Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika memberikan perutusan khas Covid-19 di pejabatnya di Putrajaya baru-baru ini. (Gambar Bernama)

OLEH KU SEMAN KU HUSSAIN

DI SEBALIK serangan bertalu-talu pihak tertentu, kerajaan memperlihatkan aliran maklumat dan komnikasi yang cukup baik kepada golongan sasaran di pelbagai lapisan masyarakat. Malah memperlihatkan kesungguhan untuk membanteras wabak Covid-19.

Kesungguhan ini terpancar daripada gerak kerja terutama oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Ini diselarikan dengan  sistem aliran maklumat yang terancang dan kemas.

Pada awal Perintah Larangan Pergerakan memang menampakkan sedikit kecelaruan dalam aliran maklumat. Tambahan pula bukan semua dalam kalangan orangramai pernah melalui pengalaman perintah berkurung. Ini yang menjadi pemangkin situasi cemas terutama bagi membeli bekalan makanan.

Tetapi hari-hari berikutnya  semua berjalan dengan lancar. Kerajaan kelihatan sudah menangkap rentak dalam mengendalikan krisis wabak Covid-19 yang bukan kecil resah dan bimbang dalam kalangan masyarakat. Keadaan ini membangkitkan keyakinan  orangramai terhadap kesungguhan kerajaan menangani penularan wabak berkenaan.

Perdana Menteri sudah tiga kali membuat perutusan secara langsung di televisyen yang juga boleh diikuti media sosial. Pertama,  beliau mengumumkan perlaksanaan Perintah Larangan Pergerakan.  Bagaimanapun kurang sokongan maklumat pihak-pihak berkaitan dan sikap sambil lewa orangramai menjadikan perintah ini kabur.

Kedua, selepas perintah itu berjalan dan kemunculan Perdana Menteri kali ini dilihat amat penting dalam keadaan orangramai yang sambil lewa. Perdana Menteri memberikan maklumat yang jelas tentang matlamat perintah yang merupakan suatu yang baru kepada orangramai.

Petugas perubatan seperti doktor, jururawat dan pembantu bertungkus lumus bertugas, masa rehat diabai dengan orangramai. (Gambar MSN.CON)

Kali ini Perdana Menteri ‘turun dan bertemu’  dengan setiap individu di seluruh pelosok dan segenap lapisan. Beliau menggunakan gaya bahasa yang boleh difahami semua – daripada pemimpim tertinggi korporat hinggalah   warga gelandangan.

Maklumat dialirkan dengan lancar dan dihayati sepenuhnya. Tidak ada basa basi, juga tiada retorik. Untuk mengalirkan maklumat dengan berkesan kemampuan mengenalpasti sasaran juga sangat penting. Maka, buat pertama kali seorang pemimpin utama negara merayu kepada orangramai supaya, ‘duduklah di rumah’  dengan nada perlahan tetapi serius.

Frasa ‘duduk di rumah’ ini diulang-ulang dalam pendekatan yang tidak rasmi.  Lebih sebagai pesanan lisan secara berdepan dengan golongan sasaran. Mengikuti perutusan Perdana Menteri adalah berada di depan beliau dan mendengar pesanannya. Ini suatu yang luar biasa dilakukan oleh beliau.  Malah terasa sangat dekat dengan golongan sasaran.

Perutusan ketiga,  mengumumkan lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan selama dua minggu  dan berakhir 14 April depan.  Perdana Menteri sudah dapat rentak yang baik  untuk menzahirkan hakikat yang terpaksa negara lalui.

Advertisement

Perdana Menteri tidak beretorik  dengan istilah atau gaya bahasa yang tinggi dalam keadaan yang kritikal ini.  Memanglah pengucapan yang penuh retorik enak didengar, berkobar-kobar memainkan perasaan khalayak.  Tetapi dalam keadaan kritikal begini, pengucapan retorik bukan tempatnya.

Tidak perlu beliau memperagakan sebagai orator terhebat dalam keadaan orangramai dihimpit kebuasan virus yang bahaya ini.  Mereka memerlukan pemimpin yang menyakinkan, biarpun suaranya perlahan dan memohon pengertian.

Kelihatan Perdana Menteri  sangat kenal diri dan ruang.  Ini bukan ceramah politik yang kokok mengalahkan guruh di langit.  Ini hidup dan mati orang ramai kalau salah tindaknya. Walaupun begitu ada pemimpin politik masih tidak mengekal diri dan ruang, maka berpolitiklah mereka tanpa mengira keadaan.  

Maka tidak hairan kalau banyak yang sangat terkesan apabila buat pertama kali Perdana Menteri  negara ini berdoa dan diaminkan oleh hampir seluruh masyarakat.  Maknanya, selain  membanteras wabak dengan keupayaan sains dan akal manusia,  Perdana Menteri tidak lupa penyerahan hamba kepada Tuhannya dengan berdoa.

Menghadkan Perdana Menteri, Menteri Pertahanan (Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob) dan Ketua Pengarah Kesihatan (Dr Noor Hisham Abdullah) sahaja yang bercakap mengenai hal ehwal wabak Covid-19 memperlihatkan arahan  tugas yang terancang.

Dr Noor Hisham tidak banyak bercakap tetapi memperlihatkan semangat juang yang tinggi.  Kurang rehat tidak menampakkan beliau lelah sebaliknya amat tenang dalam menguruskan resah masyarakat yang luar biasa.  Beliau sangat diyakini, bukan sahaja ilmu perubatan tetapi kebolehannya mengendalikan situasi yang kritikal.

Maka tuduhan ‘kerajaan pintu belakang’ sedikit pun tidak menjejaskan kepercayaan orangramai yang waras. Hakikatnya kerajaan inilah yang menyelamatkan mereka dan negara dari rempuhan buas wabak Covid-19. – KUSEMAN.COM

Advertisement
Please follow and like us:

Author / Editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *