SEORANG petugas Kementerian Kesihatan memakai gelang pink pada Muhyiddin Yassin menandakan beliau menjalani kuarantin selepas pulang dari Jakarta baru-baru ini.

PUTRAJAYA memberi amaran akan mengambil tindakan undang-undang terhadap seorang bekas Timbalan Menteri kerana mendakwa kuarantin singkat dibenarkan untuk anggota Kabinet pulang dari luar negara disebabkan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin enggan menjalani kuarantin wajib selepas pulang dari Indonesia.

Pejabat Perdana Menteri (PMO) dalam kenyataan hari ini menafikan sekeras-kerasnya dakwaan Mohd Puad Zarkashi, bekas Timbalan Menteri Pendidikan.

“Fitnah yang dilemparkan oleh Mohd Puad Zarkashi adalah berniat jahat untuk mencemarkan nama baik Perdana Menteri. Tindakan undang-undang akan diambil ke atas beliau sekiranya beliau gagal memohon maaf secara terbuka,” kata PMO dalam kenyataan itu.

PUAD Zarkashi (Gambar NSTP)

Menurut kenyataan itu, Muhyiddin diserahkan perintah pengawasan dan pemerhatian di rumah dan dipakaikan gelang pengawasan setibanya dari Jakarta pada 5 Februari.

Pewartaan kerajaan Persekutuan yang ditandatangani semalam membolehkan menteri yang kembali dari lawatan rasmi luar negara diberi pengecualian daripada menjalani kuarantin 10 hari selepas pulang.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah pada sidang media hariannya hari ini berkata, menteri atau perwakilan mesti mengemukakan permohonan pengecualian sebelum perjalanan, untuk membolehkan pegawai kesihatan melakukan penilaian risiko dalam perjalanan mereka sebelum meluluskannya.

“Perdana Menteri yang ke Jakarta baru-baru ini, sudah menjalani ujian PCR pada 3 Februari sebelum ke Jakarta dan apabila sampai di Jakarta pada 4 Februari ujian sekali lagi dijalankan dan kembali ke Malaysia.

“Pada 5 Februari iaitu hari pertama, saya mengeluarkan perintah mahkamah untuk kuarantin di rumah dan dipakaikan gelang pink dan swab test dilakukan hari ini iaitu hari kelima dan juga akan melengkapkan jadual kuarantin untuk tempoh tujuh hari. Jadi tujuh campur tiga adalah 10 hari,” katanya.

Kunjungan ke Indonesia merupakan lawatan rasmi ke luar negara pertama sejak Muhyiddin menjadi Perdana Menteri pada 1 Mac tahun lepas, beberapa hari sebelum pandemik Covid-19 merebak ke seluruh negara menyebabkan Perintah Kawalan Pergerakan  (PKP) dilaksanakan termasuk menutup sempadan negara.

Puad yang juga bekas Ahli Parlimen Batu Pahat adalah antara pengkritik utama kerajaan, mendakwa di Facebook berlaku kekecohan di Lapangan Terbang Subang apabila rombongan Muhyiddin tiba.

“Pegawai KKM sudah menunggu untuk urusan kuarantin bila rombongan PM sampai dari Jakarta. Katanya mereka tidak mahu kuarantin 10 hari? Rakyat perlu penjelasan,” tulis Puad sambil mendakwa kerajaan berat sebelah dalam melaksanakan arahan kuarantin. – MalaysiaNow

Please follow and like us:

Author / Editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *