Sultan Nazrin (Gambar Bernama)

Abd Razak Mohd Ali

IPOH, 12 Jan –  Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, kehebatan Islam hendaklah diserlahkan melalui budaya kerja, aktiviti sosial, kegiatan ekonomi dan etika berpolitik.

Sehubungan itu, titah baginda, masyarakat Islam hendaklah dengan segala daya dan kekuatan, menolak sama sekali perlakuan yang boleh mencemarkan nama baik ummah serta kesucian Islam.

Baginda bertitah, ia boleh dilakukan dengan tidak memberikan amanah kepada mereka yang lemah moral dan terpalit dengan rasuah, salah guna kuasa dan tidak amanah.

“Masyarakat Islam hendaklah diserlahkan melalui kecemerlangan ummah menguasai ilmu dan pengetahuan, pekerjaan dan profesion, penguasaan ekonomi dan pemilikan kekayaan, serta kehebatan budaya dan keagungan tamadun,” titah Baginda.

“Kehebatan Islam hendaklah diserlahkan melalui budaya kerja, melalui aktiviti sosial, kegiatan ekonomi dan etika berpolitik.

“Masyarakat Islam hendaklah dengan segala daya dan kekuatan menolak sama sekali perlakuan yang boleh mencemarkan nama baik ummah serta kesucian Islam dengan tidak memberikan amanah atau menyerahkan tanggungjawab kepada kalangan yang berimej mungkar dan munafik, kalangan yang lemah moral dan rendah akhlaknya, kalangan yang terpalit dengan rasuah dan salah guna kuasa serta kalangan yang tidak amanah dan tidak ikhlas,” titah baginda lagi.

Baginda bertitah di Majlis Pengurniaan Watikah Pelantikan Yang Di Pertua dan Anggota Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak, Hakim Mahkamah Utama Syariah Perak, Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak dan Ketua Pendakwa Syarie Perak di Ipoh pada Selasa.

Sultan Nazrin bertitah, insan yang memiliki sifat-sifat takwa, akan bersifat jujur dan ikhlas apabila diamanahkan dengan tanggungjawab; dan apabila diangkat untuk memimpin, akan menjunjung amanah secara luhur dan tidak akan menodai kepercayaan yang telah diberikan.

Pada majlis itu, Ahli Dewan Negara Perak, Datuk Seri Mohd Annuar Zaini menerima watikah pelantikan sebagai Yang Di Pertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak.

Baginda turut bertitah bahawa umat Islam wajib melindungi kesucian agama daripada sebarang bentuk penodaan atau pencemaran berpunca daripada persaingan untuk mendapatkan laba politik.

Titah Sultan Nazrin, agama Islam yang diamanahkan tanggungjawab kepada Raja, akan lebih terjamin dilindungi kesuciannya.

Tambahnya, peruntukan khusus mengenai Islam yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, telah meletakkan agama Islam berada di tempat istimewa di negara ini.

“Ajaran Islam berlandaskan al-Quran dan Sunah Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam, wajib dilindungi kesuciannya daripada sebarang manipulasi.

“Hukum hakam dan tafsiran mengenai Islam tidak boleh dibenarkan untuk ditafsirkan sewenang-wenangnya oleh mana-mana kumpulan hingga tergelincir daripada landasan sebenar.

“Umat Islam wajib melindungi kesucian agama daripada sebarang bentuk penodaan atau pencemaran berpunca daripada persaingan untuk mendapatkan laba politik,” titah baginda.

Sultan Nazrin bertitah, Islam yang diperuntukkan kedudukan istimewa dalam negara ini hendaklah diangkat kemuliaannya kerana ia tidak bergantung semata-mata kepada kedudukannya seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan.

Tanpa adanya pengisian, perkara yang termaktub dalam Perlembagaan hanya tinggal sebagai frasa perundangan; laksana skrip kosong yang tidak memberikan sebarang erti dan makna.

Sehubungan itu, titah baginda, tanggungjawab memberi erti dan makna kepada frasa perundangan tersebut, terletak di atas bahu setiap umat Islam yang wajib berusaha menjelmakan Islam secara terserlah dalam budaya hidup harian. – Astro AWANI.

Please follow and like us:

Author / Editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *