OLEH MOHD DANIAL ABD AZIZ

MEMBIKIN filem bukanlah satu pekerjaan yang mudah. Apatah lagi bagi seorang yang masih muda dan kali pertama diberi kepercayaan untuk mengarahkan sebuah filem cereka. Sudah tentu pengarah itu berada di dalam keadaan yang sangat tertekan dengan bermacam hal yang perlu dihadapinya.

Hussain Haniff tidak terkecuali di dalam hal ini. Ketika ditawarkan untuk menjadi pengarah filem, Hussain pada mulanya menolak tawaran itu kerana bimbang filemnya tidak mendapat sambutan. 

Hussain ketika itu sudah menjadi ketua penyunting (editor) filem di studio Cathay Keris dengan gaji bulanan sebanyak $700. Jikalau filem arahannya yang pertama gagal mendapat kutipan pecah panggung, Hussain bimbang akan kehilangan pekerjaan dan terpaksa menjadi penganggur sedangkan beliau mempunyai tanggungan yang ramai.

Untuk memberi keyakinan kepada Hussain Haniff, pihak pengurusan Cathay Keris memberi jaminan sekiranya filem pertama itu gagal memberi pulangan, beliau tidak akan dipecat dan jawatannya sebagai sebagai ketua editor filem tidak akan terganggu. 

Hussain Haniff (Gambar Mohd Danial Abd Aziz)

Cathay Keris juga percaya bahawa seorang editor yang hebat mampu untuk menjadi pengarah yang baik. Di saat seorang demi seorang pengarah India meninggalkan Cathay Keris, Hussain Haniff akhirnya merebut peluang keemasan yang terhampar di hadapannya itu.

Seperti kata pengarah tersohor dari Jepun – Akira Kurosawa, “In order to write scripts, you must first study the great novels and dramas of the world.”

Hussain tidak terkecuali dalam hal ini semasa tempoh pengumpulan bahan untuk filem sulungnya.

Beliau kemudiannya memilih untuk mengangkat sebuah cerita yang berjudul Hang Jebat Menderhaka: Suatu Tragedi yang ditulis oleh Ali Aziz, seorang mahasiswa Universiti Malaya. Ali Aziz mengambil kisah ini daripada Hikayat Hang Tuah dan beliau percaya bahawa sastera Melayu ketika itu belum mati, sekaligus menentang apa yang pernah ditulis oleh Hans Overbeck, ahli linguistik berbangsa Jerman. 

Ali sebaliknya melihat sastera Melayu klasik itu sebagai sebuah lombong yang perlu digali serta diterokai untuk menunjukkan betapa dunia Melayu itu sangat kaya dengan pelbagai khazanah budaya dan falsafah.

Sebelum memulakan penggambaran, Hussain Haniff telah berkunjung ke Melaka bersama penolongnya, M. Amin dan Pegawai Perhubungan Awam Cathay Keris, Hamzah Hussin untuk melakukan penyelidikan secara terperinci suasana perkampungan di Melaka serta seni bina istana di zaman Kesultanan Melayu Melaka.

Hussain Haniff sangat teliti dalam mengagihkan tugasan kepada tenaga kerja yang akan bersamanya. Beliau hanya menyerahkan sesuatu tugas kepada seseorang yang benar-benar mempunyai kepakaran khusus dalam bidang tertentu. 

Sebagai contoh, Hussain telah melantik seniman veteran Shariff Medan untuk menulis skrip filem ini kerana beliau mempunyai pengetahuan dan pengalaman yang luas di dalam pentas bangsawan. Untuk koreografer seni tarian, Hussain menyerahkan tugasan tersebut kepada seniwati Siput Sarawak dan koreografer seni persilatan pula diserahkan kepada seniman Mahmud June yang juga merupakan seorang guru silat.

Penggambaran filem Hang Jebat mengambil masa selama empat bulan untuk disiapkan. Oleh kerana cerita ini berlaku di dalam dan luar istana, penggambarannya dibahagikan kepada dua bahagian. 

Untuk penggambaran indoor, ia telah dibuat di dalam sebuah istana yang telah didirikan khas di studio A. Di studio B pula telah didirikan sebuah pondok usang untuk dijadikan tempat tinggal Hang Tuah yang disembunyikan oleh Datuk Bendahara. 

Untuk penggambaran outdoor pula, Hussain Haniff bersama pasukannya telah membuat penggambaran di sekitar pantai Changi dan Botanical Garden, Singapura.

Filem Hang Jebat menjadi karya agung Hussain Haniff dan terus menjadi rujukan hingga hari ini.

Ketika ditanya tentang pendapatnya mengenai filem Hang Jebat,

Advertisement
Hussain Haniff menyatakan bahawa dia sangat berpuas hati dengan filem arahannya itu. Walaupun ada waktunya beliau terpaksa menghadapi berbagai rintangan seperti hujan lebat semasa penggambaran outdoor.

Dia terpaksa menangguhkan penggambaran selama beberapa hari oleh sebab pelakon utamanya, Nordin Ahmad dan M. Amin jatuh sakit akibat berlatih pencak silat selama 17 hari berturut-turut, siang dan malam kerana Hussain sangat menitikberatkan babak pertarungan untuk filemnya yang sulung ini. 

Hussain juga telah merombak barisan pelakonnya dengan menyerahkan peranan Hang Tuah kepada M. Amin setelah menerima nasihat daripada penjaga makam Hang Tuah di Melaka. Pada mulanya peranan itu milik Mahmud June. Beliau kemudiannya diserahkan peranan sebagai Pateh Karma Wijaya yang telah membuat fitnah kepada Hang Tuah sehingga Sultan Melaka menitahkan agar Hang Tuah mesti dibunuh.

Untuk mengambil mood sebelum memulakan penggambaran, Hussain Haniff akan duduk di dalam biliknya sambil merenung keris-keris yang disusun di atas meja. 

Beliau kemudiannya membelek-belek serta meneliti pada setiap inci keris-keris itu dan sekiranya mood itu sudah ada, barulah Hussain akan memulakan kerjanya. Hussain juga akan duduk berjam-jam di atas batu sambil memerhati gelombang laut sebelum memulakan penggambaran outdoor. 

Beliau kemudiannya memanggil Nordin Ahmad dan menerangkan supaya hero filemnya itu melakukan perkara yang sama seperti yang dilakukan olehnya di atas batu itu. Nordin Ahmad dapat memenuhi permintaan pengarah muda itu dengan berjaya menzahirkan perasaan muram Jebat mengenangkan nasib saudaranya Tuah dan bersumpah untuk melakukan pembelaan.

Hussain Haniff sememangnya telah membuat pemilihan yang tepat dengan memilih Nordin Ahmad untuk memerankan watak Hang Jebat kerana Nordin adalah seorang pelakon yang mempunyai falsafah lakonan serta ilmu persilatan yang tinggi, selain memiliki karisma dalam melakonkan watak-watak hero filem bercorak sejarah dan purbawara.

Ketika majlis preview Hang Jebat berlangsung, filem ini telah mendapat pujian daripada wartawan dan sasterawan yang hadir menontonnya. Filem ini juga telah mendapat sambutan yang luar biasa oleh masyarakat ketika ditayangkan pada bulan Mac 1961. 

Tayangannya di rangkaian panggung wayang milik Cathay Organisation di seluruh Persekutuan Tanah Melayu, Singapura, Sabah, Sarawak dan Brunei sangat memberangsangkan sehingga berbulan-bulan lamanya.

Hang Jebat telah menjulang nama Hussain Haniff sebagai pengarah muda yang berbakat besar dalam dunia perfileman tanah air ketika itu. Hussain kemudiannya menjadi pengarah harapan dan ‘senjata utama’ Cathay Keris dalam usaha mereka menyaingi filem-filem terbitan studio Jalan Ampas. 

Nordin Ahmad pula dijulang sebagai hero filem Melayu paling berpengaruh dan menjadi rebutan para pengarah di Cathay Keris selepas itu.

Kerja keras Hussain Haniff bersama pasukannya dalam menjayakan Hang Jebat ini berbaloi apabila filem ini masih lagi diperkatakan sehingga ke hari ini dan sering menjadi rujukan para pelajar bidang perfileman untuk memahami aspek penyuntingan, sinematografi, penulisan skrip serta adaptasi teks sastera kepada filem.

With a good script, a good director can produce a masterpiece” – Akira Kurosawa.

𝗦𝘂𝗺𝗯𝗲𝗿

• Majalah Berita Filem bil. 4, Februari 1961

• Akhbar Utusan Film dan Sport, 18 Mac 1961

• Hamzah Hussin, 2004. Memoir Hamzah Hussin: Dari Keris Film ke Studio Merdeka. Bangi: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia.

  • MOHD DANIAL ABD AZIZ adalah peminat tegas sinema Melayu hitam putih terutama filem-filem arahan Hussain Haniff dan M. Amin.
Advertisement
Please follow and like us:

Author / Editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *