Tragedi 13 Mei 1969 antaranya disebabkan kurang kefahaman budaya antara kaum di negara ini.

Oleh Ku Seman Ku Hussain

DASAR Kebudayaan Kebangsaan 1971  lahir daripada Kongres Kebudayaan Kebangsaan  yang berlangsung pada 16 Oktober 1971 di Dewan Tunku Canselor  Universiti Malaya.  Kongres itu adalah  adalah cetusan  pemikiran Perdana Menteri Tun Razak Hussein.  Beliau melihat ada kelompangan dalam kefahaman budaya dalam negara  yang relatifnya baru merdeka.

Kelompangan dalam kefahaman budaya dibuktikan antaranya dengan tercetus tragedi rusuhan kaum yang berdarah pada 13 Mei 1969.  Ini adalah tragedi konflik kaum yang paling besar dalam sejarah negara selepas merdeka. Dua tahun selepas tragedi 13 Mei,  Tun Razak mencetuskan idea menganjurkan kongres kebudayaan  bertaraf kebangsaan.  

Dasar Kebudayaan Kebangsaan 1971 adalah acuan hidup bernegara, berbangsa dan berbudaya.  Kaum-kaum yang tinggal di negara ini perlu faham adat bernegara, berbudaya dan hidup berbangsa. Tun Razak telah meninggalkan acuan tetapi malangnya ada yang tidak endah.

Bahasa dan budaya ibunda cuba diangkat ke taraf kebangsaan dan rasmi pula sifatnya. Inilah yang dikatakan tidak faham adat bernegara dan berbudaya di negara yang terasnya Melayu. 

Dalam banyak gambar mengenai tragedi 13 Mei,  antara yang paling menonjol ialah penyokong ekstrem  sebuah parti politik bukan Melayu  masa itu menjulang penyapu kemudian disusuli dengan teriakan menghina orang Melayu.

Tun Abdul Razak

Penyapu mempunyai makna tertentu dalam budaya Melayu. Makna ini bukanlah menjadi rahsia malah semua kaum tahu bahawa orang Melayu lebih rela dipukul dengan kayu daripada dilibas dengan penyapu.  Apabila menjulang penyapu dibaca secara semiotik,  maknanya menjadi lebih besar dan bahaya.

Tun Razak tidak  hanya melihat  ketegangan antara Melayu dan Cina daripada sudut pandang politik semata-mata. Beliau juga melihat dari sudut  ketidakfahaman pemikiran budaya.  Inilah ketidakupayaan untuk memahami dan menghormati antara satu kaum dengan yang lain. 

Maka tujuan kongres budaya terbesar itu untuk mengumpul sudut pandangan budaya sekaligus mencari garis sempadan antara budaya kaum asal dan pendatang dari luar lingkungan dunia Melayu di Nusantara. Kongres ini memberi penegasan pentingnya budaya kaum asal  yang menjadi wajah pemikiran budaya yang mewakili negara ini.

Kongres yang dihadiri oleh lebih 1,000 peserta dan membincangkan lebih 60 kertas kerja yang menjurus budaya dan sosial oleh tokoh budaya dan ahli akademik.  Pembentangan dianggap menyeluruh yang menyentuh semua aspek dalam kehidupan berbudaya di negara yang berbilang kaum ini.

Bagaimanapun setelah menghampiri setengah abad,  Dasar Kebudayaan Kebangaan 1971 terpinggir daripada menjadi rujukan, dan ironinya  oleh kerajaan sendiri apabila merancang sesuatu dasar pembangunan sosial dan ekonomi. 

Ini adalah faktor utama yang membuatkan dasar ini menjadi kitab buruk yang tidak dipedulikan, apa lagi wujud oportunis yang  menonjolkan budaya kaum masing-masing. 

Media seperti televisyen dan radio misalnya terus memaparkan suatu yang bertentangan dengan perkara yang terkandung dalam Dasar Kebudayaan Kebangsaan 1971.  Televisyen terutamanya semakin hilang kesopanan dan kesusilaan serta seni berbahasa.  

Pemimpin politik Melayu sesetengahnya sibuk menjaga hayat politik dan membiarkan kerosakan-kerosakan ini berlaku di depan mata. Pasca PRU 14 adalah kemuncaknya – kenyataan akhbar menteri pun sudah ada dalam bahasa Cina dan Tamil.

Dasar Kebudayaan Kebangsaan 1971 sebenarnya sudah lengkap sebagai rujukan kebudayaan kebangsaan. Bagaimanapun dengan keadaan politik  semasa negara ini di mana wujud  parti berteraskan kaum,  Dasar Kebudayaan Kebangsaan 1971 akan terus diketepikan.

Kerajaan menerusi Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya sudah merangka Dasar Kebudayaan Nasional 2018 sebagai penambaikan pada Dasar Kebudayaan Kebangsaan 1971. Menyiapkan Dasar Kebudayaan Nasional 2018  berganda sukarnya berbanding Dasar Kebudayaan Kebangsaan 1971.  

Suara-suara yang mewakili kaum bukan Melayu begitu tertampil oleh sikap mereka terhadap budaya dan bahasa ibunda.  Sementara kepada sesetengah pemimpin politik Melayu,  hanya menjadi pengikut dan tukang angguk apabila kedudukan budaya Melayu diturunkan sedikit demi sedikit.

Sikap sesetengah orang Cina misalnya terhadap budaya dan kebahasaan jauh melampaui sikap sebahagian besar orang Melayu.  Ini  memberi gambaran kegelojohan cauvinis  kaum tertentu menggunakan ruang dalam lanskap baharu politik pasca PRU 14 untuk menonjolkan budaya dan bahasa. 

Bagaimanapun yang penting daripada Dasar Kebudayaan Nasional 2018  bukan sahaja penambahbaikan,  tetapi iltizam politik untuk menjadikan dasar ini sebagai rujukan wajib semua pihak.  Kalau ini tidak dapat dilakukan, dasar ini  akan menjadi gajah putih. Kaum tertentu terus mendominasi  dengan budaya ibunda –  dari bahasa hingga sistem pendidikan.

Dasar Kebudayaan Kebangsaan 1971 yang dipinggirkan kemudian terus mati dalam kegelojohan materialisme,  bergerak pantas mahu menjadi negara maju dan asakan yang kuat daripada cauvinis untuk menonjolkan budaya ibunda masing-masing.  Dasar Kebudayaan Kebangsaan 1971 terbenam dan terus dikebumikan dalam tawar menawar politik Melayu yang kurang bijaksana.

Dasar Kebudayaan Nasional 2018 masih belum dimuktamat.  Banyak perkara baharu yang terpaksa dimasukkan untuk disesuaikan dengan perubahan sosial dan politik – faktor utama yang menpengaruhi budaya di sesebuah negara.  Bagaimanapun budaya Melayu dijadikan teras utama walaupun menerima budaya kaum-kaum lain  yang tidak bertentangan dengan Islam.

Mana-mana budaya kaum lain yang tidak bertentangan dengan budaya Melayu dan agama Islam dianggap sebagai budaya kebangsaan. Sebenarnya tidak saja  budaya bukan Melayu sahaja tetapi budaya Melayu juga yang bertentangan dengan Islam tidak dianggap budaya kebangsaan.  Ini kerana Islam diangkat sebagai agama Persekutuan dalam Perlembagaan.

Mengambil kira pengaruh lanskap politik pasca PRU14,  dijangka akan berlaku banyak perubahan lagi berbanding Dasar Kebudayaan Kebangsaan 1971.  Pengaruh besar politik bukan Melayu pasca PRU 14 menjadi halangan untuk mengangkat wajah dan pemikiran budaya kebangsaan.  

Tiga teras utama dalam Dasar Kebudayaan Kebangsaan 1971 iaitu berteraskan budaya Melayu,  budaya yang tidak bertentang budaya Melayu dan budaya yang tidak bertentangan Islam mesti dikekalkan. Kalau ketiga-tiga teras ini diubah untuk disesuaikan dengan tuntutan politik bukan Melayu,  dasar kebudayaan menjadi semakin tidak bermakna.  (Utusan Malaysia 30 November 2020)

Please follow and like us:

Author / Editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *