Oleh Dr Anuar Ahmad

DALAM sejarah pendidikan negara, terbukti memang wujud penyebaran propaganda komunis melalui sekolah vernakular khususnya di sekolah Cina. 

Namun, kita selalunya hanya didengarkan tentang kisah propaganda gerakan komunis ini apabila Parti Komunis Malaya (PKM) ditubuhkan pada April 1930, khususnya peristiwa darurat 1948-1960.

Misalnya ada beberapa buku akademik berkaitan kajian gerakan komunis sekitar 1930-an. Antaranya buku tulisan Christopher Hale bertajuk ‘Massacre in Malaya’ , oleh Ho Hui Ling bertajuk ‘Darurat 1948-1960’  dan oleh Cheah Boon Kheng bertajuk ‘Red Star Over Malaya.’

Tapi jarang sekali kita didengarkan dengan kisah gerakan awal propaganda komunis di negara ini sebelum PKM ditubuhkan. Khususnya di era Perang Dunia Pertama (WW I)

Biar saya ceritakan satu kisah yang mungkin ramai antara kita belum pernah dengar tentang gerakan awal komunis di Tanah Melayu. Kisah ini hasil dari kajian akademik oleh seorang pengkaji gerakan komunis dari Flinders University of South Australia bernama Dr C.F Yong di dalam bukunya ‘The Origins of Malayan Communism.’ (1997). 

Buku The Origins of Malayan Communism.

Kisahnya bermula sepuluh tahun sebelum PKM ditubuhkan. Pada awal 1920, empat orang agen komunis dari Parti Komunis China  telah datang ke Tanah Melayu. Sebelum itu telah tinggal di Singapura sejak 1918 untuk membina jaringan dengan berbagai-bagai  ahli masyarakat di Singapura dan Kuala Lumpur. 

Ditulis di dalam buku ini,  “During the First World War, a small band of Chinese anarcho communists arrived in Malaya to lay the ground work for a radical political movement” (Lihat halaman 17). 

Siapakah empat orang agen komunis yang telah datang ke Tanah Melayu pada 1920?

Mereka ialah Cheung Hong Seng dari Foochow, Hu Tu Tsu dan Fan Chang Pu dari Canton serta Goh Tun Ban dari daerah Yung Chun, China. Menunggu mereka di Kuala Lumpur sebagai orang hubungan mereka ialah Wang Yu Ting yang berasal dari Chuanchou, China dan dia sebenarnya telah datang  lebih awal lagi ke Tanah Melayu.

Buku Red Star Over Malaya

Inilah kumpulan pertama agen komunis yang telah dikenal pasti melakukan propaganda komunisme di Tanah Melayu. Apa yang mereka lakukan untuk menjayakan propaganda komunis ini? 

Menurut Dr C.F Yong, tiga perkara telah dilakukan. 

Pertama, empat agen komunis serta pengikut mereka telah mengadakan banyak perjumpaan sosial dengan pemimpin kesatuan sekerja dan kemudian berjaya menyelinap masuk ke dalam kesatuan-kesatuan sekerja khususnya kesatuan sekerja ladang dan buruh di Negeri Sembilan, Selangor dan Perak. 

Akhirnya mereka berjaya menghasut kesatuan sekerja supaya menyokong gerakan komunis. Antara kesatuan sekerja yang paling aktif menyokong gerakan komunis di peringkat awal ini ialah Aik Min Workers Association Port Dickson, Aik Khuan Workers Association Kuala Pilah, Rubber Workers Association Negeri Sembilan, SPM Workers Association Negeri Sembilan dan Aik Chi Workers Association Sepang. (Lihat halaman 70). 

Kedua, empat agen komunis ini telah menubuhkan syarikat percetakan untuk menerbitkan risalah, majalah dan akhbar. Akhbar harian propaganda komunis yang pertama telah diterbitkan di Tanah Melayu diberi nama ‘Yik Khuan Poh’ (yang membawa maksud ‘a paper for the benefit of the public’). 

Salah seorang daripada mereka iaitu Goh Tun Ban telah dilantik sebagai editor dan pengurus penerbitan surat khabar Yik Khuan Poh ini. Anda akan perasan, salah satu taktik gerakan komunis ialah setiap masa mereka menggunakan istilah dan slogan seperti  ‘untuk rakyat’, ‘demi rakyat’,  ‘kesaksamaan,’ ‘rakyat ditindas’ dan  ‘perjuangan rakyat miskin’ untuk mengaburi mata masyarakat. 

Ideologi komunis masih wujud di negara ini, buktinya ada pihak menganjurkan ulang tahun ke 30 komunis meletak senjata di sebuah premis di Kajang.

Bagi tujuan menjayakan propaganda ideologi komunis ini,  penerbitan akhbar Yik Khuan Poh juga telah dibiayai oleh ahli perniagaan Cina di Kuala Lumpur yang menyokong gerakan komunisme. Peniaga kaya adalah pembiaya utama gerakan komunis di Tanah Melayu di peringkat awal. Antaranya Peng Tse Wen, Ch’an Chan Mooi, Ch’en Peng Hsiang, Sin Hou Tzu dan Wang Ying Wu (Lihat halaman 21)

Advertisement

Dr C.F Yong di dalam bukunya telah merumuskan kejayaan besar propaganda komunis melalui pengedaran surat khabar propaganda Yik Khuan Poh dengan menulis,  “Yik Khuan Poh contributed to making Kuala Lumpur into the most important centre of early communist operation.(Lihat halaman 43)

Ketiga, empat agen komunis di peringkat awal telah berjaya mempengaruhi guru besar dan guru guru sekolah Cina untuk menyokong gerakan komunisme. Dengan sokongan kewangan para peniaga, sekolah Cina dibaiki dan ada yang dibina baru. Jumlahnya sekolah Cina di Kuala Lumpur telah meningkat kepada 23 buah pada tahun 1925. 

Seterusnya agen komunis mengisi guru guru yang menyokong gerakan komunis di sekolah berkenaan.  Sebagai contoh, seorang pemimpin komunis yang cukup berpengaruh di Shanghai bernama Tung Fang Cheng telah dibawa ke Tanah Melayu dan dilantik menjadi pengetua sekolah Chung Hwa di Setapak, Kuala Lumpur pada Disember 1922. Setelah menjadi pengetua sekolah tersebut, Beliau kemudian telah melantik guru-guru berideologi komunis bertugas di sekolah berkenaan. 

Melalui guru-guru ini, risalah propaganda komunisme dari Yik Khuan Poh  diedarkan ke sekolah sekolah untuk dibaca oleh para pelajar. 

Menurut Dr C.F Yong , “…. in his position, Tung Fang Cheng was instrumental in recruiting other communists as teachers for his school, making it one of thebfirst communist cell in British Malaya. His efforts and those of other communists in Kuala Lumpur to recruit and shelter fellow travellers as colleagues soon made Kuala Lumpur a most important centre of communist operation.” (Lihat halaman 43). 

Tung Fang Cheng juga telah diklasifikasikan oleh risikan polis British ketika itu sebagai pengerak propaganda komunis yang paling berpengaruh di Tanah Melayu (Lihat halaman 48). 

Kita mungkin tertanya-tanya mengapa agenda komunis meletakkan orang penting seperti beliau sebagai pengetua? Mengapa di sekolah?

Malah selain gerakan komunis telah menyelinap di 23 buah sekolah Cina sekitar Kuala Lumpur, gerakan komunis juga banyak menubuhkan sekolah malam untuk orang dewasa. 

Tujuan mereka ialah untuk mendoktrinkan anak muda dan orang dewasa tentang gerakan komunis melalui pendidikan. Mereka berjaya dengan cara-cara ini untuk merekrut lebih ramai anak muda untuk menjadi penyokong komunis. 

Dengan menyelinap masuk ke sekolah Cina, agen komunis telah melakukan pengkaderan pelajar di dalam gerakan komunis barulah gerakan ini akan berjaya. 

Musuh rakyat, Chin Peng. Gambar kanan ketika menjadi pengganas di Malaya. Gambar kiri ketika tua.

Contohnya pemimpin PKM, Chin Peng bersekolah di sekolah Cina di Sitiawan Perak. Pada 1937 beliau telah menyertai The Chinese Anti Enemy Backing Up Society (AEBUS). Di dalam buku biografinya yang bertajuk, ‘Chin Peng: My Side of History’  telah dikisahkan bagaimana di alam persekolahanlah dia mula mengenal dan cenderung untuk bersama-sama dengan gerakan komunis.

Begitulah berkesannya institusi sekolah Cina ketika itu dijadikan tapak untuk penyebaran propaganda komunis. Bukan untuk tujuan gerakan komunis jangka pendek tetapi lebih untuk perancangan jangka panjang. 

Bayangkan selama 10 tahun, bermula dari tahun 1920, agen komunis telah melakukan gerakan propaganda komunis melalui kesatuan sekerja, pengedaran suratkhabar serta menyelinap masuk ke sekolah Cina, barulah PKM ditubuhkan pada April 1930.

  • DR ANUAR AHMAD adalah ahli akademik. Tulisan ini kali pertama disiarkan di Facebook miliknya.
Advertisement
Please follow and like us:

Author / Editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *