Oleh Kamaruddin M. Ripin

DESAKAN demi desakan memaksa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan secara telus bukan lagi sesuatu yang baharu. 

Jika mahu dititipkan satu persatu, tidak mustahil mencapai ribuan bilangannya dalam tempoh setahun. Yang paling banyak daripada kalangan juak-juak politik berkepentingan.

Parti A minta SPRM siasat pemimpin parti B dan begitulah sebaliknya. Tidak habis-habis.

Sebenarnya tidak salah pun untuk membuat desakan mahu pun melahirkan luahan sekiranya mempunyai asas. Sebabnya, SPRM memang berkhidmat untuk rakyat.

SPRM cuba dijadikan alat politik pihak tertentu.

SPRM pula sememangnya sentiasa perlu bersikap terbuka untuk menerima keluh kesah rakyat berkaitan rasuah. Perkara seumpama ini bukan datang daripada rakyat sahaja, malah pihak istana juga pernah melahirkan perkara sama.

Misalnya, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah pun pernah menasihatkan SPRM agar memberi maklumat secukupnya kepada rakyat mengenai tindakan penguatkuasaan agensi berkenaan.

“SPRM seharusnya memberi maklumat secukupnya kepada rakyat mengenai tindakan penguatkuasaan yang dilakukannya dan hasil daripada siasatan juga perlu sampai ke pengetahuan rakyat secara berkesan.

“Maklumat lengkap hasil siasatan ini penting bagi mengelak persepsi bahawa sesetengah pihak dibebaskan tanpa sebarang tindakan dan SPRM tunduk kepada pihak tertentu dalam melaksanakan tugas mereka,” titah baginda selepas berkenan merasmikan bangunan baharu Kompleks SPRM di Shah Alam tahun lalu.

Namun persoalan timbul apabila desakan atau luahan tersebut dilakukan berulang-ulang kali oleh kumpulan tertentu dan ia berbaur permainan politik semata-mata tanpa asas kukuh. 

Malah jika diteliti, desakan mereka itu lebih mirip kepada hasutan agar rakyat mempercayai apa yang mereka dakwa. Dalam bahasa mudahnya, orang politik menjadikan isu rasuah untuk melemahkan atau menjatuhkan lawannya.

Tidak keterlaluan jika dikatakan konsep yang digelar pascakebenaran atau post-truth ini telah menjadikan SPRM sebagai mangsa hingga jatuhnya kedudukan agensi berkenaan di hati rakyat.

Tetapi apakah yang dimaksudkan dengan post-truth itu? Mengikut Kamus Bahasa Inggeris Oxford, post-truth menggambarkan keadaan dunia yang tidak lagi menitikberatkan fakta objektif untuk membentuk wacana umum, sebaliknya, kepercayaan peribadi dan emosi lebih berpengaruh untuk menentukan soal-soal umum masyarakat atau negara.

Memetik tulisan Ku Seman Ku Hussain dalam artikelnya bertajuk ‘Apabila kepalsuan diposisikan sebagai kebenaran’ (Utusan Malaysia 3 Ogos 2020), beliau menjelaskan, dalam suasana politik hari ini kebenaran bukan lagi hakiki tetapi bersifat relatif. 

Kebenaran boleh berubah-ubah mengikut keadaan dan kepentingan. Boleh juga diposisikan dalam pelbagai bentuk dan hubungan untuk mendapat maksud baharu yang selari dengan matlamat politik.

Pendek kata, pada era post-truth ini, toleransi rakyat terhadap tuduhan liar, tidak sah, tidak berasas, bukan lagi jadi persoalan. 

Penyebaran banyak berita palsu dalam media sosial yang kemudiannya dipaparkan di media arus perdana, diterima tanpa banyak soal, sekalipun setelah diperjelaskan bahawa berita palsu itu sebenarnya adalah dusta atau fitnah semata-mata.

Oleh sebab itulah, SPRM turut terpalit malah dijadikan bahan pertikaian untuk mengelirukan orang ramai.

Dalam hal ini, orang ramai seharusnya tidak keliru dengan peranan SPRM sebagai badan penyiasat rasuah. Mereka juga perlu tahu SPRM tidak bertanggungjawab dalam menentukan kes yang didakwa atau dibicarakan di mahkamah.

Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak juga turut disiasat oleh SPRM.

Jika hendak melihat tahap profesionalisme SPRM menjalankan tugas, kita boleh menelusuri perjalanan siasatan kes SRC International Sdn. Bhd. yang melibatkan bekas Perdana Menteri.

Dalam kes ini, SPRM membuktikan tiada siapa yang akan terlepas sekiranya melakukan rasuah waima pemimpin tertinggi negara. Ini sekali gus menolak dakwaan bahawa SPRM menjadi alat politik kerajaan memerintah.

Misalnya, apabila kerajaan Barisan Nasional memerintah, hanya pembangkang ketika itu kena (disiasat), seterusnya apabila Pakatan Harapan memerintah, pembangkang ketika itu pula yang kena, hinggalah kepada pemerintahan terkini oleh Perikatan Nasional.

Perkara seumpama ini tidak berlaku.

Jika hendak digambar dengan lebih mudah, tidak kisahlah siapa pun dan  bila waktu disiasat, asasnya, SPRM akan menyiasat berdasarkan maklumat atau aduan yang diperoleh.

Malah apabila SPRM buka kertas siasatan, sama ada akan berakhir dengan pendakwaan atau tidak, ia bergantung kepada dapatan fakta kes.

Kesimpulannya, apa jua liku-liku yang melanda, SPRM tetap berpegang kepada dua asas yang utama iaitu prinsip pengasingan kuasa (separation of powers) dan keluhuran undang-undang (rule of law).

Jika tidak berpegang pada asas ini, kita seolah-olah berpusing-pusing di bulatan yang besar tanpa menemukan jalan keluar.

  • KAMARUDDIN M.RIPIN adalah Pengarah Bahagian Komunikasi Strategik SPRM.
Please follow and like us:

Author / Editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *