KETIKA pelbagai isu timbul dalam masyarakat, khususnya yang melibatkan kepentingan Islam, allahyarhamlah yang paling awal diminta memberikan pandangan. Tanyalah apa sahaja, jawapannya bukan sahaja tidak mengecewakan malah lebih daripada yang dijangka.
Bahkan sedaya upaya memberikan jawapan dan huraian yang terbaik bagi setiap persoalan. Sepanjang mengenalinya, allahyarham adalah tokoh yang tidak mementingkan protokol. Tiada perlu ada surat rasmi atau menunggu giliran untuk ditemuramah. Wataknya bagai seorang ‘ayah’ sentiasa mesra dan mudah didampingi.
“Ya, apa lagi Shamsinor,” begitulah selalunya allahyarham bertanya apabila saya menelefon. Demikianlah Allahyarham Tan Sri Harussani Zakaria, Mufti Perak yang saya kenali apabila kerap meminta pandangannya mengenai isu-isu yang berkaitan Islam.
Allahyarham amat memahami tugas saya sebagai wartawan yang sentiasa dikepung garis masa akhir (deadline) yang mendesak. Ada kalanya timbul rasa segan, apa lagi menelefon di luar waktu pejabat. Tetapi tugas wartawan memaksa saya berbuat demikian.
Dari majalah Massa, Wanita, Al Islam dan kemudian Iman, saya sentiasa berhubung dengan allahyarham untuk mendapatkan pandangan untuk dimasukkan dalam artikel yang akan diterbitkan. Semuanya diperlukan dengan segera tetapi Allahyarham melayan dengan jawapan yang jelas dan bernas.
Kerap juga saya sanggup menempuh perjalanan enam jam pergi balik ke pejabatnya di Ipoh, demi mendapatkan pandangannya walaupun boleh sahaja dibuat menerusi telefon. Tetapi untuk tokoh seperti allahyarham ada kalanya berada di depan memberikan saya lebih banyak ilham untuk bertanya.
Allahyarham dilantik sebagai Mufti Perak pada 1985, antara mufti yang lama berkhidmat dan sentiasa menjadi buruan pihak media. Salah satunya kerana allahyarham tidak pernah ragu-ragu untuk memberi pandangan walaupun boleh dijangka menjadi kontroversi. Semanya dilakukan demi agama, bukan kepentingan-kepentingan lain.
Sepanjang menjadi wartawan dan kerap pula menghubunginya, Harussani seorang tokoh yang yakin dengan pandangan yang diberikan kepada media. Percaya pada kemampuan wartawan untuk memahami dan melaporkan pandangannya dengan tepat.
Buktinya berpuluh-puluh artikel yang saya petik pandangannya tetapi tidak pernah sekalipun allahyarham meminta untuk disemak. Saya pernah menawarkan artikel tulisan saya disemak tetapi allahyarham menolak berbuat demikian.
Alahyarham seorang pemikir, tokoh dan ulama yang sangat kontroversial. Tetapi bukan sengaja mencipta kontroversi, sebaliknya disebabkan sikap berterus terang hal-hal melibatkan agama Islam. Apa lagi sikapnya tidak pernah ragu-ragu menegur sesuatu yang difikirkan menjurus keburukan, walaupun bertentangan dengan arus utama.
Ternyata, kepulangannya mengadap Ilahi pada pukul 2.45 petang 30 Mei 2021 lalu ketika dirawat di wad ICU Hospital Raja Permaisuri Bainun akibat Covid-19 adalah kehilangan kepada sekelian umat Islam negara ini. Dalam keadaan banyak isu yang menggugat kedudukan Islam, kita kehilangan ulama yang tegas dan sanggup bersuara demi membetulkan keadaan.
Harussani, anak jati Parit Tok Ngah, Tanjung Piandang, Parit Buntar, Perak itu kembali menemui Ilahi dan membawa bersama-samanya perjuangan yang tidak pernah selesai. Dilahirkan pada 8 April 1939, allahyarham juga seorang ulama yang teguh mempertahankan kedaulatan institusi raja negara ini.
Harussani melihat jatuhnya sistem raja berperlembagaan akan mengakibatkan runtuh kedudukan Islam. Andai runtuh ‘benteng’ itu, maka runtuhlah juga kedaulatan agama Islam yang diangkat sebagai agama Persekutuan dalam Perlembagaan.
Jelas Harussani, dengan pengiktirafan yang diberikan, Yang Di-Pertuan Agong, sultan mahupun raja secara langsung diangkat sebagai ketua agama Islam di peringkat Persekutuan mahupun negeri. Sekaligus bertanggungjawab memelihara kesucian dan kehormatan agama Islam. Dan atas ‘rahmat’ inilah, umat Islam bebas melakukan tuntutan-tuntutan syariat Islam serta melaksanakan ibadah dengan selamat.
Perkara kedua yang turut menjadi perjuangannya ialah perpaduan Melayu Islam di negara ini. Melihat akan kepentingan ini, Harussani pada tahun 2008 pernah menggesa agar UMNO dan PAS bersatu demi mewujudkan sebuah pentadbiran Melayu Islam yang kuat di Perak. Malang sekali, permintaannya ditolak begitu sahaja.
Bahkan, ada pihak yang mencabar supaya meletak jawatan dan bertanding dalam pilihan raya sebagai ahli politik. Alangklah angkuhnya mereka. Sudahlah maksud tersiratnya tidak difahami, tertutup pula pada kritikan dan menolak pandangan yang bertentang
Bagi Harussani, andai ini dapat dizahirkan, ia menjadi benteng kedua dalam mempertahankan kedudukan Islam. Umat Melayu Islam harus bersatu dan ketepikan perbezaaan fahaman politik bagi memastikan kedudukan Islam terus kukuh.
Manakala yang ketiga, Harussani sedaya upaya memperkasakan institusi agama Islam bagi memastikan akidah umat terpelihara daripada anasir-anasir agama lain sekaligus dapat melemahkan Islam. Isu ini seringkali dilihat sebagai sensitif untuk diulas oleh kebanyakan ahli politik mahupun agamawan. Tetapi tidak pernah menghalang Harussani menyuarakannya secara terbuka.
Baginya, apa sahaja yang menggugat akidah umat Islam, ia harus diselesaikan dengan segera dan bukan berdiam diri membiarkan isu sensitif itu hanya tersimpan dalam fail.
Maka tidak hairanlah apabila Harussani dengan beraninya mendakwa, terdapat 100,000 orang termasuk seorang ustazah telah murtad berdasarkan kajian yang dilakukan oleh sekumpulan profesional dan intelektual Melayu. Malang sekali, dakwaan yang didedahkan ini dianggap sebagai dakwaan tanpa bukti oleh pihak tertentu.
Semua perkara tersebut didedahkan tanpa rasa gentar kerana allahyarham melakukan demi memastikan Islam terus terpelihara. Oleh kerana itu allahyarham hanya ‘kontroversi’ oleh pihak-pihak yang tidak sependapat dengannya.
Ini termasuklah menegur ahli-ahli politik bukan Islam supaya tidak memetik ayat al-Quran mahupun hadis Rasulullah dalam ucapan mereka. Malah dengan tegas mengkritik kerajaan negeri Pulau Pinang yang membatalkan perarakan Maulidur Rasul.
Kini suara lantang itu telah tiada. Kita semua amat terhutang kepadanya, tokoh pemikiran dan ulama besar yang menumpukan seluruh kudrat dan pemikiran mengangkat kedudukan Islam. Semoga akan ada yang sanggup menjadi penerus perjuangannya yang belum selesai itu.
Benarlah kata orang bijaksana, harimau mati meninggalkan belang, manusia yang berjasa bukan sahaja meninggalkan nama tetapi juga sumbangan bakti yang tidak pernah terkuburkan. Mudah-mudahan pemikiran dan perjuangannya terus dimanfaat sepanjang zaman.
• NORSHAMSINOR BAHARIN adalah mantan wartawan majalah Massa, Wanita, Al Islam dan Iman terbitan Kumpulan Utusan.