Oleh Muhammad Mohamad Idris

KETEGSAN Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral Tan Sri Affendi Buang yang menyatakan bahawa tindakan hukuman yang setimpal perlu dikenakan terhadap anggota tentera jika didapati terlibat dalam sindiket penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATI). Dalam kenyataan medianya, beliau menyerahkan kewibawaan kepada pihak berkuasa untuk menyiasat dengan lebih lanjut. 

Ini penting kerana menurut beliau, “…ia mencemarkan imej ATM sebagai pasukan keselamatan yang bertanggungjawab dalam memastikan kedaulatan dan kesejahteraan negara sentiasa terpelihara.”

Negara ketika ini berada dalam keadaan genting dalam fasa pemulihan selepas diduga dengan wabak Covid-19 serampak dengan dugaan ekonomi. Maka kegagalan membendung dan mengawal kes penyeludupan PATI ini bukan sahaja meningkatkan kadar jenayah malah memungkinkan juga kebarangkalian penyebaran semula wabak yang menyukarkan lagi usaha pembinaan semula ekonomi.

Malah, salah laku penguatkuasa ini sudah tentu mencabar semangat Pelan Strategik Sumber Manusia, Kementerian Pertahanan (2016-2020) yang menetapkan visi berbunyi, “Peneraju pertahanan negara yang berwibawa”. Di dalam pelan ini telah memuatkan nilai nilai bersama kementerian termasuklah integriti yang memberati ‘kejujuran dan amanah dalam melaksanakan tugas’.

Penyeludupan masuk pendatang tanpa izin antaranya disebabkan sikap tidak amanah sesetengah pihak yang diberi tanggungjawab menangani isu ini (Gambar hiasan Bernama)

Isu penglibatan anggota tentera timbul setelah pendedahan Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay dalam Operasi Benteng yang mula digerakkan sejak Mei yang lalu di bawah pengawasan National Task Force. 

Berdasarkan siasatan awal mendapati penguatkuasa yang telah ditangkap telah bersekongkol dengan sindiket dengan membocorkan maklumat dalaman dan disyaki menerima imbuhan yang lumayan dalam setiap transaksi penyeludupan PATI.

Salah laku ini boleh merobek kepercayaan dan harapan rakyat kerana anggota tentera merupakan antara perkhidmatan awam paling dihormati. Kita wajar mengambil iktibar dari perkara ini kerana pentadbiran negara memerlukan ahli penjawat awam termasuklah penguatkuasa yang bertanggungjawab dan proaktif bagi memastikan penyampaian perkhidmatan berada pada tahap optimum. 

Ini selari dengan kata-kata Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Mohd Zuki Ali, “Hanya nilai integriti, kejujuran dan amanah yang kukuh dalam diri seseorang dapat menangkis godaan rasuah serta salah guna kuasa.”

Bagi orang Melayu, sikap bertanggungjawab ini penting kerana iman dan amalan kehidupan duniawi bersifat sepadu dalam setiap aras lapisan pentadbiran. Perkara ini jelas dinyatakan di dalam al-Quran di dalam Surah al-Anfal (8): 27, “Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengkhianati (amanah) Allah dan RasulNya, dan (janganlah) kamu mengkhianati amanah-amanah kamu, sedang kamu mengetahui (salahnya)

Advertisement
”.

Ilmuwan Melayu abad ke-19, Raja Ali Haji di dalam karya ketatanegaraannya, Thammarat al-Muhimmah telah menjelaskan antara perkara penting dalam membina pentadbiran yang unggul ialah mempunyai jiwa peribadi yang berakhlak mulia. Ketatanegaraan merupakan ilmu seni mentadbir manusia yang menuntut setiap ahli yang terlibat mempunyai ilmu agama dan dunia yang mantap.

Beliau menggunakan pendekatan tasauf yang juga membantu membina peribadi yang mulia dalam pekerjaan. Ini kerana setiap kelakuan dan tindakan zahir merupakan cerminan kepada hati.

Iman yang mantap akan mengenal perkara perkara tercela yang membawa kepada kezaliman. Raja Ali Haji menjelaskan makna kezaliman sebagai tindakan atau hukuman penganiayaan ke atas manusia dan harta benda yang bertentangan dengan hukuman al-Quran dan Hadith dan Ijma’.

Di dalam Thammarat al-Muhimmah juga memuatkan empat belas sikap tercela penjawat awam yang membawa kemudaratan kepada pentadbiran negara yang melibatkan bukan sahaja permimpin tertinggi malah badan pelaksana. Salah satu sikap tercela ialah tamak yang menurut Raja Ali Haji, ialah loba kepada dunia, hawa nafsu yang melampaui syariah. Sikap ini mendatangkan sikap hilangnya malu, penganiyaan dan pengkhianatan kepada negara.

Hatta, bagi memastikan pentadbiran yang unggul dapat dicapai, beliau mengingatkan proses pemilihan penjawat awam perlu dijalankan secara baik. Antara kriteria yang penting bagi calon penjawat awam ialah baik perangai, bermaruah dengan sifat malu dan beradab, berilmu dan menegah kemungkaran. 

Ini penting kerana faktor pemilihan yang hanya memberi tumpuan kepada kelebihan bakat kemahiran semata-mata berpotensi tidak mencukupi untuk memiliki penjawat awam yang baik. Asbab pemilihan penjawat awam yang merendahkan kepentingan sifat akhlak diri menyebabkan berpotensinya salah laku kolar putih.

Tanpa iman yang mantap seseorang individu boleh mengeksploitasi dengan tipu helah untuk menghalalkan cara untuk mencapai matlamat. Oleh itu, keberkesanan pemilihan penjawat awam ini juga dicapai apabila panel pemilih penjawat awam juga mempunyai integriti yang baik.

Kesimpulannya, kerosakan dan penyalahgunaan kuasa dapat ditangani bukan sahaja melalui penguatkuasaan hukuman, malah kaedah pemilihan dan pembinaan akhlak yang baik. Ini penting bagi memastikan hasrat penjawat awam untuk mencapai pentadbiran beradab atau good governance. – BH

Advertisement
Please follow and like us:

Author / Editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *