Banyak kandungan Google dan Facebook diambil dari akhbar tanpa mengeluarkan sebarang kos. (Gambar Free Malaysia Today)

KUALA LUMPUR, 28 April –  Banyak syarikat penerbit akhbar di Malaysia kini tampil senada dalam usaha memulakan gerakan menggesa pelbagai syarikat teknologi antarabangsa seperti Google dan Facebook, berkongsi perolehan daripada hasil pengiklanan dikumpul mereka, kebanyakannya menerusi kandungan media tradisional.

Pengerusi Persatuan Penerbit Akhbar Malaysia (MNPA), Mustapha Kamil Mohd Janor, berkata langkah itu masih pada peringkat permulaan, diambil menerusi susulan keputusan penting oleh Kerajaan Australia baru-baru ini yang mewajibkan Google dan Facebook berkongsi perolehan hasil pengiklanan mereka dengan syarikat media tempatan.

Minggu lalu, Reuters melaporkan Bendahari Australia Josh Frydenberg berkata, langkah itu diambil selepas perbincangan dengan Facebook dan Google gagal mencapai keputusan yang boleh diterima kedua-dua pihak.

Mustapha Kamil Mohd Janor

Ditubuhkan pada 1971, MNPA mewakili kebanyakan penerbit media arus perdana di Malaysia termasuk New Straits Times, The Star, The Sun, Borneo Post, The Edge, Berita Harian, Sinar Harian, Sin Chew Daily, China Press, Nanyang Siang Pau, Oriental Daily News, See Hua Daily News, Makkal Osai dan lain-lain lagi.

Mustapha Kamil yang juga Pengarah Eksekutif Operasi Berita dan Editorial Media Prima Bhd berkata sama seperti keadaan di seluruh dunia, penerbit akhbar di Malaysia turut mengalami kerugian ketara sejak beberapa tahun lalu, kebanyakannya berpunca daripada kecenderungan pembaca yang beralih kepada berita digital dalam talian.

Advertisement

“Walaupun beberapa akhbar tradisional turut beralih kepada dunia digital, namun perolehan daripada berita dalam talian terus dibolot Google dan Facebook.

“Bagaimanapun, Google dan Facebook hanya pengumpul berita yang kebanyakannya dihasilkan media tradisional, iaitu pihak yang menanggung tenaga kerja dan sumber lain dalam menghasilkan berita berkenaan,” katanya.

Mustapha Kamil berkata, sejak lebih 15 tahun, Facebook dan Google menggunakan semula kandungan dicipta syarikat media tradisional bagi meraih keuntungan.

“Kandungan ini daripada pelaburan syarikat media terhadap banyak sumber untuk dihasilkan, kami hanya meminta bahagian yang adil daripada hasil iklan yang mereka peroleh menerusi kandungan kami,” katanya.

Beliau berkata, syarikat media tempatan di Malaysia menyaksikan perolehan hasil merudum sejak sekian lama dan kebanyakannya terpaksa mengecilkan operasi serta memberhentikan pekerja untuk terus bertahan.

“Kami harap kerajaan akan menimbangkan untuk melihat isu ini dan tampil bagi membantu pihak penerbit,” katanya. – BERNAMA

Advertisement
Please follow and like us:

Author / Editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *