Oleh Ku Seman Ku Hussain

Kita sudah berada jauh dalam sejarah.  Disebabkan  keberadaan yang jauh di dalam sejarah itu membuatkan sesetengah dalam kalangan orang Melayu terputus daripada titik mula – perjuangan generasi terdahulu yang diwariskan kepada yang terkini.

Generasi pejuang Melayu silam mewariskan penyatuan Melayu melawan segala bentuk pembulian kepada orang Melayu. Mereka berjaya dan kita ketika ini menikmati sebahagian daripada pewarisan itu. Sebuah negara yang merdeka – walaupun ada yang mempersoalkan ini sebahagian  daripada permainan politik penjajah.

Dalam keadaan sesetengah dalam kalangan pemimpin Melayu hilang diri dan pekerti,  mementingkan manfaat peribadi daripada hak sekelian Melayu yang sudah mulai dicabul secara terhormat,  elok sangat kita menoleh sejarah penyatuan orang Melayu.

Marilah kita sama-sama menoleh, menjungkir balik lipatan sejarah  yang pernah tercipta,  dan kembali mengenal diri  serta peribadi.  Jarak jauh pada garis masa memutuskan kita dengan titik mula suatu sejarah besar. Membaca kembali sejarah silam juga boleh mengingatkan supaya perjalanan menuju masa depan tidak terbabas. Ini kerana sejarah adalah iktibar masa lalu dan menjadi petunjuk masa depan. 

Saya teringat sebuah rencana lidah pengarang akhbar Utusan Melayu  75 tahun lalu,  secara tepatnya 5 Mac 1946.  Rencana itu sebagai reaksi  gagasan penubuhan sebuah parti orang Melayu, UMNO.  Inilah ketetapan yang dibuat dalam Kongres Melayu pada 1 hingga 4 Mac 1946 di Kuala Lumpur.

Ia tentang penyatuan Melayu. Pepecahan dalam kalangan Melayu memang menjadi masalah utama sejak dulu. Setidak-tidaknya pada berlangsungnya kongres ini. Susah rupanya untuk menyatukan Melayu, dan itu juga memudahkan  mereka ditunduk dan dijajah. Maka UMNO menjadi penyatu kepada sekelian persatuan Melayu ketika itu.

Sejarah telah membuktikan orang Melayu pernah bersatu dan dengan beraninya berkata, “Malaya for Malay”.

Syarikat Utusan Melayu dibiayai sepenuhnya oleh orang Melayu, bukan darah keturunan Arab  (DKA) yang berpengaruh di Malaya. Ia ditubuhkan pada 1938. Setahun kemudian  mengeluarkan akhbar  Melayu pertama, Utusan Melayu. Kongres itu juga salah satu usaha Utusan Melayu menyatukan orang Melayu yang kemudiannya mengagaskan UMNO.

“Marilah kita umat Melayu semuanya menyambutnya dengan sukacita dan menaruh harapan agar wujudnya bukan sahaja berkekalan, tetapi ialah juga berhasilan sebagaimana yang dicita-cita, iaitu menyatupadukan semangat perkauman atau kebangsaan dan kerjasama dalam segala perkara yang berhubung dengan masalah bangsa dan tanah air.

“Sebagaimana yang telah kita terangkan dahulu bahawa kejayaan kongres itu yang terbesar adalah bergantung di tangan umat bangsa Melayu umumnya. Maka sekarang tiap-tiap orang yang berdarah bangsa Melayu walau setitik pun adalah akan teruji dengan maju mundurnya atau hidup matinya,  ataupun hasil-hasil yang akan terbit dan pandangan adalah terpulang kepada usaha tenaga semangat persatuan tiap-tiap diri umat bangsa Melayu.” ( petikan Utusan Melayu 5 Mac 1946).

Kata-kata keramat itu diungkat, disusun dan ditiupkan semangatnya supaya orang Melayu bersatu dengan wujudnya UMNO.  Maka eloklah kita menghayati semula suara Utusan  Melayu yang mengalu-alukan kelahiran sebuah parti Melayu bernama UMNO ini.  Harapannya supaya parti itu menjadi alat menyatukan  Melayu.

Malah elok juga difahami bahawa yang ditekankan dalam kongres yang dipengerusikan oleh Dato’ Onn Jaafar  dan Utusan Melayu adalah sebuah pemikiran politik Melayu.  Ini bukan politik kepartian UMNO. Maka penyatuan  orang Melayu dalam persatuan-persatuan Melayu adalah kata kunci kekuatan untuk berdepan penjajah dan cabaran zaman seterusnya.

Ketika  menjadi satu-satunya wadah  membentuk pemikiran rakyat,  Utusan Melayu berperanan menyampaikan citra kebersatuan kepada sekelian orang Melayu di Malaya.  Usaha ini berjaya, orang Melayu bersatu dan hasil terbesar tentulah mematahkan percubaan British mewujudkan Malayan Union.

Maka yang ditegaskan dalam lidah pengarang Utusan Melayu ialah kebersatuan orang Melayu – tidak kira bawah pertubuhan atau parti politik  yang mana selepas itu.  Perkara penting ialah Melayu mesti bersatu walaupun bawah parti politik Melayu yang berbagai-bagai.

Zaman itu sama-sama  menikmati susah.  Tumpuan utama adalah untuk menuntut pada kemerdekaan.  Walaupun Melayu anglophile  memperkecil dan memperendah kemampuan yang sebangsa dengannya, akhirnya Malaya memperoleh kemerdekaan. Tetapi  ayahanda-ayahanda kita dalam pelbagai persatuan Melayu terus berjuang dengan agenda utama menyatukan orang Melayu.

Advertisement

Ketika itu menyertai menyertai  UMNO bukan untuk mengaut kekayaan  tetapi merebut peluang berjuang.   Maka benar sangatlah kata pepatah Melayu,  hati kuman sama dicicah,  kalau ada hati gajah bolehlah sama-sama melapah. Hakikatnya hanya hati kuman sahaja yang ada.

Minta maaf banyak-banyaklah  kerana  menjungkir balik peristiwa lama perihal lidah pengarang Utusan Melayu dan kongres yang bertujuan menyatukan orang Melayu melalui UMNO. Perkara ini mungkin sudah tidak relevan lagi dalam keadaan pemimpin Melayu bukan sahaja kenal politik tetapi mengambil manfaat daripadanya.

Pemikiran ayahanda-ayahanda kita dulu itu mungkin sangat ‘kolot’  berbanding pemikiran pemain-pemain Melayu hari ini yang ‘hebat-hebat’ belaka.  Tetapi tidak salah dijadikan renungan  tentang sebutir dua pemikiran besar yang mereka wariskan mengenai bangsa.

Memang benar pejuang dan pemikir bangsa dulu tidak kaya raya seperti pemain politik hari ini.  Mereka tidak pandai membuat kekayaan untuk diri sendiri,  tidak tahu dalam UMNO ada lombong emas. 

Itu cerita dulu-dulu.  Kisah lama 75 tahun dulu.  Sudah lama sangat hingga terputus dengan generasi kepimpinan  UMNO zaman ini.  Ketika itu banyak yang menolak untuk diangkat sebagai pemimpin waima bukan  jawatan yang tinggi-tinggi. Mereka tahu bahawa  menjadi pemimpin adalah memikul tanggungjawab.

Dato Onn Jaafar

Ini juga cerita dulu-dulu, ketika pemimpin politik Melayu tidak kenal erti ‘tender’, ‘projek’, ‘cuci duit’ untuk menjadikan mereka kaya raya, makan tidak habis selama tujuh keturunan. Mereka hanya tahu capal yang senget tumitnya belum berganti.  

Tetapi  ‘kemiskinan’ harta benda bukanlah miskin keberanian dan kesangupan untuk bersatu melawan penjajah. Pertubuhan-pertubuhan Melayu – kiri dan kanan berganding bahu meruntuhkan Malayan Union.  Teladan ini tentunya tidak dibaca lagi oleh sesetengah pemain politik  UMNO  kini kerana penjajah sudah tidak ada lagi. Lalu  musuh  mereka adalah sesama Melayu.

Hari ini jangan kata UMNO hendak melawan penjajah,  hendak membuang ‘kepala ikan’ yang busuk  dalam UMNO pun tidak berani.  Sudah wujud ketakutan melampau dalam kalangan orang Melayu kepada ketua yang terbabas landasan. Tetapi kerap pula menyalah guna nama ‘akar umbi’ ketika membuat keputusan yang memberikan keuntungan peribadi.

Maka 75 tahun kemudian, seruan penyatuan Melayu  Dato’ Onn sudah  ditelan zaman.  Tanpa rasa bersalah,  sesetengah  pemain politik  UMNO  meruntuhkan kebersatuan  yang mulai bertunas.  Kepentingan peribadi menjadi lebih penting daripada penyatuan Melayu. Mereka tergamak melakukannya.

Cuma ungkapan ‘demi agama, bangsa dan negara’  yang terus meniti di bibir.  Tetapi  malang ungkapan itu telah basi dengan sendirinya apabila  tidak dimaknakan dengan  tindakan. Satu demi satu langkah sumbang terbongkar dan masih tidak ada keberanian untuk meletakkan UMNO pada landasan sepatutnya.

Advertisement
Please follow and like us:

Author / Editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *