Oleh Dr Anuar Ahmad

MEREKA kata Perdana Menteri setuju iktiraf UEC. Perdana Menteri kemudian sanggah dan menafikan. Mereka terus diam. Senyap. Nanti bila sudah reda, mereka akan muncul lagi. Inilah contoh provokasi dan desakan bertalu-talu yang selalu berlaku dalam sejarah UEC. 

Bukan hanya sekarang tetapi sejak merdeka.  Kerajaan didesak, di provokasi, dimanipulasi malah hingga diugut akan hilang undi (dalam kes tuntutan Siqiu). 

Orang Melayu khususnya dan pihak kerajaan umumnya begitu bertolak ansur dalam isu sistem pendidikan vernakular di negara ini. Sangat-sangat bertolak ansur. 

Anda tidak akan jumpa sebuah negara di dunia ini yang memberikan pengiktirafan kepada sekolah Cina dan Tamil, kemudian masukkan sekolah Cina dan Tamil dalam sistem pendidikan kebangsaan dan seterusnya menyediakan peruntukan tahunan. 

Dalam isu sekolah vernakular, tidak ada negara seperti Malaysia. Tidak ada pemimpin dunia yang begitu bertoleransi berkaitan sekolah vernakular sebagaimana pemimpin Melayu di negara ini. Tidak ada. 

UEC menjadi barang tawar menawar dalam politik.

Negara yang mahu membina sebuah negara bangsa yang berjiwa kebangsaan tidak akan membenarkan sama sekali sekolah vernakular berada dalam sistem kebangsaan mereka . Negara yang mahu mempertahankan bahasa kebangsaan dan budaya kebangsaan tidak akan membenarkan sekolah vernakular. Tidak akan sama sekali.

Tapi pemimpin Melayu negara ini sejak merdeka toleransi mereka sangat tinggi. Sehingga adakalanya toleransi berlebihan ini telah merimaskan orang Melayu sendiri. 

Pemimpin Melayu ketika merdeka dulu telah benarkan sekolah vernakular Cina dan Tamil diteruskan walaupun kerajaan Inggeris sendiri telah pun memansuhkan semua sekolah Cina dan Tamil melalui Laporan Pelajaran Barnes 1950. 

Penjajah meluluskan hanya satu aliran persekolahan yang menggunakan bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu, dan Bahasa Inggeris kemudiannya secara bertahap-tahap akan digantikan sepenuhnya dengan penggunaan bahasa Melayu. 

Penjajah Inggeris sendiri pun telah menolak pendidikan vernakular Cina dan Tamil di negara ini, tetapi pemimpin Melayu kutip balik apa yang dibuang oleh penjajah dan kemudian letakkan sekolah Cina dan Tamil di tempat yang tinggi dalam sistem pendidikan kebangsaan melalui Laporan Pelajaran Razak 1956, Rahman Talib 1960, Laporan Kabinet 1979, Akta Pelajaran 1995. 

Bukankah itu bukti betapa toleransinya pemimpin Melayu? Apa lagi yang kamu mahu?

Tapi nampaknya Dong Zong dan DAP tidak puas hati walaupun sekolah vernakular telah pun diberikan pengiktirafan oleh kerajaan. Mereka masih degil dan mahu lebih banyak lagi. Mereka mahu UEC pula. 

Mereka tuntut pula supaya UEC dibenarkan di negara ini. Kerajaan masih bertolak ansur dan meluluskan perlaksanaan UEC pada 1975. Sudah dapat kebenaran beroperasi, sejak 1975, mereka tuntut dan desak pula supaya kerajaan mengiktiraf sijil UEC. 

Desakan  mereka menampakkan kejayaan bila kerajaan pada 2012 telah meluluskan apa yang dipanggil sebagai ‘perlepasan bersyarat’ bagi lepasan UEC mengikuti Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (Bahasa Cina) di IPGM. 

Saya menyokong kuat anak-anak kita supaya menguasai bahasa Inggeris, Bahasa Arab dan Bahasa Mandarin sebagai bahasa kedua. Ajarlah mereka. Itu baik untuk masa depan mereka. Saya juga menyokong SRJKC dan SRJKT dikekalkan. Sama seperti saya menyokong kuat supaya sekolah rendah agama dikekalkan. Sebab semua itu adalah sekolah dalam aliran kebangsaan. 

Advertisement

Anak-anak kita di SRJKC dan SRJKT belajar kurikulum kebangsaan dan mereka juga mengambil peperiksaan kebangsaan. 

Saya juga tidak menolak malah menerima sepenuhnya keputusan kerajaan yang telah sekian lama mengizinkan perlaksanaan UEC di sekolah persendirian Cina di negara ini sejak tahun 1975. Teruskanlah kerana sekolah swasta boleh sahaja melakukan hal itu. 

Kerajaan perlu mendengar suara majoriti dalam isu menolak UEC. (Gambar Malaysia Dateline)

Tetapi saya mengambil sikap MENOLAK dan MEMBANTAH sepenuhnya cadangan beberapa pihak supaya kerajaan memberikan pengiktirafan sijil UEC. 

Mengapa? Kerana mengizinkan perlaksanaan UEC dan mengiktiraf Sijil UEC adalah dua perkara yang jauh berbeza. 

Saya tolak pengiktirafan sijil UEC bukan sebab saya anti bahasa Mandarin. Bukan sama sekali. Saya percaya bahasa Mandarin sangatlah penting untuk dikuasai. Tetapi bila ada cadangan supaya sijil UEC diiktiraf oleh kerajaan supaya sama tarafnya seperti sijil rasmi peperiksaan awam Malaysia yang lain (SPM, STPM) maka seharusnya kita semua mengambil sikap tegas menolak cadangan pengiktirafan sijil UEC ini. 

Cadangan ini sangat bertentangan dengan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan. Pengiktirafan sijil UEC juga adalah satu penghinaan dan pengkhianatan kepada Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan. 

Jika kerajaan masih mahu meneruskan niat untuk mengiktiraf sijil UEC, bermakna keputusan itu adalah satu kesalahan undang undang di bawah Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67. 

Di dalam perkara (2) akta berkenaan dimaktubkan bahawa: 

“Bahasa kebangsaan hendaklah digunakan bagi maksud rasmi: Kecuali sebagaimana yang diperuntukkan dalam Akta ini dan tertakluk kepada perlindungan-perlindungan yang terkandung dalam Perkara 152(1) Perlembagaan berhubung dengan mana- mana bahasa lain dan bahasa mana-mana kaum lain di Malaysia bahasa kebangsaan hendaklah digunakan bagi maksud rasmi.”

Atas sebab itu  apabila Kementerian Pendidikan Malaysia di bawah kerajaan PH menubuhkan satu jawatankuasa mengkaji pengiktirafan sijil UEC dua tahun lalu, ia adalah satu jawatankuasa yang sangat pelik. https://bit.ly/3eNiZbF

Bagaimana sesuatu yang secara terang terangan telah melanggar Perlembagaan Persekutuan dan Akta Bahasa Kebangsaan masih boleh dibawa berbincang? 

Bukankah itu kerja pelik? Sebagai rakyat yang menghormati keluhuran Perlembagaan, kita semua harus bangun dan menyatakan pendirian kita menolak cadangan pengiktirafan sijil UEC di negara ini.

Rujukan:

Dokumen Perlembagaan Malaysia 

http://www.kptg.gov.my/images/pdf/perundangan-tanah/perlembagaanpersekutuan.pdf

Dokumen Akta Bahasa Kebangsaan 63/67

http://www.agc.gov.my/agcportal/uploads/files/Publications/LOM/MY/Akta%2032.pdf

  • DR ANUAR AHMAD adalah seorang ahli akademik.

Advertisement
Please follow and like us:

Author / Editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *