

Sejak 18 Mac lalu, kerajaan melancarkan Perintah Larangan Pergerakan selama dua minggu dan berakhir 31 Mac ini. Langkah ini sangat bertepatan dengan tuntutan semasa yang walaupun terlambat. Antara tujuan perintah ini ialah memutuskan rangkaian penularan dengan menghentikan pergerakan antara negeri dan indivudu dengan individu.

Serentak dengan perintah ini kerajaan menutup pintu masuk daripada semua pelancong. Juga menghalang warga tempatan keluar negara. Langkah menutup pintu sempadan ini terhadap negara-negara tertentu sepatutnya dilakukan lebih awal – Januari atau Februari lalu.

Tetapi ketika itu bekas Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad sebaliknya  mengumumkan pengecualian visa selama 15 hari bagi warga China. Matlamatnya hanya mengukuhkan kerjasama dua hala dan meningkatkan kedatangan pelancong  China ke Malaysia. Ketika beliau mengumumkan demikian fenomena Covid-19 sudah menjadi topik berita utama di seluruh dunia.  

Dr Mahathir barangkali melihat sumbangan pelancong China daripada sudut ekonomi kerana 2020 adalah Tahun Melawat Malaysia.Memang benar industri pelancongan antara penyumbang utama pertumbuhan ekonomi. 

Nilai tambah kasar industri itu meningkat daripada 14.6 peratus atau RM201.4 bilion pada 2017 kepada 15.2 peratus atau RM220.6 bilion bagi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara pada 2018.

SempenaTahun Melawat Malaysia, kerajaan ketika itu menyasarkan 30 juta pelancong asing tahun ini dengan anggaran pendapatan sebanyak RM100 bilion. Statistik Tourism Malaysia menunjukkan jumlah ketibaan pelancong China meningkat daripada 1.61 juta pada 2014, kepada 2.94 juta pada 2018.

Alngkah baiknya kalau kerajaan ketika itu memberikan perhatian utama untuk mengekang Covid-19 selain industri pelancongan. Keputusan membuka pintu kepada pelancong China dalam keadaan wabak di China adalah satu kesilapan.

Ironinya kerajaan menganggap ‘keadaan terkawal’ kerana belum ada kematian  sedangkan China telah menutup wilayah Wuhan dan beberapa wilayah lagi. Kenapa ketika itu masih berada zon selesa dan membuka pintu negara kepada pelancong China?

Bekas Timbalan Perdana Menteri,  Dr Wan Azizah Ismail dipetik berkata, keadaan ketika itu terkawal dan tidak perlu menghalang  semua kemasukan pelancong China kecuali dari wilayah-wilayah yang terjejas dengan wabak Covid-19. Fakta  ‘belum ada kematian’  antara yang diulang-ulang apabila timbul desakan supaya pintu negara diperketatkan untuk menghalang kemasukkan pelancong China.

Ketika itu ada cadangan supaya kerajaan menutup kemasukkan pelancong China selama sebulan dan difahamkan sudah dibincang di peringkat Kabinet. Tetapi tidak ada tindakan seterusnya walaupun bekas Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad setuju dan menganggap langkah itu (menghalang kemasukan pelancong China selama sebulan) suatu yang bertepatan.

Sementara bekas Menteri Pelancongan Seni dan Budaya, Mohamaddin Ketapi pula meminta supaya tidak diskriminasi pelancong China walaupun negaranya berdepan dengan wabak Covid-19 dan telah meragut beberapa nyawa.

Keyakinan yang diberikan terlalu longgar dan penuh retorik, kerajaan akan membuat saringan di pintu masuk negara dan hanya yang bebas virus sahaja dibenarkan masuk. Kalau dilihat peningkatan kes baru ketika ini dan jumlah kematian, sikap kita yang tidak ambil endah di peringkat awal yang menyumbang pada keadaan sekarang.

Ini bukan mencari kelemahan kerajaan tetapi tindakan yang tidak menjurus pada kepentingan warga mesti ditegur.  Ini sekadar jawapan bahawa dengan tidak ada pelan tindakan di peringkat awal oleh kerajaan ketika itu,  maka beradalah kita pada keadaan sekarang.  – KU SEMAN KU HUSSAIN

Advertisement
Please follow and like us:

Author / Editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *