Dalam keadaan rakyat bercempera dengan banjir besar dan Covid-19 ada pemimpin yang hilang ‘hati dan perut’ libat berpolitik. (Gambar hiasan Astro Awani)

Oleh Ku Seman Ku Hussain

PADA minggu lepas saudara kita di enam negeri terutama Pahang, Terengganu dan Johor diuji lagi dengan banjir besar yang memaksa lebih 25,000 orang berpindah di Pusat Pemindahan Sementara (PPS).  Mereka dibawa ke pusat pemindahan dengan seheiali sepinggang. 

Bayangkan harta benda  yang ditinggalkan walau mereka bukan hartawan  dengan kedalaman air separas bumbung. Hidup mereka pasti akan bermula dengan kosong selepas kembali ke rumah masing-masing.

Tidak semuanya orang berada, sebahagian besar hanya hidup sederhana yang kais pagi makan pagi. Apabila banjir melanda, serba sedikit harta benda yang ada pasti musnah termasuk kediaman.  Sudah pasti perasaan sentiasa tidak tenteram memikirkan di mana hendak cekau duit untuk memulakan kehidupan selepas banjir.

Bayangkan lebih 25,000 mangsa daripada lebih  6,000 keluarga terpaksa dipindahkan ke PPS. Mudahlah bagi yang berkata, ini satu bencana yang perlu dihadapi dengan tabah  kerana ada hikmahnya.   Klise sangat bunyinya. Tetapi mereka yang mengalami tahulah beratnya untuk berdepan dengan keadaan ini.

Pandemik yang berada pada paras sangat membimbangkan tidak berupaya menyedarkan sesetengah pemimpin supaya jeda seketika dari berpolitik. (Gambar hiasan MStar)

Pada masa yang sama pandemik Covid-19 terus menjulang dengan kes baharu melepasi 3,000 sehari.  Kematian pula sudah lebih 500 orang.  Sejak setahun lalu,  pandemik memberikan tekanan yang bukan kecil kepada rakyat terutama yang berpendapatan rendah.

Banyak dalam kalangan mereka kehilangan kerja dengan tiba-tiba.  Syarikat tempat mencari rezeki  mengecilkan jumlah tenaga manusia.  Maka banyaklah yang  terpaksa berhenti  dengan wang simpanan yang tidak seberapa. Memang sangat perit untuk meneruskan hidup, apa lagi di bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur.

Sebenarnya yang paling terkesan dengan pandemik adalah rakyat yang berpendapatan rendah.  Syarikat-syarikat besar dan sederhana yang mengaut untung sejak berpuluh tahun sukar untuk menanggung ‘rugi’  setahun demi kemanusiaan – tidak mengecilkan jumlah pekerja.

Hakikat ini tidak dapat dinafikan.  Tetapi golongan ini yang banyak ‘berbunyi’ kononnya perniagaan terjejas teruk akibat pandemik. Hakikatnya banyak yang seupaya mungkin mengekal keuntungan seperti tahun-tahun sebelum pandemik.  

Cara mudah dengan  kurangkan pekerja kemudian mengoptimumkan tenaga kerja yang ada.  Perkudakan semahu-mahunya. Istilah yang sedap didengar ialah multitasking tetapi lebih tepat  ialah eksploitasi. Ini dilakukan secara terhormat dalam keadaan permintaan di pasaran kerja yang sangat tinggi.

Kesan pandemik kepada tauke-tauke besar ibarat ‘miskin cara orang kaya’. Masih untung dan boleh bermewah-mewah. Ini sama sekali berbeza dengan ‘miskin orang miskin.’  Tidak ada hendak kais di mana lagi.

Rakyat yang kais pagi makan pagi berdepan  dengan kesan secara langsung daripada pandemik.  Hilang pekerjaan bermakna tiada pendapatan. Bayangkan untuk meneruskan kehidupan dalam persekitaran yang semuanya diukur dengan wang? 

Mujurlah kerajaan tidak mengambil masa yang lama untuk melaksanakan dasar-dasar yang menjurus pemulihan ekonomi dan bantuan bersasar kepada golongan ini. Sejak Mac tahun lalu hingga kini sudah banyak insentif yang disasarkan kepada golongan yang berpendapatan rendah atau B40.  

Memang benar bantuan kerajaan tidak sama dengan pendapatan yang hilang akibat Covid-19. Tetapi setidak-tidaknya boleh bernafas seketika sementara memulakan hidup dalam suasana yang baharu  yang tidak pernah terbayangkan sebelum ini.

Dalam keadaan amat getir inilah mereka boleh mengukur kualiti pemimpin,  antara yang  berkokok menjaja retorik dan yang benar-benar berkhidmat kepada rakyat.  Sebenarnya  rakyat tidak menuntut sesuatu yang besar pun daripada pemimpin yang datang ‘menyembah’ mereka lima tahun sekali itu.

Advertisement

Cukuplah bersimpati dengan keadaan hidup yang amat genting ketika ini. Caranya dengan melakukan ‘penjarakan politik’  dan  tidak menganggu tumpuan kerajaan untuk membantu rakyat.  Tentulah suatu yang sangat menyedihkan apabila ada pemimpin terus onar  untuk  merebut kuasa ketika rakyat derita.

Hal ini  sebenarnya  tidak boleh diterima akal yang waras. Dalam keadaan rakyat yang  teruk tertekan ini  ada pemimpin yang  terus rancak berpolitik – terloncat-loncat mendesak diadakan pilihan raya. Mereka tidak belajarkah dengan pasca Pilihan Raya Negeri  (PRN) Sabah yang mencetuskan gelombang kedua Covid-19?

Mendesak kerajaan mengadakan pilihan raya ketika Covid-19 di kemuncak adalah penghinaan yang sangat besar kepada rakyat.  Hal ini jelas menunjukkan sesetengah pemimpin hanya mengutamakan kepentingan peribadi –  jawatan dan kuasa. 

Pilihan raya pun  sudah tidak sampai tiga tahun lagi.  Bersabahlah sikit.  Hendak selamatkan diri ke mana dan kenapa? Bukan sepuluh tahun. Kalau terlalu mendesak,  matlamat yang tidak menjurus kepentingan rakyat itu akan semakin jelas.  Sembunyilah sikit supaya tidak terpampang semua yang tidak manis itu.

Pada mulanya saya tidak  terkesan dengan kata-kata seorang teman, kerasukan politik boleh sahaja menghilangkan ‘hati dan perut’ sekaligus  apa lagi  kuasa dan kepentingan peribadi menjadi kompasnya.  Susah utuk rakyat percaya wujudnya sedemikian buruk peribadi dan pekerti sesetengah pemimpin politik kita.

Tetapi buktinya sepanjang pandemik sejak Mac tahun lalu hingga hari ini,  sudah beberapa kali  berlaku onar dalam kalangan sesetengah pemimpin politik.  Bukan sekali tetapi beberapa kali. Ini menunjukkan kecenderungan untuk terus onar adalah sangat besar.

Terbaru Rabu lalu bersamaan 5 Januari, ketika Yang Di-Pertuan Agong  meredah air untuk melawat mangsa banjir di Pahang, Perdana Menteri  Tan Sri Muhyiddin Yassin turun bertemu penduduk terjejas di Johor,  ada segelintir pemimpin  di Kuala Lumpur  berteriak menuntut diadakan pilihan raya dengan segera. 

Hal yang demikianlah yang membuatkan kita sukar untuk menafikan pesanan kawan saya tadi –  politik yang tidak terpimpin boleh menghilangkan ‘hati dan perut’ sekaligus daripada sosok peribadi tertentu.  Banjir, Covid-19 dan kegilaan berpolitik terus mengancam hidup rakyat. Hari ini sebanyak 2,451 kes baharu Covid-19 dan 47,000 mangsa masih di pusat pemindahan, sesetengah pemimpin terus berkokok sekitar politik.

Advertisement
Please follow and like us:

Author / Editor

One thought on “Ada pemimpin politik telah hilang ‘hati dan perut’”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *