Segmentasi kaum di Kuala Lumpur membimbangkan dan Melayu semakin tersingkir di luar bandar. (Gambar hiasan Al Jazeera)

Oleh Ku Seman Ku Hussain

BEBERAPA jam selepas pengumuman barisan Menteri Kabinet baru-baru ini,  seorang kawan lama di Perlis menghantar mesej berbunyi, “Orang Perlis dah pi jaga Kuala Lumpur.”  ‘Orang Perlis’ yang dimaksudkan ialah Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim.

Wilayah Persekutuan merangkumi Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan. Walaupun  hanya tiga wilayah sahaja tetapi dua daripadanya – Kuala Lumpur dan Putrajaya adalah jantung negara ini. Pusat ekonomi utama berada di Kuala Lumpur dan pentadbiran kerajaan Persekutuan di Putrajaya.

Shahidan bekas Menteri Besar Perlis pada 1995 hingga 2008. Kini menjadi Ahli Parlimen Arau,  satu daripada tiga kawasan Parlimen di Perlis. Sebelum itu hanya dua kemudian ditambah kawasan Parlimen Padang Besar.

Ketika saya berada di kampung hingga  awal tahun 1980-an, Perlis negeri yang jauh ketinggalan.  Tidak ada peluang pekerjaan untuk orang muda sebaya saya. Banyak kawan merantau mencari kerja di negeri lain seperti Pulau Pinang atau Selangor malah ke Singapura. Selebihnya menyertai angkatan tentera.

Saya bertahan di kampung dengan mengerjakan sawah milik keluarga dan mengambil upah sebagai buruk binaan membuat perpustakaan di Institut Teknologi MARA (ITM) di Arau.

Shahidan Kassim (Gambar Bernama)

Bagaimanapun akhirnya saya juga meninggalkan kampung apabila mendapat tawaran menjadi wartawan Utusan Melayu di Kuala Lumpur pada 1984. Tetapi lebih kurang sepuluh tahun kemudian negeri Perlis sudah kelihatan  banyak berubah. 

Bandar Kangar yang dulunya tidak ada satu pun lampu isyarat,  sudah berubah wajah. Banyak lot kedai baharu menggantikan bazar  dan kedai berdinding papan yang daif.  Sudah ada dua  pusat membeli belah – satu di tepi Sungai Perlis berhampiran Bukit Lagi dan satu lagi di tapak stesen bas Kangar yang lama.

Ketika itu juga kalau tidak silap sudah ada cawangan restoran KFC yang pertama di Kangar.  Restoran ayam goreng yang popular itu sentiasa penuh sepanjang masa.  Mana tidaknya  orang Perlis sudah lama menonton iklan KFC di televisyen, tetapi baru sahaja dapat menikmatinya.

Itulah antara usaha yang dilakukan Shahidan ketika menjadi Menteri Besar Perlis yang usianya relatif muda – sekitar 45 tahun. Pembangunan bergerak dengan drastik,  prasarana menjulur hingga ke seluruh ceruk kampung. Jalan tanah merah bertukar tar. Wajah bandar Kangar  pun menjadi lebih berseri.

Sudah ada kawasan perindustrian yang menempatkan banyak kilang termasuk oleh pelabur luar negara di Jejawi.  Malah telah mengubah keadaan Jejawi yang sebelumnya tidak ada apa-apa menjadi bandar industri yang menyumbang pada peningkatan ekonomi. Shahidan juga memanfaatkan limpahan ekonomi daripada Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) apabila membina lebuh raya menghubungkan Changlun, Kedah dengan Kuala Perlis.

Ketika masih di kampung dulu,  perhubungan antara kampung saya dengan pekan terdekat Simpang Empat lebih kurang lima kilometer hanya menggunakan jalan tanah merah. Berdebu ketika musim kering dan berlumpur  boleh tenggelam tayar motorsikal ketika musim hujan.

Bagaimanapun perubahan berlaku dengan pesatnya  pada pertengahan tahun 1990-an apabila jalan yang berturap tar hingga ke depan tangga. Jalan-jalan kecil yang merentas sawah yang melaut luasnya juga tidak bertanah merah lagi. Semua berturap tar yang membolehkan kereta masuk ke segenap kampung.

Advertisement

Shahidan memberikan tumpuan pada prasarana untuk kemudahan rakyat yang telah lama bergelumang dengan kesukaran. Sesekali apabila pulang  ke kampung arwah ibu selalu bercerita tentang Shahidan. Beliau wakil rakyat  yang kerap melawat orang kampung termasuk kampung saya Mengkuang Layar.

Shahidan tidak kenal saya dan kami tidak pernah berjumpa.  Tetapi ini tidak menghairankan kerana saya seorang wartawan yang tidak dikenali ahli politik. Tetapi saya kenal Shahidan daripada usaha yang dilakukan dan cerita-cerita ibu. Walaupun Shahidan agak tegas dan ‘cengey’ (garang) tetapi disukai kerana ada sisi mesra dengan orang kampung.

Kini Shahidan dipertanggungjawab menjaga Wilayah Persekutuan. Kuala Lumpur antara wilayah yang kompleks dalam Wilayah Persekutuan. Ini memerlukan pemimpin yang tangkas, tidak terlalu ‘ikut buku’ dan sering menjenguk ke segenap relung kehidupan golongan bawahan yang miskin bandar. 

Tugas besar Shahidan ialah memastikan Kuala Lumpur untuk semua, bukan monopoli satu kaum sahaja. Di sebalik bangunan tinggi, moden dan mewah tersembunyi wajah sosial Kuala Lumpur yang sebenar.  Kepesatan Kuala Lumpur sebagai pusat ekonomi tidak dinikmati secara bersama –  banyak yang mampu melihat daripada memiliki.

Tanpa apologetik kita harus mengakui polarisasi kaum terus menjadi persoalan teras di Kuala Lumpur.  Kawasan-kawasan  yang beridentiti  dan dominasi  kaum  tertentu terus wujud dan masih tidak menjanjikan perubahan. Shahidan perlu menjadikan Kuala Lumpur kota milik bersama.

Suatu yang perlu dilihat semula ialah pelan pembangunan  Kuala Lumpur kerana petempatan dan kediaman baharu  dilihat gagal merentas garis kaum. Di kawasan  yang majoriti Cina  terus menjadi tumpuan Cina dan kawasan Melayu menjadi tumpuan Melayu.

Orang Melayu  sebenarnya tertumpu di kawasan asal seperti Keramat, Kampung Baru, Kampung Pandan dan Lembah Pantai.  Sementara orang Cina di kawasan-kawasan  bandar yang komersial seperti Bukit Bintang, Cheras, Sungai Besi, Jalan Kelang Lama dan Seputeh.

Segmentasi  petempatan kaum di Kuala Lumpur suatu yang tidak baik pada pembangunan sosiobudaya dan politik  wilayah ini.  Kita perlu maklum Kuala Lumpur bukan  ibu negeri, tetapi sebuah wilayah yang berada dalam tadbir urus kerajaan Persekutuan.

Misalnya kawasan segi tiga emas di tengah-tengah Kuala Lumpur hanya didominasi oleh satu kaum sahaja.  Ini belum lagi kawasan asal Melayu seperti Bukit Kerinchi berubah menjadi dominasi kaum lain.  Pembangunan menjadi alat menyingkir orang Melayu  secara terhormat dari pusat bandar Kuala Lumpur.

Kuala Lumpur tidak memerlukan prasarana seperti di luar bandar. Kuala Lumpur sudah cukup semuanya kecuali pelan pembangunan sosial yang komprehensif untuk mengikis polarisasi yang wujud daripada segmentasi petempatan mengikut kaum.

Maka ketangkasan Shahidan sangat diperlukan membawa Kuala Lumpur menjadi lambang sebenar Keluarga Malaysia. – Utusan Malaysia 13 September 2021

Advertisement
Please follow and like us:

Author / Editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *