Datuk Che Abdullah Mat Nawi (kiri) mendengar penerangan Zakaria Ismail mengenai masalah yang akan dihadapi para nelayan sekiranya Projek Tambakan Laut Selatan Pulau Pinang (PSR) dijalankan.

BALIK PULAU, 16 Jun — Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) tidak menolak kemungkinan akan meminta Jabatan Alam Sekitar (JAS) untuk menolak Pelan Pengurusan Alam Sekitar (EMP) bagi Projek Tambakan Laut Selatan Pulau Pinang (PSR) yang kini dikenali sebagai Projek Pulau Pinang Selatan (PSI).

Timbalan Menteri II Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata ia antara peranan dan tugas yang boleh diambil pihaknya melihat kepada kesan buruk projek itu khususnya kepada hasil pengeluaran ikan negara.

“Kemungkinan itu (meminta EMP tidak diluluskan) memang sentiasa ada. Kita akan lebih cuba meneliti apa-apa peranan dan tugas yang boleh kita laksanakan (dalam memastikan projek PSR dibatalkan),” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu, Che Abdullah telah mengadakan tinjauan dan bertemu komuniti nelayan di Sungai Batu dan Teluk Kumbar, di sini yang bakal terjejas secara langsung dengan pelaksanaan projek PSR yang dirancang kerajaan negeri Pulau Pinang.

Mei lepas, Ketua Pegawai Eksekutif Penang Infrastructure Corporation Sdn Bhd (PIC) Datuk Seri Farizan Darus dalam satu kenyataan memberitahu bahawa permohonan baharu Pelan Pengurusan Alam Sekitar (EMP) PSR akan dikemukakan bulan ini, dan beliau berharap pertimbangan kelulusan segera dapat diberikan oleh JAS, berdasarkan garis panduan sedia ada.

Che Abdullah turut mendedahkan bahawa projek PSR akan mengancam 87 spesies hidupan laut antaranya ikan bawal putih, bawal tambak, udang kaki merah, udang harimau dan udang putih yang mana spesies itu mendatangkan pulangan lumayan kepada nelayan.

Advertisement

“Saya telah mengadakan perbincangan dengan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) antaranya Persatuan Pengguna Pulau Pinang dan Sahabat Alam Malaysia, mereka memberikan beberapa maklum balas termasuk projek (PSR) akan mengancam 87 spesis hidupan laut.

“Malah saya difahamkan juga hasil pendaratan perikanan dari kawasan PSR dan kawasan yang bakal terkesan dengan projek itu juga dianggarkan  13,418.11 tan setahun atau 24.5 peratus dari keseluruhan hasil pendaratan negeri Pulau Pinang,” katanya.

Beliau juga turut melahirkan rasa hairan dengan kenyataan Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow berhubung sumbangan sumber perikanan dari kawasan projek PSR yang hanya menyumbang sebanyak dua peratus kepada sumber perikanan negara.

“Sepatutnya sebagai ketua menteri, beliau perlu bertanggungjawab untuk bekerjasama dengan pelbagai pihak dalam usaha menambah baik sumber perikanan dan meningkatkan lagi pendaratan di kawasan tersebut. Secara tidak langsung inisiatif ini dapat menaikkan lagi tahap sara diri (SSL) ikan negara dan memperkukuhkan sekuriti makanan negara,” katanya.

Pelaksanaan projek PSR seluas hampir 17 kilometer persegi membabitkan projek pembangunan tiga pulau buatan berkeluasan 1,700 hektar di perairan Permatang Damar Laut berdekatan Bayan Lepas.

Projek itu dibina bagi membiayai pelbagai projek infrastruktur dalam Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PIP) yang bernilai kira-kira RM46 bilion. – BERNAMA

Advertisement
Please follow and like us:

Author / Editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *