Tan Sri Muhyiddin Yassin (Gambar Bernama)

TAN SRI MUHYIDDIN YASSIN adalah Perdana Menteri yang sah bagi negara kita pada waktu ini. Tiada kemusykilan atau pertikaian lagi.

Beliau mewarisi jawatan ini ketika negara dilanda malapetaka yang tidak terperi dahsyatnya, iaitu CoviD-19 dan keruntuhan ekonomi yang terwaris ke atas bahu walaupun beliau bukanlah puncanya.

Tanggungjawab yang dipikul oleh Perdana Menteri dalam mentadbir negara dalam suasana begini amatlah berat dan membebankan sekali.

Kami melihat beliau dan pasukannya sedang bertungkus lumus berusaha untuk menyelamatkan negara. Berat mata kami memandang, berat lagi bahu mereka memikul.

Dalam keadaan yang sangat perit ini,  yang telah membawa derita tak terkira kepada rakyat, marilah kita semua membantu Perdana Menteri dan pasukannya untuk memulihkan negara dan membawa kita semua keluar daripada musibah yang kita hadapi sekarang ini dengan kadar segera.

Bagaimana caranya?

Kita sebagai rakyat, tidak mengira siapa, hendaklah jangan menganggu – gugat Perdana Menteri dalam usahanya untuk memulihkan negara.

Tentu sekali kami sangat bersetuju dengan nasihat dan teguran  yang mungkin diajukan oleh rakyat kepada beliau, asalkan  membina, ikhlas dan boleh diterima akal yang waras.

Tuduhan tidak berasas yang dibuat kerana dengki khianat hanya akan membuat kerajaan tidak dapat menumpukan sepenuh tenaga dan fikiran untuk menjalankan tugas. Akibatnya rakyat sendiri akan menderita.

Berilah peluang seluas-luasnya kepada Perdana Menteri untuk berbakti dan menyelesaikan musibah yang kita hadapi sekarang ini.

Advertisement
Kerajaan memikul tanggungjawab besar untuk memastikan wabak Covid-19 dapat ditangani dengan sebaik-baiknya. (Gambar hiasan)

Suka kami menyatakan bahawa Perdana tidak perlu ambil berat apatah lagi berasa tergugat dengan fitnah dan kata-kata yang tidak baik dilemparkan kepada beliau. Peganglah pada Firman Allah SWT yang menyuruh supaya tidak menghiraukannya (An-Nisa’ : 6 ; Al Hijr : 85 ; Az-Zukhruf : 89).

Tolaklah kejahatan dengan cara yang baik ( Fushshilat : 34)

Amat baik sekali kalau Perdana Menteri dalam menjalankan tugasnya yang amat berat ini sering mengucapkan ‘Hasbunallah wa ni’mal wakil’ sepertimana Nabi Ibrahim A.S.  (ketika dihumban ke dalam api), Nabi Musa A.S. (ketika dikepung Firaun di Laut Merah) dan, Nabi Muhammad SAW ketika Perang Badar). Inilah penawar yang baik ketika dalam kesulitan yang besar.

Berdoalah Perdana Menteri bersungguh-sunguh kepada Allah SWT, memohon serba macam pertolonganNya. Mudah-mudahan akan dimakbulkan sepertimana dalam FirmanNya dalam Al Mu’min 60 : ‘Berdoalah kepadaKu, nescaya akan Kuperkenankan permohonan kalian.’

  • DATO PROF EMERITUS DR HASHIM YAACOB, Dip. Islam Studies (UIAM), dan ADI SUKMA, LLB(Reading),  Petaling Jaya, Selangor.
Advertisement
Please follow and like us:

Author / Editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *