Oleh Ku Seman Ku Hussain

PADA awal tahun lalu ketika wabak Covid-19 baru sahaja menular ke seluruh dunia, beberapa konglomerat dunia yang dimonopoli oleh kapitalis Yahudi telah melakukan pengstrukturan perniagaan – antara yang paling awal ialah pembuangan pekerja.

Memang benar, peneraju konglomerat itu dapat menjangka masa depan ketika Covid-19 yang membuatkan perniagaan terjejas dan mengurangkan   keuntungan. Dasar kapitalis ialah memburu kekayaan sebanyak yang mungkin. Hal ini kerana kapitalisme dan kekayaan dua perkara yang tidak pernah berpisah.

Walaupun ‘menjejaskan keuntungan’ bukan  bermakna kerugian, tetapi peneraju konglomerat di Amerika Syarikat (AS) dan Eropah tidak boleh menerima keadaan dengan berkorban untuk kepentingan pekerja.  Dasar kapitalisme  menghalalkan penguasaan kekayaan individu dan mewujudkan persaingan pada setiap lapisan.

Dalam sistem kapitalis juga, pekerja atau dulunya disebut golongan buruh adalah lembu yang diberi makan untuk daging dan susunya. Pekerja tidak pernah membawa nilai apa-apa kepada kapitalis selain melanjutkan sistem penghambaan moden.

Guruh Covid-19 baru bdedentum di langit,  kapitalis telah menyiapkan tempayan untuk mengaut kekayaan daripada bala yang menimpa manusia termasuk para pekerjanya.  Pekerja dikurangkan semaksium yang boleh, tenaga mereka yang tinggal diperah  seperti mesin tebu. Malah yang paling utama memastikan keuntungan setidak-tidaknya tidak menurun kalau pun tidak meningkat.

Sebenarnya banyak yang saya tidak setuju dengan pandangan Karl Marx mengenai sistem ekonomi.  Tetapi  setuju dengan kritikannya terhadap sistem kapitalisme, salah satunya mengenai hubungan  antara golongan pekerja (proletariat) dengan kapitalis (majikan) yang penuh  ekspolitasi.  

Industri penerbangan antara yang turut terjejas akibat Covid-19 (Gambar hiasan).

Walaupun tidak semua majikan berjiwa kapitalis yang memburu kekayaan dan eksploitasi pekerja, tetapi sebahagian daripadanya sentiasa mencari peluang untuk menindas demi kekayaan. Malah sistem kapitalisme itu sendiri mewujudkan persaingan dalam semua peringkat –  pengurusan tertinggi, tinggi, pertengahan dan bawahan.

Lebih tragis lagi apabila dalam banyak persaingan itu, hanya kapitalis yang mendapat keuntungan dan golongan pekerja kerap kalah dan mengalah. Hal yang demikian bukan sahaja berlaku zaman Karl Marx malah pada abad -abad selepasnya, hingga kini.

Ekonomi dunia sememangnya dikuasai oleh sistem kapitalisme yang matlamatnya mengaut kekayaan  dalam pasaran bebas.  Inilah yang mewujudkan persaingan dan perebutan sekaligus eksploitasi. Kapitalis tidak pernah puas dengan kekayaan, maka wujud eksploitasi untuk memastikan kekayaan itu tidak terhenti.

Saya teringat Karl Marx apabila ada kes majikan di neara ini yang bertaraf konglomerat cuba mengaut untung melalui eksploitasi wabak Covid-19.  Ada yang mengurangkan pekerja, memotong gaji  dan memerah tenaga dengan beban  kerja bertambah dan upah yang kurang. 

Inilah kapitalis yang dikatakan oleh Karl Marx. Majikan  kapitalis mampu membayar gaji Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) lebih RM50 juta setahun. Tetapi tiba-tiba baru setahun Covid-19 terus menjadi ‘miskin.’ Keadaan semasa telah membuka ruang kepada kapitalis untuk mengaut kekayaan.

Bayangkan, gaji CEO sahaja sudah lebih RM50 juta setahun,  tentulah saiz empayar perniagaannya hampir seluas Lautan Hindi.  Keuntungan tahunan yang diumumkan  sebelum ini tidak memungkinkan kapitalis itu boleh muflis, walaupun setahun menutup tidak beroperasi. 

Tetapi  yang diperagakan ialah seolah-olah setaraf dengan syarikat industri kecil dan sederhana (IKS) yang cukup-cukup makan sahaja.  Inilahlah licik dan jijiknya majikan berjiwa kapitalis yang digambarkan oleh Karl Marx –  pencekik darah.

Memang ada majikan benar-benar tidak mampu untuk membayar gaji pekerja seperti sebelum wabak Covid-19. Kalau tidak distruktur semula jumlah pekerja memang tidak nampak jalan kecuali  menutup operasi. Maka dalam keadaan mendesak, tindakan mengurangkan pekerja adalah jalan terakhir yang terpaksa dilakukan. Kita semua faham keadaan yang sedemikian.

Tetapi ada majikan yang berperangai kapitalis mengambil kesempatan daaripada keadaan kelam kabut ekonomi ini. Selain mengurangkan pekerja dan memotong gaji,  sindrom mampu kerja di pelbagai bidang (multi tasking) juga memberi bala kepada pekerja.

Ini satu eksploitasi.  Tujuannya menggunakan  jumlah tenaga manusia yang kecil bagi beban kerja yang banyak.  Ini mendatangkan kerugian kepada pekerja,  selain tenaga diperah,  multi tasking menjadikan pekerja hilang kearifan pada bidang utamanya.

Dalam keadaan biasa, yakni sebelum tercetus wabak Covid-19,  memberhentikan pekerja bukan suatu yang mudah.  Tetapi dalam keadaan semua orang bercakap tentang ekonomi  merudum akibat PKP,  kapitalis pun tumpang semangkuk – buang pekerja, potong gaji, hapuskan kerja lebih masa dan laksanakan multi tasking.

Apabila jumlah pekerja dikurangkan,  beban kerja akan ditanggung oleh pekerja yang masih ada.  Berganda daripada sebelumnya tanpa bayaran upah yang setimpal. Bayangkan dalam keadaan begitu gaji pula dipotong – kononnya untuk menyambung hayat syarikat.

Maka ‘multi tasking’ pun dizikirkan sebagai satu normal baharu sistem penghambaan  moden sempena kehadiran Covid-19.  Dari peringkat atas hingga kepada ketua unit pun berzikirlah, mengulang-ulang perihal multi tasking.

Tetapi kita wajar faham bahawa tidak semua yang berkaitan multi tasking memberi kesan positif kepada pekerja. Kerana penekanan yang menjurus eksploitasi,  pelaksanaan multi tasking menghakis kearifan pekerja dalam bidang utamanya.  Pekerja sudah menjadi robot yang boleh membuat semua kerja yang diprogramkan oleh kapitalis.

Berdepan bidang yang sama sekali berbeza dengan kearifan utama akan menghabiskan banyak masa untuk menguasai bidang baharu yang mungkin dua atau tiga sekaligus. Misalnya pekerja yang kemahiran utamanya di bidang pemasaran, tetapi  dipaksa menjadi  pereka grafik di unit seni reka.

Kedua-dua bidang ini berbeza.   Kerja sebagai pegawai pemasaran dan pereka grafik misalnya memerlukan kearifan berbeza dan dipupuk sekian lama.  Kemahiran dalam kedua-dua bidang sekaligus adalah suatu yang mustahil sekalipun mungkin ada yang melakukan.

Menggunakan alasan mutli tasking untuk menghubungkan kedua-dua bidang berkenaan adalah satu eksploitasi dan karut yang lagi mengarutkan.  Ini sebanarnya cara kapitalis membuang pekerja, disebabkan tidak tahan dengan beban yang disengajakan,  pekerja akan berhenti dengan sukarela. Kapitalis telah menyelamatkan sekian jumlah bayaran pampasan sekiranya memberhentikan pekerja berkenaan.

Ini hanya satu contoh kejilikan para kapitalis yang menjadikan hasil dan keuntungan sebagai matlamat utama. Banyak lagi pendekatan yang lebih hormat dilakukan untuk mewajarkan penindasan dan cekik darah terlepas daripada pandangan birokrat sumber manusia.

Berdentum guruh di langit,  kapitalis pencekik darah pun menadahkan dengan tempayan keuntungan daripada kesengsaraan manusia lain.  Berpuluh tahun menjalankan perniagaan dan mengaut untung setiap tahun, tiba-tiba boleh  bersandiwara akan muflis selepas setahun dilanda COVID-19.

Sandiwara ini mesti difahami oleh birokrat sumber manusia.  Mereka mesti menjadi lebih licik daripada kapitalis,  manfaatkan segala sumber untuk memastikan majikan yang benar-benar berdepan tekanan kewangan akibat Covid-19.  Jangan percaya kapitalis ini bulat-bulat, sesekali kena ingat juga pesanan Karl Marx  –  kapitalis  dan proletariat  adalah hubungan yang penuh eksploitasi.

Please follow and like us:

Author / Editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *