Annuar Musa pada sidang media di pejabatnya di Putrajaya hari ini. (Gambar – Malay Mail).

PUTRAJAYA 6 Jan – : Tan Sri Annuar Musa secara terbuka menetapkan pendiriannya enggan bersubahat dengan Pengerusi Barisan Nasional (BN) yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi terhadap usaha-usaha yang diambil bertentangan dengan prinsip dan pendirian politiknya.

Annuar yang dipecat sebagai Setiausaha Agung BN semalam menegaskan, terdapat beberapa keputusan dan tindak-tanduk Ahmad Zahid yang disifatkannya dibuat mengikut agenda peribadi pucuk pimpinan.

Sehubungan itu, Annuar memberitahu, beliau secara konsisten berpegang kuat pada segala keputusan parti serta prinsip asas penubuhan parti iaitu menyatupadukan orang Melayu dan umat Islam.

Katanya, gabungan Muafakat Nasional (MN), BN dan Perikatan Nasional (PN) telah membentuk muafakat yang sepatutnya diperkukuhkan.

“Parti dilihat telah diseret untuk mengikut agenda peribadi. Perbezaan pendirian ini menuntut saya mengambil ketetapan untuk tidak bersekongkol dengan gerakan-gerakan yang tidak selari dengan keputusan rasmi MKT (Majlis Kerja Tertinggi).

“Dengan perbezaan prinsip ini, adalah lebih baik saya tidak bersubahat dengan hala tuju Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Zahid Hamidi. (Gambar – Raja Faisal Hishan – The Star)

“Dengan tidak lagi menjadi Setiausaha Agung BN saya lebih bebas bertindak dan membuat pendirian politik mengikut hati nurani dan ‘conscience’ saya sendiri bersama rakan-rakan yang sealiran,” kata Annuar dalam sidang media di pejabatnya di sini pada Rabu.

Tegas Ahli Parlimen Ketereh itu, selama menjawat jawatan Setiausaha Agung BN, beliau menyedari tugas itu hanya boleh dilaksanakan dengan baik apabila terdapat perasaan saling meyakini dan mempercayai antara beliau dan Pengerusi.

Advertisement

“Walaupun sememangnya wujud suasana sedemikian sebelum ini, namun sejak kebelakangan ini, suasana tersebut telah berubah berikutan beberapa perkara, peristiwa dan dasar yang menuntut saya mempertahankan prinsip dan pendirian politik saya secara tegas dan berterus-terang,” kata Annuar lagi.

Berikut antara dasar yang dibuat pucuk pimpinan yang membuatkan Annuar tidak jelas dengan hala tuju parti:

  • Sokongan secara hitam putih kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menjatuhkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang dianggotai BN.
  • Percubaan dan perundingan yang melibatkan DAP dalam apa yang diistilahkan Pembentukan Jajaran Baru Politik.
  • Percubaan menggugat kestabilan kerajaan PN berkali-kali yang menyebabkan terjejasnya hubungan baik terutamanya antara UMNO, Pas dan Bersatu yang merupakan parti teras yang telah mewujudkan Perpaduan Melayu dan Islam di negara ini.
  • Situasi ‘flip-flop’ pimpinan khususnya Pengerusi BN dalam perkara-perkara dasar berhubung MN sehingga berlaku kesamaran dan kekaburan dalam hala tuju MN.
  • Seruan demi seruan untuk dibubarkan Parlimen dan mengadakan pilihan raya dalam situasi rakyat menderita akibat penularan pandemik COVID-19 dan tekanan ekonomi yang sangat berat.
  • Kegagalan pimpinan mewujudkan keharmonian dan ketertiban dalam parti, di mana berterusan bertelagah secara terbuka telah menyebabkan terhakisnya keyakinan rakyat terhadap visi yang dibawa oleh parti.
  • Keputusan-keputusan parti seperti ‘NO DAP’, ‘NO ANWAR’, sokongan ‘en-bloc’ kepada kerajaan PN dan lain-lain telah tidak dihormati. – Astro Awani
Advertisement
Please follow and like us:

Author / Editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *