PETUNJUK sebenar keadaan semasa pandemik Covid-19 bukan pada jumlah kes baharu. Tetapi inilah yang menjadi tumpuan sebahagian besar dalam kalangan media malah Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam laporan hariannya.  Seolah-olah semakin tinggi kes harian, keadaan semakin kritikal.

Maklumat yang tepat tetapi tidak dibimbing untuk memahami angka-angka yang signifikan  boleh mencetskan cemas yang tidak tentu arah. Keadaan cemas dalam kalangan masyarakat hanya kerana kefahaman yang tidak betul tentang angka-angka.

Maka apabila jumlah kes baharu melintasi 5,000,  MKN tidak berusaha meredakan cemas luar biasa yang sia-sia ini.  Masyarakat cemas kerana membaca angka kes harian. Mereka tidak diberi penerangan bahawa angka ini tidak  memberikan gambaran yang signifikan dengan keadaan sebenar.

Memang benar MKN menyalurkan semua maklumat mengenai kes baharu harian, kes sembuh, pesakit dalam ICU dan jumlah kematian.  Tetapi dalam kebanyakkan  maklumat yang sampai kepada masyarakat ialah gambar rajah dan angka.

Maklumat visual seperti gambar rajah ini menuntut kemahiran untuk memahami keadaan sebenar. Sepatutnya MKN menyalurkan maklumat berbentuk naratif dengan memperihalkan apa itu ‘kes baharu harian’ dan bagaimana untuk memberi makna pada angka-angka ini untuk mendapat gambaran yang tepat.

Hari ini misalnya,  kes baharu harian sebanyak 3,455 orang, kes sembuh 3,661 orang, kes aktif keseluruhan 47,847 orang, pesakit dalam ICU sebanyak 327 orang, jumlah kematian keseluruhan 791 orang, kes sembuh keseluruhan 173,990 dan kes keseluruhan 222, 628 orang.

Kes sembuh hari ini lebih besar berbanding kes baharu harian dan secara keseluruhan pula hanya 47,847 orang kes aktif.  Dengan jumlah kematian keseluruhan 791,  keadaan di negara ini sangat terkawal kerana kematian hanya 0.4 peratus daripada kes aktif. 

MKN tidak menyediakan maklumat harian daripada jumlah kes baharu itu hasil daripada berapa jumlah ujian ke atas orang ramai. Kalau menurut Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) bawah lima peratus kes baharu daripada jumlah orang yang diuji keadaan masih terkawal.

Dr Khor Swee Kheng
Dr Musa Nordin
Dr Noor Hisham Adullah

Menurut pakar dasar kesihatan awam, Dr Khor Swee Kheng,  jumlah kes baharu hanya bergantung kepada bilangan ujian saringan yang dilakukan pada hari berkenaan. 

Jadi, dengan tidak memberikan maklumat saringan,  jumlah kes baharu  tidak ada makna dalam konteks untuk melihat gambaran sebenar pandemik di negara ini.  MKN sepatutnya telah lama membimbing masyarakat membaca angka-angka yang signifikan, bukan memberikan gambaran yang menakutkan.

Memang semua menganggap  pandemik Covid-19 semakin serius tetapi apakah yang membuktikan tahap keseriusannya?  Demikianlah angka yang digembar-gemburkan oleh media bukanlah tanda aras yang sebenar. Cemas apabila kes baharu harian mencapai 5,000, ironinya  tidak lega pula apabila kes yang sembuh juga sama dengan angka kes baharu.

Menurut Dr  Khor Swee Kheng lagi,  kes  baharu harian yang tinggi harus difahami sebagai kejayaan kita mengasingkan mereka yang dikenal pasti ada jangkitan dengan orang lain.  Semakin banyak boleh diasingkan semakin tepat sasaran untuk memberi rawatan.

Advertisement

Orang ramai tidak perlu cemas yang sia-sia.  Kerajaan menerusi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)  mampu mengendalikan pandemik ini sejak awal tahun lalu. Jangan percaya dengan tukang karut politik yang memberi gambaran kerajaan gagal mengurus pandemik.

Tukang karut politik ini memang tidak bermoral,  sudahlah menganggu kerajaan menguruskan pandemik dengan menjaja ‘kerusi’ ,  kemudian memberi gambaran yang salah sama sekali kepada masyarakat. Pandemik ‘kerusi’ lebih serius berbanding Covid-19.

“Kita berjaya mengendalikan pandemik ini dengan baik di mana kes kematian hanya 0.4 peratus dan risiko kematian di Malaysia adalah satu dalam 50,000 orang berbanding di Amerika Syarikat  (AS)  satu dalam 700,” demikian tegas Perunding Pediatrik dan Perubatan, Dr. Musa Nordin.

Beliau berkata demikian pada sesi forum secara maya anjuran Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) bertajuk ‘Mendepani dilema menguruskan pesakit Covid-19 di hospital swasta’  baru-baru ini.

Ketua Pengarah Kesihatan,  Dr Noor Hisham Abdullah harus menyuarakan kepada MKN supaya lebih menyatakan keadaan sebenar Covid-19, bukan mencemaskan dengan angka-angka yang tidak ada signifikan.  

Ini kerana dengan peningkatan kes baharu ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kedua berlangsung.  Ada yang bertanya,  apa yang tidak kena dengan pelan kerajaan berdepan dengan Covid-19, semakin dikurung semakin banyak.

Padahal pelan kerajaan berhasil cuma cara menyampaikan naratif itu tidak sampai. Balik-balik vaksin dan vaksin. Akibatnya kerja yang berhasil pun tenggelam dalam ghairahnya pada vaksin.

Dr Noor Hisham tidak menjelaskan bahawa keadaan ini berlaku kerana saiz ujian diluaskan yang hasilnya lebih peningkatan kes baharu.  Jawapan Dr Noor Hisham boleh mereda cemas yang melulu disebabkan maklumat yang tersekat-sekat di KKM dan MKN. 

Bayangkan kalau Dr Khor Swee Kheng tidak mendedahkan,  berjuta-juta rakyat terus berada dalam keadaan cemas yang melulu kerana tidak dibimbing memahami gambar rajah MKN. – kuseman.com

Advertisement
Please follow and like us:

Author / Editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *