Oleh Razali Awang

BERBEZA dengan Turki, Lubnan yang turut berkongsi sempadan dengan Syria mempunyai reputasi buruk dalam kalangan masyarakat antarabangsa berhubung layanannya terhadap rakyat Syria di negara itu.

Selain sikap sesetengah rakyatnya yang mencetuskan pelbagai sentimen, pihak keselamatan sendiri dilaporkan telah bertindak dengan sesuka hati ketika melakukan siasatan terhadap pelarian yang yang ditahan.

Perbuatan itu sama sekali bercanggah dengan Undang-undang Anti Penderaan yang dilulusnya pada 2017.

Perkara berkenaan dimuatkan dalam laporan terkini Amnesty International, I wish I would die : Syrian refugees detained on terrorism-related charges and tortured in Lebanon.

Lakaran menunjukkan cara penderaan oleh pihak berkuasa Lubnan kepada tahanan Syria yang dituduh terlibat dengan kegiatan keganasan.

Laporan itu berdasarkan maklumat yang diperoleh daripada 26 responden yang pernah ditahan dan disiksa termasuk empat kanak-kanak sepanjang tempoh antara 2014 hingga 2021.

Berdasarkan fakta yang diperoleh, pasukan keselamatan Lubnan dituduh  melakukan pengainayaan terhadap pelarian Syria dengan menangkap mereka sewenang-wenangnya kerana didakwa terbabit dalam keganasan.

Seperti mana di negara asal, mereka yang telah didera dengan cara yang sama digunakan rejim Bashar al Assad seperti flying carpet (tahanan diikat atas papan yang boleh dilipat), shabeh (tahanan  diikat tangan dibelasah) atau balango (tahanan ditahan berjam-jam lamanya dengan tangan diikat di belakang).

Dalam laporan itu, pelarian mendakwa telah dipukul dengan menggunakan batang besi, kabel elektrik, digantung dengan muka ke bawah bagi tempoh masa panjang dan macam-macam lagi.

Sejak 2011 lagi beratus telah ditahan dengan sewenang-wenangnya kerana dituduh mempunyai kaitan dengan keganasan atau hubungan dengan kumpulan bersenjata.

Menurut Amnesty, kebanyakan perbuatan itu dilakukan bahagian perisikan tentera.

Siksaan dan penderaan telah dibuat di pusat perisikan tentera di Ablah, pejabat Ketua Setiausaha Keselamatan di Beirut atau di Kementerian Pertahanan.

Salah seorang ibu mangsa yang dikenali sebagai Hala dalam keterangannya kepada Amnesty mendakwa, dia pengsan kerana dipaksa melihat cara anaknya disiksa.

“Mereka mendera anak saya di depan mata. Dari tangan diikat, mereka gantung di pintu, bila mereka buka atau tutup pintu, dia akan ditala ke dinding. Saya pengsan dua kali kerana terlalu takut dan merasa sedih” katanya.

Dua lagi bekas tahanan mendakwa mereka telah dipukul pada bahagian alat kemaluan dengan teruk sehingga pengsan dan menyebabkan kencing berdarah selama beberapa hari.

Sementara mereka yang lain memberitahu keadaan tempat tahanan yang teruk, dipaksa berdiri selama beberapa hari, diikat tangan dan ditutup mata.

“Ada pegawai yang bertugas memerhati kami supaya tidak duduk atau tidur. Jika seseorang cuba, mereka akan paksa di untuk berdiri semula”, dakwa salah seorang mangsa.

Berikutan laporan itu, Amnesty International mendesak kerajaan Lubnan menyiasat dengan terperinci dan membawa ke pengadilan mereka yang terbabit.

  • RAZALI AWANG adalah sukarelawan Media Syria Care.

Please follow and like us:

Author / Editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *