Adegan dari filem One Two Jaga arahan Nam Ron. (Gambar hiasan).

OLEH DR MAHADI J MURAT

SEMENJAK pertengahan 2017, sehingga sebelum pantang-larang ‘PKP Covid-19’  18 Mac yang lalu, sebanyak sekurang-kurangnya 20 filem cereka tempatan dari tangan ‘penerbit dan pengarah kecil’  telah masuk pawagam. 

Semua filem tersebut boleh dikatakan ‘gagal’ di pasaran. 

Banyak aspek – buruk baik, boleh diperkatakan mengenai kegagalan ini, sama seperti cerita sebuah filem, semuanya ada ‘sebab’ dan ‘akibat’.

‘Penerbit-pengarah filem kecil’ ialah penerbit dan pengarah filem Indie, atau penerbit-pengarah baharu, yang memasuki industri kerana idealisme, atau kerana keinginan yang kuat untuk bercerita tentang  sesuatu, dalam bentuk seni filem (telling a story in the form of film’s art)

Mereka adalah golongan yang boleh dikatakan tidak ada kaitan, atau tidak bersekutu dengan penerbit established, atau syarikat konglomerat  seperti Astro dan Media Prima, yang menguasai rangkaian saluran televisyen, stesen radio, entiti media pelbagai platform; dan  pawagam. 

Dalam kalangan penerbit-pengarah filem kecil ini, tidak dianggap sebagai mainstream filmmaker oleh sesetengah pihak, walaupun buah tangan, kerja mereka dihargai di medan apresiasi, dan festival filem antarabangsa, dan di luar negara.

Dijangkakan dalam masa terdekat, bilangan penerbit-pengarah filem kecil, atau penerbit-pengarah filem baharu ini akan bertambah bilangannya, memandangkan jumlah yang akan bergraduat dari institut pengajian tinggi tempatan, dan luar negara telah berlipat kali ganda  semenjak 2018.  

Kajian yang dijalankan Institut Kesenian dan Kajian Media Malaysia (Semesta), dan dapatan dari Forum Karyawan Filem Muda  yang dianjurkan Semesta semenjak 2011,  mendapati para graduan, terutama lepasan dari UiTM, MMU, Aswara, USM, dan program berkaitan TVET Kementerian Pendidikan memerlukan lebih banyak ruang, pakej rangsangan, dan perlindungan.

Ini perlu disediakan untuk Malaysia berkembang seimbang dengan yang dicapai Korea Selatan, Jepun, China, Thailand dan Singapura, terutama dalam persediaan menghadapi Revolusi Industri 4.0.

Advertisement

Mengekalkan penggantungan hanya kepada entiti sedia ada, mungkin boleh membunuh potensi negara yang sangat menjanjikan. Apatah lagi, kalau potensi tersebut merupakan khazanah, dan modal yang dapat mengukuhkan jalur jaringan pencapaian masa hadapan.

Menjangkakan semua ini, sejak beberapa tahun lalu, sidang Forum Karyawan Filem Muda 2015 (YFF15), yang diadakan pada 24 Nov 2015 di Kompleks Studio Sound Stage Finas, telah mencadangkan agar Finas menubuhkan Unit Penyertaan Karyawan Muda. 

Ini bagi membantu karyawan muda untuk menyertai industri secara yang terancang. Cadangan tersebut walau bagaimana pun tidak menjadi kenyataan  kerana sebab-sebab yang tidak diketahui. 

Berdasarkan perkembangan terkini yang pelbagai,  forum Wacana Penerbit-Pengarah Filem Kecil akan dianjurkan oleh Semesta, pada satu tarikh selepas Hari Raya Aidilfitri nanti. 

Semua penerbit dan pengarah filem kecil, terutama yang ada pengalaman menghasilkan filem beberapa tahun kebelakangan,  tokoh pemikir/profesional, dan sarjana  yang boleh menyumbang dalam menjayakan matlamat wacana ini dijemput menyertai.  

Tujuan utama wacana adalah untuk bertukar-tukar fikiran, pengalaman dan mengemukakan cadangan, yang akan dijadikan resolusi bagi dikemukakan kepada pihak yang berkenaan. 

Selain daripada itu, sekiranya ada sesiapa yang hendak secara sukarela,  ikut duduk sebagai jawatankuasa penganjur, anda adalah dialu-alukan. Sila maklumkan melalui e-mel kepada:   info@semesta.my 

Advertisement
Please follow and like us:

Author / Editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *