HUJAHAN berkenaan dengan hak untuk beragama adalah berdasarkan hak yang telah diperuntukkan dalam Perkara 11(1) Perlembagaan Persekutuan yang secara jelas menzahirkan bahawa setiap orang berhak menganuti dan mengamalkan agama mereka. Justeru, mana-mana orang yang menghalang seseorang daripada mengamalkan agamanya adalah satu tindakan yang tidak berperlembagaan.
Hak beragama juga terpakai ke atas pekerja. Dalam konteks ini, hak beragama meliputi kebebasan pekerja mengamalkan ritual dan ajaran agama masing-masing termasuklah daripada segi pakaian. Hak ini juga secara idealnya memberikan perlindungan kepada pekerja daripada ditindas atau didiskriminasi atas alasan agamanya. Perlindungan daripada segala bentuk diskriminasi turut dinyatakan dalam Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan.
Dengan merujuk kepada Perkara 8 dan Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan ini, seorang pekerja Muslim mempunyai hak dan kebebasan untuk mengamalkan ajaran Islam dalam cara hidup mereka dan dilindungi daripada sebarang bentuk diskriminasi. Cara hidup Muslim termasuklah cara berpakaian megikut tuntutan agama serta hak menunaikan solat sebagaimana yang diwajibkan ke atas mereka. Hak ini dianggap remeh oleh sesetengah pihak tetapi merupakan perkara yang penting bagi seorang pekerja Muslim.
Kita mungkin pernah mendengar pekerja Muslim ditindas, didiskriminasi dan dinafikan hak beragama di negara yang majoritinya bukan Islam. Itu sudah menjadi satu kelaziman. Malah pekerja dan penganut Islam di negara-negara tersebut juga berhadapan dengan prejudis terhadap masyarakat Muslim ataupun Islamofobia dalam kehidupan seharian mereka di tempat kerja. Namun, secara logiknya, isu pelanggaran hak beragama ke atas pekerja Muslim tidak sepatutnya berlaku di negara yang meletakkan Islam sebagai agama persekutuan.
Gangguan terhadap agama dikatakan berlaku apabila majikan atau rakan sekerja dengan sengaja melakukan sesuatu yang melanggar terma, syarat atau keistimewaan yang dinikmati oleh pekerja atas faktor agama. Ini sejajar dengan takrifan Islamophobia yang diistilah sebagai ketakutan, kebencian, atau prasangka terhadap Islam dan umat Islam yang mengakibatkan pola diskriminasi dan penindasan.
Pekerja Muslim wanita sering berhadapan dengan gangguan dan diskriminasi seperti ini di tempat kerja. Misalnya apabila terdapat majikan atau orang atasan yang mengenakan larangan bertudung di tempat kerja atas alasan keseragaman pakaian syarikat. Isu larangan bertudung bukanlah satu isu baru tetapi merupakan isu yang berterusan. Sekitar 2018 misalnya kita dikejutkan dengan sekatan bertudung yang dikenakan ke atas pekerja wanita yang bekerja di hotel.
Polisi ini dikenakan ke atas pekerja yang bekerja di bahagian depan atau di bahagian makanan dan minuman. Kesannya bagi pekerja wanita yang ingin terus bertudung, mereka perlu ditempatkan semula di bahagian-bahagian lain di dalam hotel tersebut. Isu ini dikatakan selesai selepas tiga Persatuan Hotel iaitu Persatuan Hotel Malaysia, Persatuan Pemilik Hotel malaysia dan Persatuan Hotel Bajet Malaysia menandatangani akujanji bersama-sama Kementerian Sumber Manusia untuk tidak menetapkan sebarang polisi yang melarang pekerja wanita memakai tudung.
Namun menurut International Women’s Alliance for Family Institution and Quality Education (WAFIQ), masalah larangan bertudung di tempat kerja masih lagi berlaku. Malah terdapat laporan media tentang larangan bertudung bagi jururawat yang bekerja di hospital swasta. MACSA turut menerima aduan daripada seorang pekerja yang didakwa diberhentikan oleh majikan kerana bertegas ingin terus bertudung di tempat kerja.
Pelanggaran terhadap hak beragama juga berlaku terhadap pekerja-pekerja lelaki. Pekerja lelaki ada yang dilarang daripada menunaikan solat Jumaat. Sekiranya terdapat pekerja yang enggan mematuhi larangan ini, mereka berhadapan dengan risiko potongan gaji. Majikan perlu sedar bahawa tanggungjawab menunaikan solat Jumaat adalah wajib di sisi agama dan undang-undang. Ini adalah selari dengan peruntukkan dalam Seksyen 14 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 yang menjadikan kesalahan mana-mana lelaki baligh yang tidak menunaikan sembahyang Jumaat di masjid dalam kariahnya tiga kali berturut-turut tanpa uzur syarie atau tanpa sebab.
Justeru, polisi larangan menunaikan Solat Jumaat sebenarnya meletakkan pekerja lelaki Muslim tersebut dalam keadaan terperangkap di antara tuntutan mencari rezeki dan tuntutan sebagai Muslim. Ini merupakan satu kezaliman yang nyata ke atas pekerja Muslim.
Kendatipun Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia telah mengeluarkan garis panduan berkenaan dengan panduan menunaikan solat pada waktu bekerja, namun pencabulan terhadap hak pekerja menunaikan solat Jumaat masih berlaku. Sebagai contoh Persatuan Pekerja Mahir Kren Menara Malaysia (PERKREMA) telah melaporkan bahawa mereka menerima sekurang-kurangnya 10 aduan setiap hari Jumaat berkenaan dengan larangan menunaikan solat Jumaat oleh majikan masing-masing.
Situasi-situasi di atas merupakan cabaran yang dialami oleh pekerja Muslim. Lebih malang para pekerja tidak mempunyai tempat untuk membuat aduan mengenai pancabulan hak asasi mereka ini. Sehingga hari ini, Malaysia masih tidak mempunyai apa-apa perundangan khusus untuk menangani isu diskriminasi terhadap pekerja di Malaysia.
Tuntasnya, kita harus mengakui masih terdapat pekerja Muslim yang dinafikan hak mereka untuk beribadah. Pengenalan polisi yang menyekat kebebasan amalan beragama pekerja Muslim bukan sahaja satu amalan yang jelik tetapi jelas menunjukkan perasaan prejudis terhadap agama Islam. Kerajaan diharapkan berupaya mengambil langkah proaktif untuk membela hak beragama pekerja sekurang-kurangnya agar mereka tidak perlu memilih antara gaji dan akidah. (Utusan Malaysia 24 Julai 2020)
- KU AMIRUL FAIZ adalah peguam, Ketua Penerangan GPMS Wilayah Persekutuan dan Ahli Jawatankuasa Pusat MACSA