Hamid Bador (Gambar Malaysia Gazette)

SHAH ALAM, 20 Okt — Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Hamid Bador menjelaskan bahawa akhbar tersalah petik kenyataan pegawainya apabila melaporkan bahawa dua individu dalam kegiatan Macau Scam tidak terlibat dalam aktiviti itu.

Sehubungan itu, katanya, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed akan membuat sidang akhbar esok bagi menjelaskan isu itu.

“Akhbar itu salah petik. Esok Datuk Huzir ada PC. Dia akan clarify,” katanya di sini hari ini.

Sebuah akhbar yang memetik kenyataan Huzir hari ini dilaporkan mengesahkan dua individu yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung kes pengubahan wang haram baru-baru ini, tidak terbabit dalam kegiatan penipuan atau Macau Scam di negara ini.

Akhbar itu meletakkan tajuk “Addy Kanna, Leong Yeong tidak terlibat Macau Scam: PDRM”.

BebasNews sebelum ini difahamkan, Alvin, yang juga dikenali sebagai Datuk Seri Alvin (gelaran palsu) berperanan sebagai orang yang menjalankan operasi haram itu. Beliau kini sedang diburu polis kerana melarikan diri dengan melompat pagar dari pekarangan ibu pejabat SPRM baru-baru ini.

Sementara orang kanan Alvin, Addy Kana (yang kini dalam tahanan POTA) pula berperanan selaku pegawai “perhubungan awam” dengan pihak-pihak berkuasa dan mencuci wang melalui perniagaan oleh artis-artis tempatan.

Advertisement

Huzir dalam laporan akhbar itu dipetik berkata, siasatan mendapati, dua lelaki terbabit iaitu Addy Kanna dan seorang lelaki dikenali sebagai Goh Leong Yeong@Alvin berperanan sebagai koordinator atau ejen untuk menyediakan kemudahan kediaman, pusat panggilan yang dilengkapi peralatan komputer dan telekomunikasi serta kemudahan internet.

“Pusat panggilan yang beroperasi di unit kediaman mewah dan pejabat itu menjalankan operasi harian dengan menyasarkan rakyat di China sebagai mangsa aktiviti perjudian, penipuan pelaburan mata wang asing (Forex) dan penipuan pembelian barang serta tuntutan barang seperti scam,” katanya ketika dihubungi akhbar itu semalam.

Huzir dipetik berkata lagi, dakwaan pihak tertentu mengaitkan kegiatan penipuan dalam talian di negara ini dengan dua individu terbabit adalah tidak tepat.

Ini kerana, katanya, kegiatan penipuan dalam negara dilakukan oleh sindiket penipuan lain.

“Dakwaan pihak tertentu yang menganggap kegiatan penipuan dalam talian di negara ini membabitkan dua individu itu adalah tidak tepat,” katanya yang dipetik akhbar itu. BEBASNEWS

Advertisement
Please follow and like us:

Author / Editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *