Oleh Ku Seman Ku Hussain
DALAM banyak hantaran di media sosial menunjukkan sampah yang berselerak di beberapa kawasan perkelahan di negara kita. Tempat perkelahan atau peranginan yang sebelum itu bersih tiba-tiba menjadi kawasan pembuangan sampah oleh pengunjung yang tidak bertanggungjawab.
Sebelum itu banyak juga yang memuat naik di media sosial mengenai perkelahan bersama-sama keluarga di tempat yang penuh sesak. Di Pantai Port Dickson, Negeri Sembilan dan Sungai Pisang di Gombak antara lokasi longgokkan sampah selepas dikunjungi orang ramai.
Mereka berpusu-pusu dalam keadaan yang langsung tidak mengendahkan prosedur operasi standard (SOP) walaupun kerajaan memberi kelonggaran pergerakan semasa Perintahan Kawalan Pergerakan (PKP). Tidak mengendahlan SOP satu hal, perangai buruk tidak menjaga kebersihan tempat perkelahan itu juga menimbulkan masalan kepada orang lain.
Definisi kehidupan adalah hubungan vertikal dengan Yang Maha Kuasa dan yang bukan Islam hubungan dengan kepercayaan masing-masing. Masa yang sama wujud hubungan horizontal antara manusia dengan manusia dan juga manusia dengan alam.
Sesebuah kehidupan tidak lengkap kalau hanya mempunyai hubungan vertikal dengan Yang Maha Esa dan dengan sesama manusia. Alam juga adalah kehidupan. Menafikan kewujudan dan pentingnya alam kepada manusia menjadikan sesuatu kehidupan tidak lengkap.
Sudah ternyata bahawa banyak kerosakan disebabkan oleh sikap manusia yang tidak menghargai alam. Mereka tidak memesrai alam seperti mana alam menyambut mereka dengan ketenangan, kedinginan dan udara yang bersih. Banyak yang tidak belajar daripada sifat pemurahnya alam kepada manusia.
Banyak juga yang tidak belajar daripada pengalaman hampir dua tahun kehilangan alam. Kita terkurung kerana pandemik. Bagaimanapun apabila diberi sedikit kelonggaran, sesetengahnya kembali dengan perangai lama – merosakkan alam dengan sikap yang tidak bertamadun.
Alanglah beruntungnya alam ketika semua manusia terkurung dalam radius yang kecil. Sungai Kelang dan Sungai Gombak di tengah-tengah Kuala Lumpur misalnya bertukar jernih daripada wajah sebelumnya sepekat teh tarik di restoran mamak tepi Central Market. Pekat dan beracun daripada sisa toksik yang diluncurkan ke sungai oleh sesetengah manusia dalam bidang industri.
Ironinya apabila manusia diberikan sedikit kebebasan untuk bergerak, mereka kembali menjadi perosak. Sungai Kelang dan Sungai Gombak kembali pada wajah asalnya yang keruh dan beracun. Tempat-tempat peranginan di air terjun tercemar dengan sampah sarap.
Pada hal keadaan tempat-tempat ini semasa PKP sangat bersih. Tidak kelihatan memutih bekas makanan dan plastik yang berselerak. Maknanya kedatangan manusia menjadikan alam menangis kerana sikap yang tidak bertanggungjawab. Lebih buruk lagi kemudahan awam dirosakkan, tempat sampah diterbalik dan sinki penuh dengan sisa makanan.
Dengan membawa sikap yang buruk itu, alam sebenarnya tidak memerlukan manusia. Tanpa manusia alam menjadi bersih, tenang dan tiada gangguan. Kedatangan manusia bukan sahaja menumpang keindahan dan ketenangan, tetapi meninggalkan sampah sarap.
Bayangkan kalau alam sudah tidak mahu bersahabat dengan kita, tidak memberi ketenangan atau membekalkan oksigen secara percuma. Air yang dingin merempuh batu batan sudah tidak boleh dimesrai kerana mengalirkan sisa kotoran. Adakah manusia hanya layak mendiami kota batu yang kontang kerana sikap yang tidak mesra dengan alam?
Inilah masalah sebenar sesetengah dalam kalangan kita. Diberikan prasarana bertaraf dunia tetapi penggunanya hanya mentaliti dunia ketiga. Alam yang cantik dan mempesonakan itu tidak boleh dihayati dan dilestari oleh mentaliti dunia ketiga yang mundur. Perosak alam sekitar adalah mereka yang mundur.
Alam dan manusia sebenarnya bertimbal balik antara satu dengan lain. Manusia menyedut keindahan alam dan memulangkan kecantikan pekerti pada alam. Kalau hanya pandai menyedut keindahan tetapi tidak berpekerti, hubungan menjadi tempang dan sumbang.
Walaupun tulisan ini memfokuskan pada kejadian di beberapa tempat perkelahan air terjun di negara ini, tetapi mempunyai hubungan yang rapat dengan isu alam sekitar yang sejagat dan menjadi masalah utama dunia. Perkara yang berlaku di negara ini menyumbang pada kerosakkan apabila alam merajuk dan tidak mahu bersahabat dengan kita.
Dalam konteks yang luas, semua dalam kalangan kita wajar bertanya bertambah baikkah kualiti udara dan air? Apakah sumbangan kita dalam memulihara alam sekitar? Cukup dan memadaikah aspek perundangan dalam melindungi alam sekitar?
Di segi perundangan, Seksyen 34B Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 misalnya memperuntukkan denda maksimum tidak lebih RM500,000 dan penjara tidak melebihi lima tahun terhadap mereka yang didapati bersalah melakukan pencemaran. Bagaimanapun perundangan sahaja belum cukup tanpa perubahan sikap dalam kalangan masyarakat alam sekiar.
Alam sekitar telah diangkat menjadi salah satu daripada tujuh elemen keselamatan manusia menerusi Laporan Pembangunan Manusia 1994 dalam Program Pembangunan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP). Maknanya pelestarian alam sekitar sama pentingnya keselamatan ekonomi, keselamatan makanan, keselamatan kesihatan, keselamatan peribadi, keselamatan komuniti dan keselamatan politik.
Kemusnahan alam sekitar memberikan ancaman dan bencana yang berterusan kepada kehidupan manusia. Kita mesti menginsafi hal ini kerana persekitaran mempunyai kesan yang besar khususnya tahap kesihatan dan kualiti hidup.
Udara daripada alam sekitar yang tercemar, misalnya pelepasan gas kenderaan bermotor dan industri memberi kesan terhadap sistem pernafasan manusia. Bahan pencemar udara seperti ozon, logam dan radikal bebas pula diketahui berupaya merosakkan sel-sel tisu paru-paru.
Maka kita wajar kembali bersahabat dengan alam. Jaga kelestarian alam semua tempat perkelahan dan tidak mencemar dengan sampah sarap. Jadikan air anak sungai yang dingin tempat anak-anak kita mandi manda bebas daripada sebarang pencemaran, semoga terus selamat dinikmati oleh orang lain selepas kita. Hidup ini satu kesinambungan, sesuatu yang kita lakukan tidak semestinya untuk diri sendiri. – Utusan Malaysia 20 September 2021