Dalam tempoh lebih enam dekad, DBP telah mencapai kejayaan yang membanggakan  sebagai institusi bahasa Melayu pada peringkat negara, serantau dan antarabangsa.

Berikut adalah petikan ucapan Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP),  DATUK SERI DR AWANG SARIYAN sempena sambutan ulang tahun DBP ke 65 hari ini (22 Jun 2021).

Tanggal 22 Jun merupakan tarikh yang sangat istimewa bagi seluruh warga Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) kerana 22 Jun 2021 merupakan tarikh sambutan Ulang Tahun Penubuhan Dewan Bahasa dan Pustaka yang ke-65. Tahniah kepada semua anggota Lembaga Pengelola DBP dan semua warga kerja DBP.

Dalam tempoh lebih enam dekad ini, DBP telah mencapai kejayaan yang membanggakan pada peringkat negara, serantau dan antarabangsa. Kejayaan ini merupakan hasil iltizam dan tekad anggota Lembaga Pengelola, Pengurusan Tertinggi serta semua warga kerja DBP.

Saya yakin DBP mampu untuk terus menggalas tanggungjawab sebagai badan yang diberi mandat oleh kerajaan untuk memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan serta mengangkat sastera dan ilmu dalam bahasa kebangsaan.

Dr Awang Sariyan

Sejarah membuktikan bahawa bahasa Melayu telah memiliki taraf sebagai bahasa ilmu, bahasa pentadbiran, bahasa ekonomi dan bahasa diplomasi sejak lebih satu alaf silam, melalui rakaman sejarah yang dikaji dan ditulis oleh sarjana antarabangsa.

Usaha yang perlu dilakukan kini ialah bagaimanakah taraf itu dapat digemilangkan semula dengan strategi yang terancang dan bersepadu, oleh DBP dan dengan iltizam kerajaan dan semua pihak berkepentingan yang lain.

Demikian juga, bahasa Melayu telah menjadi salah satu unsur pembinaan negara sejak kemerdekaan pada tahun 1957, melalui peranannya sebagai bahasa pembentuk jati diri dan pemersatu rakyat pelbagai keturunan, sebagai bahasa rasmi penggerak jentera pentadbiran negara, sebagai bahasa ilmu dan bahasa bidang-bidang lain.

Asas itu perlu terus menjadi sandaran DBP dalam melaksanakan peranannya meskipun dengan strategi yang berbeda menurut keperluan dan kesesuaian zaman.

Antara cabaran besar dalam usaha melaksanakan peranan bahasa Melayu sebagai bahasa negara termasuklah sikap pelbagai pihak terhadap nilai bahasa Melayu.

Peranan DBP dalam menangani cabaran itu memerlukan strategi “pemupukan bahasa” yang lebih ampuh agar bahasa Melayu diberi nilai yang tinggi dan mulia oleh semua warganegara tanpa mengira perbedaan keturunan, pegangan politik dan faktor lain.

Sebagaimana kata-kata Perdana Menteri pertama, Almarhum Tunku Abdul Rahman Putera, negara tanpa bahasa kebangsaan ibarat jasad tanpa roh. Keadaan dunia tanpa sempadan, dasar langit terbuka, globalisasi dan tidak kurang kerapuhan sikap akan makna bahasa dalam pembangunan menjadi antara sebabnya.

Advertisement

Maka usaha DBP memanfaatkan ruang melalui teknologi, seperti memperbanyak program di pelbagai pelantar dan media sosial insya-Allah dapat menghasilkan pemupukan bahasa, sastera dan ilmu dalam kalangan masyarakat dan sekali gus dapat mengangkat bahasa dan persuratan Melayu di peringkat dunia apabila semua program itu dapat sampai pada warga sedunia.

Media sudah menjadi estet yang ada kalanya mengatasi estet-estet yang lain; maka melalui media jualah DBP perlu bergerak dengan lebih luas dan berkesan untuk memenuhi amanah dalam mengangkat bahasa, sastera dan ilmu.

Transformasi ke era digital dan elektronik mahu tidak mahu perlu menjadi salah satu asas kaedah DBP bergerak. Dalam keadaan budaya membaca dan memperoleh ilmu serta maklumat masyarakat sudah banyak berubah, segala kandungan bahasa, sastera dan ilmu perlu dengan besar-besaran dipindahkan dalam bentuk digital dan elektronik yang bukan sahaja dapat memenuhi keperluan masyarakat bahkan dapat melebarkan sayap DBP di peringkat supranasional.

Dengan sendirinya skim latihan untuk membina ketrampilan warga kerja perlu memperhitungkan aspek kemahiran teknikal pada semua warga kerja agar terbentuk paduan antara penguasaan ilmu dan maklumat dengan penguasaan teknikal supaya ilmu dan maklumat dapat disampaikan kepada khalayak sasaran dengan lebih berkesan.

Sementara itu, dengan menginsafi bahawa kewujudan DBP adalah dalam ekosistem negara yang turut dipengaruhi oleh faktor politik, ekonomi, sosiobudaya, undang-undang dan yang lain, maka strategi gerak kerja DBP perlu turut memperhitungkan semua aspek itu.

Pendekatan menjalinkan jaringan kerjasama, persefahaman dan kolaborasi yang merentas bidang amat penting diberi perhatian agar semua sektor di negara ini ikut serta dalam menggalas tanggungjawab memajukan bahasa, sastera dan ilmu. DBP mempunyai pengalaman yang luas dan lama dalam hal ini, namun perlu mengenal pasti sektor-sektor yang memerlukan tumpuan perhatian yang lebih dalam konteks yang memberikan dampak besar kepada lonjakan bahasa, sastera dan ilmu.

Akhir kalam, saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua warga DBP kerana terus berusaha merealisasikan visi dan misi DBP sepanjang tempoh 65 tahun ini.

Kecemerlangan itu perlu diteruskan pada tahun-tahun mendatang kerana bahasa, sastera dan ilmu tetap berkembang bersama-sama dengan berkembangnya manusia. Ucapan terima kasih juga kepada semua pihak yang mewakili sektor awam, sektor swasta, media dan pertubuhan bukan kerajaan yang selama ini banyak membantuk kelancaran gerak kerja DBP. – kuseman.com

 

 

 

Advertisement
Please follow and like us:

Author / Editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *