Perancah besi yang jatuh di kawasan pembinaan Lebuh Raya DASH di Shah Alam semalam. (Gambar Harian Metro).

KUALA LUMPUR, 20 Jun – Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan jurutera perunding iaitu Zaidun Leeng Sdn Bhd (ZLSB) diarah menyediakan laporan lengkap dalam tempoh seminggu berhubung insiden perancah besi jatuh di kawasan pembinaan Lebuhraya Damansara-Shah Alam (DASH), semalam.

Kementerian Kerja Raya (KKR) memaklumkan, laporan daripada Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) berhubung insiden yang berlaku di persimpangan bertingkat Kota Damansara, Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) pada 7.15 malam itu juga akan diteliti sebelum tindakan lanjut diambil.

Menurut kementerian itu, kejadian tersebut berlaku di lokasi kelima daripada keseluruhan 14 lokasi di kawasan itu yang sedang menjalankan kerja-kerja dengan mengguna pakai kaedah kejuruteraan yang sama dengan empat daripadanya dilaporkan telah siap.

“Untuk makluman, semasa kerja-kerja menuang konkrit dijalankan, kawasan pembinaan adalah ditutup sepenuhnya kepada pengguna sepertimana prosedur yang telah ditetapkan.

Advertisement

“Semakan awal LLM menunjukkan reka bentuk perancah adalah teratur dan disahkan jurutera perunding. Baki kerja melibatkan 10 lokasi hanya boleh diteruskan setelah laporan audit oleh pihak Jurutera Perunding Bebas (ICE) dikeluarkan,” maklum kementerian itu dalam kenyataan hari ini.

KKR yang kesal dengan kejadian itu juga telah mengarahkan pihak konsesi iaitu Projek Lintasan Damansara Shah Alam Sdn. Bhd. (PLDSASB) menghentikan serta-merta kerja yang melibatkan struktur sementara.

Selain itu, syarikat berkenaan juga diminta memberikan bantuan yang sewajarnya kepada dua pekerjanya yang cedera dalam kejadian itu.

Sebagai langkah keselamatan, lorong kanan kedua-dua hala di Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) di kawasan berkenaan juga ditutup sepenuhnya.

Dalam kejadian pada 7.15 malam semalam, dua pekerja warga Bangladesh berusia 20-an dan 40-an cedera selepas perancah besi runtuh di tapak pembinaan DASH. – BERNAMA

Advertisement
Please follow and like us:

Author / Editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *