KUALA LUMPUR, 31 Jan – Pakar dasar kesihatan awam, Dr Khor Swee Kheng menyifatkan jumlah kes harian COVID-19 bukan sesuatu yang perlu menjadi keutamaan untuk menilai situasi semasa.
Ini kerana, jelas beliau, angka kes baharu yang didedahkan setiap hari itu tidak memberi gambaran yang tepat dan menyeluruh.
Berikut merupakan perkara yang masyarakat perlu lebih fahami:
1) Jumlah kes COVID-19 harian amat penting, tetapi adakah ia memberi gambaran tepat dan menyeluruh?
Jawapannya adalah tidak, kerana pandemik itu amat kompleks dan tidak boleh dinilai dengan satu angka sahaja.
Contohnya, apabila menilai sabun tangan, ia melibatkan lebih daripada satu faktor seperti harga, jenama, kewangian, dan sebagainya.
2) Jumlah kes harian amat bergantung kepada bilangan ujian saringan yang dilakukan. Oleh itu, lebih banyak ujian yang dibuat, bermakna kita akan mengetahui lebih banyak kes. Jika kurang ujian saringan, maka kurang kes yang diketahui.
3) Walau bagaimanapun, bilangan ujian saringan harian pula tidak selalu diumumkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Maka, susah untuk kita menilai sama ada ujian yang dijalankan adalah mencukupi untuk mencapai sasaran Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) iaitu kurang daripada lima peratus keputusan positif daripada jumlah ujian.
4) Mungkin ada hikmah di sebalik jumlah kes yang tinggi. Kita dapat mengasingkan pesakit yang dikenal pasti untuk melindungi rakyat lain. Dalam erti kata lain, lebih baik untuk kita mengenal pasti seramai pesakit COVID-19 yang mungkin, untuk diasingkan dan diberi rawatan.
5) ‘Jumlah kes harian’ yang tinggi tidak akan menimbulkan rasa takut, jika ada maklumat penting lain seperti:
- Jumlah yang bergejala ringan
- Jumlah yang bergejala serius
- Jumlah yang berada di Unit Rawatan Rapi (ICU)
Maklumat penting lain akan memberi gambaran menyeluruh kepada rakyat.
6) Jika ada pelan jangka masa panjang yang mantap untuk menjaga semua pesakit-pesakit COVID-19, maka kita tidak perlu risau atau panik walaupun jumlah kes harian melambung tinggi.
7) Ringkasnya, kita tidak patut terlalu fokus kepada ‘jumlah kes baharu harian’, kerana ia tidak tepat atau menyeluruh. Ia juga boleh mengelirukan atau menimbulkan panik yang tidak bermanfaat.
8) Adalah lebih baik jika kita fokus pada satu set petunjuk yang memberi gambaran lebih tepat dan menyeluruh untuk pandemik yang amat kompleks. – Astro Awani