Gambar hiasan

Oleh Ku Seman Ku Hussain

INILAH beban sejarah terpaksa ditanggung sepanjang 63 tahun negara mencapai kemerdekaan.  Apalah ertinya merdeka dengan beban sejarah yang tidak pernah diselesaikan  ini  walaupun pemimpin bertukar ganti. Malah menjadi biawak hidup yang membantutkan kerana terus mencakar dan mencakar.

Kerana beban sejarah ini banyak perkara yang dirancang  berdepan dengan halangan. Inilah satu tindakan tidak berpelembagaan  tetapi sudah dianggap  termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.  Hinggakan banyak menganggap suatu yang biasa.

Begitulah cara orang Melayu berpolitik –  sentiasa kalah dan mengalah. Agenda nusa dan bangsa tidak lagi utama disebabkan hambatan  ketakutan hilangnya  undi dalam pilihan raya. Perkara yang menjadi pemecah perpaduan dibiarkan sekaligus mewariskan beban  dari generasi ke generasi.

Sekolah vernakular tidak ada dalam Perlembagaan Persekutuan. Walaupun begitu dibolehkan didirikan dengan  syarat ditangung sendiri. Tetapi kerana politik Melayu yang lembik, secara diam-diam diberi peruntukkan  untuk menjaga hati. Padahal ini mengambil hak sekolah kebangsaan. 

Inilah beban sejarah. Beban yang tidak pernah difikir serius oleh sesetengah  pemimpin. Seolah-olah ada pemimpin yang berani berkata ‘tidak’ pada sekolah vernakular. Kalau pun takut untuk menghapuskan seperti di Singapura,  cukuplah had dengan jumlah yang ada. Tetapi itu pun tidak takut.

Orang Melayu  dan pemimpin Melayu ini berpolitik untuk apa?  Orang Cina berpolitik untuk memperkukuh sekolah vernakular. DAP, MCA dan Gerakan berjuang secara bersama-sama. Di mana kebersatuan politik Melayu dalam isu ini?

Terbaru dan sedang hangat diperkatakan,  sebuah lagi sekolah vernakular akan didirikan di Puchong, Selangor. Dalam radius lima kilometer sudah ada enam  sekolah vernakular Cina dan sebuah sekolah vernakular Tamil.  Hanya tiga buah sahaja sekolah kebangsaan. Ini di Malaysia atau di China?

Kerajaan  sebelum ini tidak mampu berbuat apa-apa.  Kerajaan Barisan Nasional  dan kerajaan 22 bulan Pakatan Harapan, semuanya  tidak memberi harapan.  Tidak adil  untuk bertanyakan Perikatan Nasional yang bertungkus lumus dengan wabak Covid-19.

Kitalah yang nenanggung beban sejarah sejak  era Tunku Abdul Rahman,   Tun Razak Hussein,  Tun Hussein Onn,  Datuk Seri Najib Razak dan Tun Dr Mahathir yang dua kali menjadi Perdana Menteri.  Selama 22 tahun dan 22 bulan  menjadi Perdana Menteri, Dr Mahathir juga tidak mampu menegakkan Perlembagaan Persekutuan dengan menghadkan  sekolah vernakular.

Banyak yang percaya dengan kebersatuan politik Cina yang tidak dipecah oleh perbezaan parti,  sekolah vernakular di Puchong ini akan berdiri megah akhirnya.  Tidak percaya?  Tunggulah tengok apa kesudahannya. 

Pemimpin politik Melayu saling kerkah antara satu dengan lain, politik Cina  memperkukuh kelestarian bahasa dan sistem pendidikan Cina. Sekolah vernakular  Cina ketujuh dalam radius lima kilometer di Puchong adalah mercu tanda kegagalan membuang  biawak hidup di atas belakang kita.

Ironinya di kawasan yang sama hanya tiga buah sahaja sekolah kebangsaan dan semuanya sudah penuh sesak.  Sepatutnya ditambah sebuah lagi sekolah kebangsaan, tetapi yang muncul sekolah vernakular Cina. Sekolah kebangsaan bukan sekolah orang Melayu, ini sekolah untuk semua.

Inilah enam sekolah vernakular yang ada di kawasan berkenaan. SJKC Kheng Chee Persiaran Indera Wawasan Puchong (jarak 2.2 Km),  SJKC Yak Chee Jalan 13, Bukit Kuchai Puchong (Jarak 2 Km),  SJKC Bukit Serdang , Lestari Perdana Seri Kembangan (Jaraknya 4.4 Km),  SJKC Shin Cheng (Harcroft) Jalan Kasawari 11, Puchong (Jarak 1.2 Km),  Tzu Chi International Chinese School, Jalan Jalil Impian 2, Bukit Jalil/BK9 (Jarak 2.3 Km) dan  SJKC Lai Meng, Jalan 13/155C Kuala Lumpur (Jarak 3.8 Km).

Cauvinis yang memperjuangkan sekolah vernakular Cina dan pemimpin Melayu dalam kerajaan yang  ‘tidak angkat kepala’ dalam isu sekolah vernakular patut membaca buku ini, From Third World to First. Penulisnya  bekas Perdana Menteri Singapura, Lee Kuan Yew.

Antara yang menarik ialah pengalaman Lee Kuan Yew menghapuskan sekolah Cina di Singapura –  di negara yang majoriti Cina oleh seorang Perdana Menteri Cina. Kalau menghapuskan sekolah Cina di Singapura boleh dilakukan, kenapa tidak di Malaysia?

Kita masih terhegeh-hegeh dan tidak ada keberanian yang luar biasa untuk meaksanakan sistem satu sekolah selepas 63 tahun merdeka.  Banyak pemimpin politik Melayu hanya setakat memekik di PWTC,  tetapi dalam senyap-senyap DAP, MCA dan Gerakan  perjuangkankan sekolah vernakular.

Kalau dalam radius lima kilometer di Puchong  sekolah vernakular jauh melebihi jumlah sekolah kabangsaan,  ini  mencerminkan hakikat  masa akan datang di seluruh negara. Apakah yang akan berlaku pada dasar pendidikan apabila sekolah vernakular  melampaui jumlah sekolah kebangsaan?  

Adakah hal-hal begini tidak membimbangkan pembuat-pembuat dasar terutama yang berkaitan pendidikan? Tidak bimbangkah akan anak-anak kita yang dipisahkan oleh sikap pengasingan dengan adanya sekolah vernakular ini?

Jangan mencuci tangan menganggap tulisan ini berbau rasis.  Ini soal masa depan anak semua bangsa yang dimangsai sikap pengasingan  Cina dan menolak asimilasi di sebuah negara pelbagai kaum.  Anak semua bangsa itu rakyat negara ini,   di mana hidup matinya tidak ada tanah selain tanah yang satu ini.

Memang betul Perlembagaan Persekutuan  dengan jelas melindungi hak setiap rakyat  untuk mendapat pendidikan dan tidak didiskriminasi berdasarkan kaum. Pendidikan yang dimaksudkan itu menggunakan penghantar bahasa Melayu.  Maka sekolah kebangsaan adalah yang tepat dan selari  Perlembagaan Persekutuan.

Oleh hal yang demikian, sangat bertentanganlah apabila hak untuk sekolah kebangsaan diambil oleh sekolah vernakular.  Andai dibiarkan,  kerana mahu menagih undi daripada Cina,  sekolah kebangsaan menjadi sekolah kelas dua.

Beban sejarah adalah biawak hidup yang terus mencakar hasrat kita menuju perpaduan. Bertegaslah demi anak semua bangsa di negara merdeka.

(Utusan Malaysia 26 April 2021)

Please follow and like us:

Author / Editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *