OLEH KU SEMAN KU HUSSAIN
MENULIS semula kenangan bersama kawan rapat yang pulang ke negeri abadi amat menyiksakan. Dalam kehilangan terpaksa menjungkir balik detik-detik yang dilalui, kebaikan yang diberi dan kata-kata yang terus bernyanyi bukan mudah dihadapi. Amat sukar.
Tiada yang seperti ada. Demikianlah rasa yang berbaur tatkala menulis catatan tentang seorang kawan, pengarah filem dan drama Kamal Ishak, 66 tahun yang menghembus nafas terakhir awal pagi Khamis lalu (30 Mac) di Kulim, Kedah. Kalau harimau mati meninggalkan belang, Kamal meninggalkan ingatan manis kepada kawan-kawan.
Tulisan ini beberapa kali terhenti, kenangan menyerbu dan pilu sayu pun bagai diapung-apung. Amat payah rasanya. Kata-kata yang dialirkan dari ingatan kerap tergantung dan terputus. Bagai filem yang berlari di lensa projektor tiba-tiba putus. Layar menjadi putih dan kosong.
Ini deraf yang entah ke berapa. Tiba-tiba menjadi begitu payah mengalir yang terpancar di ingatan. Bersilang seli antara ada dan tiada, antara kenangan yang tidak terkuburkan dan pesan-pesan yang terus bernyanyi di ingatan.
Kali terakhir kami berjumpa pada tahun lalu di program anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Wilayah Utara di Pulau Pinang. Ketika itu Kamal tidak berapa sihat, penglihatannya bermasalah. Selepas itu hanya berbual di telefon atau mesej di SMS. Mesej-mesej itu terus disimpan sebagai kenangan.
Banyak mesej yang dihantar terterabur ejaannya. Kata Kamal dia tidak nampak skrin telefon. Tahap penglihatan agak kronik. Ini membuatkan saya bertambah sedih. Penulis tidak lagi boleh menulis dan pengarah tidak dapat lagi melihat di corong view finder kamera.
Saya dapat membayangkan Kamal tertekan akibat dunianya yang mulai hilang. Dunia penulisan dan pengarahan. Dia kehilangan suara dan ekspresi untuk berkata-kata kepada dunia. Keadaannya sangat tidak mengizinkan, setidak-tidaknya masa kami berjumpa.
Kamal bukan sekadar pengarah tetapi seorang yang jinak dan tinggi penghayatan pada dunia persuratan Melayu. Dia penulis skrip yang teruji oleh zamannya. Dia penulis karya sastera yang diperakui dalam sayembara. Satu-satunya pengarah yang menang hadiah menulis cerpen.
Dia antara jumlah kecil pengarah drama dan filem yang mempunyai penghayatan sastera yang tinggi. Kalau tidak silap pengarah filem pertama yang dilantik sebagai Munshi Dewan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Malah pernah memenangi Hadiah Sastera Kumpulan Utusan (HSKU) kategori cerpen beberapa tahun lalu.
Orang bijaksana ada berpesan, kawan yang baik tidak menjulang apabila kita di puncak, tetapi akan menyambut bila kita jatuh. Kamal adalah kawan yang baik itu. Dia mengutip ‘kacamata’ saya yang terpelanting ketika berlari memburu masa depan. Dan memulangkan supaya saya meneruskan perjalanan.
Kamal pendengar yang setia, dia juga regu debat yang sabar tatkala saya tidak mahu mengalah. “Hang kata gitu tak apalah, betui juga,” itu ayat-ayat yang meredakan. Tetapi dia akan hujah balik bila ada peluang. Sebenarnya Kamal seorang yang sukar mengalah tanpa hujah yang memuaskan hatinya.
Saya tidak ingat bila pertama kali kami berjumpa. Tetapi tidak pernah lupa ayat pertamanya, “Nak jadi pemikir filem bukan pembuat filem”. Ini reaksi awalnya apabila saya tanya dia hendak jadi apa. Loghat Penang sangat pekat dan kepala yang bergoyang-goyang ketika bercakap.
Saya terpagut dengan kata-kata ini. Semua orang hendak jadi ‘pembuat filem’ tetapi Kamal hendak menjadi ‘pemikir filem’. Kamal dari impresi pertama kelihatan seorang yang faham filem. Dia kenal lakonan yang memberikan nyawa pada filemnya.
Dia faham ruang dan masa, sangat teliti tata artistik untuk mise en scene. Kamal ada rasa seni yang tinggi mencipta sesuatu shot. Selagi shot tidak ‘memagut’ dan bernyawa, dia akan ulang sehingga jadi. Memang kelihatan remeh tetapi dia menjaga kualiti kerja.
Saya tidak banyak menulis skrip drama. Tetapi sangat beruntung apabila dalam jumlah yang sedikit itu diarahkan oleh sosok yang saya kagum arahan mereka. Seingat saya hanya tiga pengarah mengarahkan skrip saya – U-Wei Haji Saari, Adman Salleh dan Kamal Ishak. Secara kebetulan skrip saya jatuh ke tangan mereka.
Kamal mengarah tiga skrip saya – Bayangan Dosa Semalam, Malam Haram dan Permata. Malam Haram mencabar kerana diangkat dari kisah benar di pejabat pengarang Utusan Melayu. Berlaku dalam satu ruang dan satu masa.
Malam Haram sangat merisaukan tetapi lega apabila penerbit Ida Rahayu beritahu Kamal pengarahnya.
Untuk Malam Haram kami banyak berbincang di gerai Mak Ngah. Kamal membuat storyboard di depan saya. Sketch dia cantik. Dalam poket bajunya sentiasa ada pen maker warna merah dan biru. Itu untuk sketch storyboard. Semua dramanya ada storyboard.
“Tidak ada siapa yang boleh jerit action dan cut kecuali pengarah. Di tengah dua perkataan itu ada nyawanya. Pengarah mesti rasa nyawa itu,” kata Kamal ketika kami lepak di sebuah kedai mamak di Brickfield. Kalau tidak silap sekitar tahun 1995 ketika dia sedang menyiapkan filem pertama, Cinta Kita.
Dia pengagum karya-karya perintis Italian neorealism dekad 1940-an di Itali antaranya Roberto Rossellini, Vittorio De Sica, Cesare Zavattini, Luchino Visconti dan Giuseppe De Santis. Kami bualkan Bicycle Thieves (1948) arahan Vittorio De Sica tentang krisis sosial dan ekonomi pasca Perang Dunia Kedua.
Kamal juga penganut tegar teori auteur diasaskan oleh Andre Bazin yang memberi tanggungjawab terbesar kepada pengarah. Pengarah secara sedar mengawal semua sudut pembikinan – sinematografi, lakonan, mise en scene, tata seni dan suntingan. Itu rasionalnya kredit awal ditulis ‘Sebuah filem oleh ….’
Kamal adalah watak kanak-kanak Salvatore Di Vita dalam Cinema Paradiso arahan Giuseppe Tornatore. Salvatore kanak-kanak yang mencuri tonton filem di bilik projektor akhirnya menjadi pengarah filem. Pengalaman zaman kanak-kanak Kamal menonton wayang pacak memberi magis hingga dia menjadi pengarah.
Dua filemnya, Cinta Kita dan Penyair Malam memberikan suatu yang menjanjikan pada industri filem. Kedua-dua ini bukanlah filem terbaik Kamal. Tetapi menjanjikan harapan untuk kali seterusnya. Misalnya Penyair Malam satu-satunya filem Malaysia mengangkat dunia puisi dan penyair, filem lain mengangkat artis – penyanyi dan pelakon.
Malah banyak dramanya menyelitkan puisi sebagai latar. Ini menunjukkan usaha mengarusperdanakan puisi dalam karya-karya pop. Walaupun dia bukan penyair tetapi banyak membaca buku puisi. “Kadang-kadang sebaris puisi bagi ilham aku tulis sebuah skrip” jujur sahaja pengakuannya.
Apa kata kawan-kawan Kamal:
DR MAHADI J MURAT – Kamal Ishak pernah menjadi penolong pengarah dalam banyak drama arahan saya, antara yang saya ingat drama Tuah Si Malang, skrip karya Kalam Hamidi. Dia sangat pantas faham dan banyak menyumbang idea. Dia ada keberanian untuk mengekspreskan apa yang dia tahu.
Kami pernah sama-sama menjadi pengasas Persatuan Sutradara Filem Malaysia (FDAM) kemudian dia menjadi jawatankuasa. Dia sentiasa membangunkan kemahiran bekerja dan pemikiran dalam berkarya. Bukan sahaja sebagai pengarah malah penulis skrip yang baik.
A WAHAB HAMZAH – Saya melihat potensi dia amat besar dalam filem Cinta Kita. Filem itu membawa saya kenal dia secara peribadi. Sebagai pengarah saya melihat Kamal bekerja dengan cukup teliti. Dia sanggup ambil masa untuk mendapatkan scene yang sesempurna mungkin.
Dia bijak mengarah pelakon. Ini kerana dia mempunyai pegangan falsafah seni dalam semua karya-karyanya. Saya pernah mengambil Kamal menyertai pasukan saya dalam teater Sungai Mengalir Lesu di Auditorium Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.
Semasa saya menjadi Pengarah DBP Wilayah Utara, Kamal pernah mengemukakan ideanya untuk mengusahakan Galeri Nordin Hassan di George Town, Pulau Pinang. Dia sangat minat dengan semua yang bersifat seni.
SABRI YUNUS – Saya hanya berlakon dua drama arahan Kamal Ishak. Satu dah lupa nama. Satu lagi Malam Haram pegang watak Siraj Penyunting Utusan Malaysia. Selama lebih seminggu shooting, saya tengok dia ini lain orangnya. Sangat tahu tentang kerjanya. Kami selalu berbual dan tak jemu sebab ada benda-benda baru yang saya dapat.
Saya sangat terpikat dengan dramanya Ombak itu. Bagi saya drama itu sebuah karya yang sangat indah sasteranya. Sangat puitis. Satu lagi saya suka dia sketch storyboard. Bukan sekadar storyboard tetapi sebuah karya yang cantik. Pelakon pun dapat melihat bagaimana mereka dalam frem.
Saya terkejut sebelum subuh Khamis itu ada panggilan dengan nama Kamal Ishak. Mesti Kamal ada hal mustahak menelefon waktu begitu. Saya jawab dan terjelepuk terduduk bila anak dia Iman bagitau ayah sudah tiada. Saya dan kawan, Rusdi terus bergegas ke Kulim. Alhamdulillah sempat jumpa.
GIBRAN AGI – Abang Kamal tersendiri dalam banyak segi. Saya fikir orang lain yang kenal Abang Kamal pun ada fragmen kenangan yang tidak boleh dilupakan. Pada saya Abang Kamal antara penulis skrip dan pengarah yang terbaik pada generasinya hujung 1980- an dan 1990-an.
Pertama kali kami berjumpa sekitar 1995. Dia hubungi saya ajak minum di Brickfields. Di gerai mamak dekat BSN. Dia beritahu pernah mendengar nama saya sebagai pelakon teater dan janji berjanji menawarkan saya berlakon. Saya seccara spontan melihat dia seorang yang begitu artistik dan karakternya unik, cakap Penang pekat dan goyang kepala.
Abang Kamal seorang yang sangat teliti, pernah sekali rancang shooting scene malam di stesen keretapi Sebang, Melaka. Dah nak shooting, dia melilau di stesen dan beritahu “di sini tiada rasa, kita cari tempat lain.” Malam itu juga bertukar ke stesen keretapi Tapah, Perak. – kuseman.com