Masjid Putra di Putrajaya (Gambar The Star)

Oleh Ku Seman Ku Hussain

MASJID-MASJID utama termasuk di negeri-negeri zon hijau masih belum boleh digunakan selayaknya, dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) apabila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilonggarkan menjadi Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Ironinya banyak pusat belah terutama di Kuala Lumpur dibolehkan beroperasi. Malah menerima pengunjung jauh berganda banyaknya berbanding 30 orang jemaah untuk sembahyang Jumaat di Masjid Negara. Kenapa?

Orang ramai sudah mulai tertanya-tanya apakah rasional Majlis Keselamatan Negara (MKN) masih berat memberikan kebenaran masjid utama digunakan sepenuhnya dengan mematuhi penjarakan sosial satu meter dalam masjid? Di Masjid Negara misalnya, kalau penjarakan sosial satu meter sekalipun, dewan sembahyang boleh menampung beratus jemaah.

Sembahyang Jumaat di Masjid Negara pada PKPB (Gambar Harian Metro).

Kenapa hanya maksimum 30 orang jemaah? Selalunya sembahyang lima waktu di Masjid Negara tidak lebih tiga saf dengan kerapatan biasa. Kalau dijarakkan satu meter sekalipun, dewan sembahyang masih belum penuh. Jadi, persoalannya kepada dihadkan kepada 30 jemaah?

Untuk sembahyang Jumaat, khidmat Rela boleh digunakan untuk memastikan jumlah yang boleh masuk dalam dewan sembahyang. Kenapa disusahkan dan tidak ada alasan munasabah mengadakan sembahyang Jumaat 30 orang jemaah?

Kedai runcit Acheh pun boleh kawal jumlah pelanggan dalam kedainya dengan mengawal di pintu masuk, apakah pihak pengurusan masjid-masjid utama ini tidak diyakini boleh mengawal jemaah? Ini memberikan persepsi yang kurang elok kepada pihak pengurusan masjid.

Pada masa yang sama beberapa pusat membeli belah di Kuala Lumpur sudah boleh beroperasi. Jumlah pengunjung yang masuk dalam pusat beli belah itu tidak dihadkan, cuma di lot-lot kedai yang menghadkan pengunjung dalamnya.

Kalau melihat daripada sudut potensi bersentuhan dan pelanggaran SOP satu meter,  keadaan jemaah dalam masjid jauh lebih terkawal dan keadaannya tidak seperti pusat beli belah. Dalam masjid tidak banyak pergerakan ke sana -ke sini, dan masanya sangat singkat berbanding keberadaan pengunjung di pusat membeli belah.

Di Putrajaya, pusat beli belah Alamanda telah beroperasi dengan SOP sejak pelaksanaan PKPB.  Orang ramai bebas masuk dalam Alamanda selepas diambil suhu badan oleh pengawal keselamatan. Mereka cuma dihadkan jumlah masuk dalam pasar raya dalam Alamanda.

Tetapi dua masjid utama di Putrajaya,  Masjid Tuanku Mizan dan Masjid Putra tidak boleh digunakan untuk sembahyang Jumaat dan sembahyang lima waktu.  Kedudukan kedua-dua masjid ini dengan Alamanda tidak jauh, kalau zon kuning hendak dijadikan alasan.

Advertisement

Seperti hujah di atas tadi,  dewan sembahyang kedua-dua masjid ini sangat luas. Laksanakan penjarakan satu meter, ambil suhu dan cecair pencuci tangan.  Tetapi kenapa MKN masih liat hendak membenarkan masjid digunakan dengan kapasiti yang masuk akal?

Maka jangan salahkan kalau ada yang menganggap masjid telah dianaktirikan dalam PKPB.  Jangan salahkan kalau ada berpandangan masjid tidak menjana keuntungan berbanding pusat beli belah. Pandangan-pandangan begini tidak boleh dibendung apabila MKN tidak ada hujah konkrit menghalang masjid digunakan dengan selayaknya.

Orang ramai faham tentang bahaya wabak Covid-19. Sebahagian besar daripada mereka telah memberi kerjasama melakukan penjarakan sosial dan pelbagai SOP lain apabila ke kedai runcit untuk membeli keperluan asas. 

Gambar hiasan pusat beli belah Alamanda di Putrajaya.

Pusat beli belah bukan menyediakan keperluan asas. Tidak ke pusat beli belah pun khidmat sekian banyak kedai runcit boleh menampung keperluan orang ramai. Untuk meneruskan hidup dengan sempurna, kedai runcit sudah memadai.

Tetapi apabila pusat beli belah diberi kelonggaran pada PKPB, di mana pada masa sama masjid yang pengunjungnya jauh lebih kecil, masa yang jauh lebih singkat dan  tidak wujud perkelompokan tidak dibenarkan; wajarlah orang ramai mempersoalkan tindakan berat sebelah itu.

Kalau masjid sebesar Masjid Negara,  Masjid Wilayah Persekutuan di Jalan Duta, Masjid Tuanku Mizan dan Masjid Putra hanya dibenarkan jemaah 30 orang, ini bukan justifikasi yang orang ramai mahu. Apakah orang yang pergi ke masjid lebih susah untuk dikawal berbanding yang pergi ke pusat beli belah?

Menyuap alasan kepada masyarakat bahawa keputusan itu untuk mengelakkan fitnah kepada agama sekiranya terdapat kluster masjid sekiranya masjid dibuka sepenuhnya hanyalah hujah yang memaparkan “keputusan lepas tangan” secara mudah dengan memujuk menggunakan agama. 

Kenapa hanya dengan kes Covid-19 sahaja kita sibuk beralasan menjaga fitnah kepada agama, sedangkan selama ini pelbagai fitnah agama yang lebih besar telah dilemparkan kepada agama Islam dan seluruh umat Islam? Di manakah kalian ketika itu?  – kuseman.com

Advertisement
Please follow and like us:

Author / Editor

4 thoughts on “MKN mesti jawab kenapa masjid tidak boleh, pusat membeli belah boleh”
  1. Para jemaah rasanya dah bolih mematuhi SOP yang telah ditetapkan.
    Para jemaah bolih mengingatkan satu sama lain. Untuk sama-sama mengamal saranan KKM untuk mengawal covid-19. Para jemaah yang tidak mematuhi SOP akan dilarang hadir berjemaah melainkan mereka telah memberikan kerjasama.

  2. Bagi saya itu bukanlah jawapan untuk melepas tangan.
    Saya setuju dengan kenyataan Shopping mall bukanlah sesuatu untuk dijaga. Manakala masjid adalah syiar agama yang perlu kita jaga.

    Cuba kita bayangkan dan gambarkan jika masjid dibuka seperti biasa sekarang tanpa had seperti shoping mall. Berpusu-pusu dan berebut orang akan ke masjid. Mungkin keadaan tidak dapat dikawal. Lalu, kes penularan covid meningkat mendadak. Yang bukan beragama Islam pasti akan menuduh orang Islam adalah puncanya kerana kita adalah sebuah negara Islam di mana rakyatnya hampir keseluruhan beragama Islam. Lalu wujudlah pergaduhan antara islam yg mempertahankan agama dengan yang bukan islam yg rasa terancam dgn Islam. Ini sesuatu yang bercanggah dengan Islam sendiri kerana maksud Islam itu adalah selamat, aman, rahmat untuk semua. Namun, bila terjadi fitnah sebegini, Islam akan nampak seperti ancaman di mata yang bukan islam.

    Hal ini kita boleh lihat sendiri daripada kes kluster tabligh. Antara sesama islam pun ramai yang menyalahkan mereka punca penularan kes dan marah dengan golongan ini. Ianya telah mencetus pelbagai fitnah ke atas kumpulan ini.

    Kita amat beruntung dan bersyukur menjadi orang Islam kerana boleh melaksanakan ibadah tidak tertumpu di masjid sahaja.
    Kita tetap masih boleh beribadah di rumah. Sekarang kita perlu sabar dengan patuh kepada kepimpinan dalam menangani wabak ini.
    Terlalu besar hikmah ujian kita ini kerana kita perlu bersatu hati sama-sama. Gunakan kesempatan ini, untuk mengimarahkan rumah kita dengan pengisian agama.

    Tak nampak kah betapa Allah sayang kita dengan kehadiran wabak ini?

    Allah bagi kita masa bersama keluarga.
    Allah latih kita menjadi imam di rumah.
    Allah latih kita bersabar untuk tahan diri di rumah.
    Allah latih kita kawal diri untuk bijak berbelanja dengan membeli barang yang perlu sahaja.
    Allah latih kita menjadi khatib di rumah.
    Allah latih kita menjadi lebih toleransi bersama keluarga.

    Banyak lagi hikmahnya yang masing-masing tahu dan sedar Allah sangat sayang kita.

    Bagi saya, ini bukanlah masa untuk mempertikaikan keberadaan kita sebelum ini bagi menghadapi isu-isu agama.
    Ini bukan masanya untuk kita mengungkit-ungkit “di mana kalian” sebelum ini.

    Bagi saya, sekaranglah masanya kita insafi diri dan kembali sepenuhnya berharap kepada Allah dengan berusaha serta berjuang di medan peperangan menghadapi ujian besar ini.
    Sekarang juga masanya untuk kita menyedarkan dan menyebarkan bahawa Allah sangat sayang pada kita kerana itu Allah memberikan kita ujian ini.
    Sekarang juga masanya kita perlu saling menyayangi sesama kita, kembali kepada fitrah Islam iaitu saling mencintai saudaranya. Menunaikan hak sesama kita dengan menjaga diri, mematuhi peraturan dalam pengawalan penularan wabak ini.

    Allah Yang Maha Tahu segalanya.
    Moga kita semua terus bersabar bertambah keimanan dalm menghadapi ujian ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *