Bukan pertama kali media utama negara ini melabel perjuangan rakyat Palestin khususnya Hamas sebagai ‘pengganas’.
Hal ini selari dengan media Barat yang menggunakan istilah ‘militant’ yang bermaksud pengganas. Bagaimanapun ‘pengganas’ tidak membawa maksud sebenar kerana Hamas mempertahankan diri daripada keganasan.
Istilah ‘militant’ atau ‘pengganas’ lebih tepat malah sangat wajar digunakan untuk menggambarkan sikap tentera zionis Israel yang mengganas – membunuh orang awam termasuk kanak-kanak dan wanita yang tidak terlibat dengan penentangan pada Israel.
Sebahagian besar media Barat, termasuk agensi berita yang dilanggan oleh syarikat media tempatan sememangnya berat sebelah kepada perjuangan zionis Israel. Hal ini tidak dapat dinafikan kerana teraju-jeraju konglomerat media Barat adalah Yahudi.
Kita tidak dapat mengawal sikap berat sebelah media Barat walaupun salakan kebebasan media lebih kuat berdengung di Barat. Kebebasan media ditunggang untuk merampas kebebasan pihak yang menjadi tentangan secara amat halus.
Tetapi kita boleh mengawal media di tangan sendiri yang diterajui oleh orang tempatan. Terbaru Berita Mandarin RTM dan akhbar The Star menggunakan istilah ‘pengganas’ dan militant’ terhadap Hamas. Ini bertentangan dengan fakta yang ketahui ‘satu dunia’ bahawa pengganas ialah tentera zionis Israel.
Walaupun kedua-dua berita yang disiarkan oleh RTM dan The Star diterjemah daripada agensi media antarabangsa, tetapi ketepatan penggunaan istilah mesti diutamakan. Media Barat mempunyai agenda tertentu dan tidak sepatutnya agenda itu dipanjangkan oleh media tempatan.
Hal ini bukan kerana pejuang Hamas itu Islam tidak tetapi hakikat ketepatan mesti diangkat. Mempersoalkan penggunaan istilah ‘pengganas’ bukan satu reaksi atau pemikiran yang dipengaruhi oleh kepentingan Islam dan sebagainya.
Apabila media tempatan juga melaporkan seperti media Barat, tidak hairanlah dalam kalangan masyarakat sudah ada ‘subconscious mind’ bahawa Palestin atau Hamas itu pengganas. Media yang bertanggungjawab tidak akan memanjangkan salah lapor atau tidak menepati fakta daripada media Barat.
Penggunaan istilah yang sangat tidak tepat secara berterusan itu akan menjadi satu doktrinasi khususnya kepada bukan Islam dan segelintir Islam yang lebih Barat daripada Barat.
Terpengaruh dengan sikap berat sebelah media Barat yang pro zionis yang berterusan menggunakan istilah ‘militant’ bukan sahaja kepada perjuangan rakyat Palestin tetapi juga sebarang isu yang berkaitan denganIslam. Bukan suatu yang asing apabila media Barat menganggap Islam itu pengganas.
Setiap kali orang Islam bangkit menentang ketidakadilan Barat, senang sahaja mereka dilabel sebagai ‘militant’ , ‘radical’ atau ‘terrorist’. Sedangkan sejak dari awal pembentukan Israel, mereka tidak henti-henti mengusir dan melakukan pembunuhan terhadap rakyat Palestin.
Antara 1947 hingga 1949, sekurang-kurangnya 750,000 daripada 1.9 juta populasi penduduk Palestin yang berada dalam kawasan Arab telah diusir, dan 78 peratus tanah mereka dirampas, 530 kampung dan bandar dimusnahkan.
Lebih dari itu, dalam tempoh dua tahun, tidak kurang 15,000 penduduk Palestin dibunuh dalam 70 siri pembunuhan beramai-ramai yang dilakukan dengan pengetahuan badan dunia seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Terang-terangan dari awal lagi, zionis adalah pengganas. Namun atas sokongan Barat dan kelemahan umat Islam sendiri, penduduknya berterusan menjadi mangsa keadaan. Perang propaganda Barat ternyata berjaya mengalih kefahaman dunia, termasuk sesetengah daripada kita terhadap perjuangan Palestin.
Secara halus sama ada sedar atau tidak kita mula mengiktiraf negara Israel di bumi Arab yang ditawannya. Lihatlah kepada penggunaan nama Jurusalem yang kini digunakan meluas sama ada dalam surat khabar serta televisyen. Secara perlahan-lahan masyarakat dunia terkeliru dengan Baitulmaqdis, tempat di mana tempat masjid ketiga suci bagi umat Islam berada.
Begitu juga dengan nama lain seperti Hebron di mana Nabi Ibrahim A.S dimakamkan. Dulunya dipanggil Khalili, kini kita sendiri terpengaruh dengan nama yang digunakan oleh Yahudi. Di sini, zionisme memainkan jarum normalisasi hingga meresap dalam pemikiran dan kemudian bertoleransi menerima keganasan zionis sebagai wajar.
Dalam keadaan sekarang, segalanya cukup mudah guna untuk mendapatkan maksud istilah yang tepat. Semua berada di hujung cari dan boleh cari di Internet, tidak seperti generasi dulu yang terpaksa membelek dua tiga kamus, semata-mata untuk mendapat terjemahan yang paling tepat.
Teraju editorial media tempatan mesti berhati-hari dengan onar agensi media Barat. Kecualilah sesetengah media utama tempatan mempunyai agenda tertentu yang bertentangan pendirian kerajaan dalam isu Palestin. Tetapi pendirian kerajaan bukan berat sebelah, tetapi fakta bahawa Palestin adalah mangsa keganasan dan zionis Israel.
Seperkara lagi agensi media Barat kerap menggunakan istilah ‘konflik’ untuk menggambarkan pertembungan Israel dengan Palestin. Penggunaan istilah ini tidak menggambarkan maksud sebenar. Istilah konflik lebih sesuai antara dua pihak yang setara kekuatannya.
Dalam konteks isu Palestin – Israel istilah ‘konflik’ tidak tepat untuk menggambarkan keganasan pihak yang sangat kuat terhadap lawannya yang sangat kekurangan – peralatan, sokongan dunia dan ketenteraan. Maka sangat wajar menggunakan istilah tindakan ganas Israel atau pembunuhan beramai-ramai oleh tentera zionis Israel.
Ini juga adalah isu kemanusiaan sejagat di mana satu pihak (Israel) melanggar hak asasi manusia sebagaimana menjadi teras kepada Piagam PBB secara terang-terangan. Malah isu PBB yang berat sebelah dalam melindungi hak asasi manusia.
Teraju editorial media utama negara ini mesti memahami duduk perkara ini. Pihak berwajib perlu bertegas kepada yang seperti sengaja menyalahgunakan istilah yang memberikan maksud bertentangan dengan fakta. Kita boleh berbeza pandangan dalam apa-apa isu sekalipun, termasuk Palestin. Tetapi fakta tetap fakta.
- RAZALI AWANG adalah sukarelawan Media Syria Care.