Sesetengah majikan mengabaikan prosedur operasi standard (SOP) terutama ruang pejabat kecil dan pekerja terpaksa berasak-asak macam ikan sardin. (Gambar hiasan Unsplash)

Oleh Ku Seman Ku Hussain

SESETENGAH dalam kalangan majikan termasuk  agensi  kerajaan seperti tidak memahami tuntutan normal baharu berikutan pandemik Covid-19 sejak lebih setahun lalu. Kelonggaran bekerja dari rumah diberikan pada bidang tertentu yang boleh dilakukan dalam talian tidak dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya.

Isunya ada majikan yang tidak sabar mengarahkan semua pekerja kembali ke pejabat walaupun keadaan tidak mengizinkan,  kadar jangkitan masih tinggi dan ruang kerja sesak macam tin sardin. Semua ini berlaku kerana ada majikan terus prasangka  konsep bekerja dari rumah sebagai ‘berehat’ dan bukan ‘bekerja.’

Pandemik telah mendedahkan sebenarnya banyak bidang pekerjaan terutama berkaitan digital boleh dilakukan di luar pejabat. Dengan menggunakan perkakas seringkas komputer riba, pekerja tetap boleh menjalankan tugas tanpa menjejaskan kuantiti dan kualiti. Malah ada sesetengahnya jauh lebih baik berbanding di pejabat.

Hakikatnya ketika ini pandemik belum  berkurangan, jauh sekali berakhir walaupun kerajaan akan mengisytiharkan endemik sebelum akhir tahun ini. Perubahan daripada pandemik pada endemik lebih pada tuntutan ekonomi. Daripada sudut kesihatan, keadaan masih tenat. Kadar kematian harian lingkungan 300 orang dan penggunaan katil di unit rawatan rapi (ICU)  masih lebih 70 peratus.

Majikan terutama pihak sumber manusia perlu memahami hakikat ini dan tidak terburu-buru mengarahkan mereka yang bekerja dari rumah masuk ke pejabat.  Hal ini meletakkan pekerja dalam keadaan serba salah – antara nyawa dan tuntutan untuk hidup.

Sesetengah majikan mengabaikan prosedur operasi standard (SOP) terutama ruang pejabat kecil dan pekerja  terpaksa berasak-asak.  Dalam keadaan begini tentulah mustahil untuk mematuhi SOP Majlis Keselamatan Negara (MKN)  yang  jarak antara pekerja sekurang-kurang dua meter. 

Cara untuk menjadikan SOP itu satu kenyataan ialah memberi kelonggaran kerja dari rumah kepada mereka yang  telah membuktikan konsep itu sama sekali tidak menjejaskan produktiviti – kualiti dan kuantiti.  Dengan teknologi yang berada di hujung jari, komunikasi antara satu dengan lain waktu pejabat bukanlah satu masalah.

Sejak lebih setahun lalu konsep bekerja dari rumah telah dilaksanakan  dengan jayanya. Malah yang lebih menarik tidak memerlukan belanja tambahan di segi peralatan. Majikan tidak mengeluarkan belanja yang lebih,  tetapi mendapat hasil kerja yang bukan sahaja menepati malah lebih tinggi.

Majikan tidak boleh terpesona dengan riuh rendah kempen gelembung pelancongan seolah-olah  ancaman Covid-19 sudah tidak ada. Gelembung pelancongan bukan indikator menunjukkan  keadaan  telah kembali seperti sedia kala dan tidak bahaya. Begitulah halnya dengan kelonggaran pergerakan,  semua ini dilakukan kerana faktor ekonomi bukan kesihatan.

Tuntukan kesihatan dan ekonomi  terhadap rakyat jauh berbeza. Tetapi kerajaan terpaksa melonggarkan beberapa SOP terutama pergerakan untuk mengaktifkan sektor ekonomi.  Bagaimanapun daripada sudut kesihatan,  keadaan tetap seperti sebelum ini  dengan merujuk jumlah kematian harian dan kadar penggunaan katil di ICU.

Jadi, tidak ada alasan untuk majikan memperjudikan nyawa pekerja dengan memaksa mereka yang boleh bekerja dari rumah datang ke pejabat. Kalau ada masalah berbangkit mengenai kelemahan bekerja dari rumah, selesaikan kes demi kes. Tidak adil untuk pukul rata bahawa konsep bekerja dari rumah tidak memberikan hasil yang baik hanya berdasarkan beberapa kes terpencil.

Ironinya,  sesetengah bidang kerja memang boleh dilakukan secara dalam talian. Di rumah mereka bekerja secara dalam talian. Di pejabat pun secara dalam talian juga. Jadi, apa masalahnya kalau bekerja dari rumah?  Tambahan pula dalam normal baharu, definisi ‘premis bekerja’ bukan tempat tetapi teknologi.

Selagi ada teknologi yang dihubungkan dengan pejabat,  makna ‘ premis bekerja’ adalah di mana-mana. Majikan yang berfikiran maju akan mengukur pekerjanya daripada hasil bukan faktor tempat bekerja. Bagaimanapun hakikatnya tidak semua pemimpin sumber manusia atau majikan berfikiran terbuka dan maju.

Dengan meneruskan konsep bekerja dari rumah,  majikan dapat memastikan ruang kerja di pejabat menepati SOP jarak minimum dua meter.  Semakin kurang masa  berada dalam sesuatu ruang  sesak dan tertutup akan kurang risiko jangkitan sekiranya ada pekerja yang positif Covid-19.

Majikan yang baik bukan sahaja berjaya mencatatkan prestasi jabatan atau syarikat,  tetapi juga mengambil berat dan memahami masalah yang dihadapi pekerja. Ini kerana pekerja yang dibebani masalah boleh menjejaskan kualiti hasil kerjanya. Pekerja  adalah manusia dan bukan mesin, maka mereka mesti ditangani sebagai manusia.

Sekarang ini tidak semua sekolah dibuka, begitu juga tadika. Bayangkan keadaan ibu dan bapa yang anaknya tidak dibenarkan ke sekolah, tetapi mereka terpaksa ke pejabat. Bagaimana budak darjah satu atau dua misalnya boleh menguruskan diri tanpa penjaga?

Sudah tentu mereka terpaksa akur dengan arahan  majikan supaya bekerja di pejabat. Kalau ingkar mungkin dikenakan tindakan atau diberhentikan kerja. Apa lagi sesetengah majikan sentiasa mengugut pekerja supaya patuh atau berhenti kerja.

Sebenarnya konsep bekerja di luar pejabat ini sudah lama diamalkan di negara maju.  Cuma sesetengah majikan kita terasa pelik kerana mereka tidak melihat cara orang lain bekerja. Maka diinstitusikan mesin punch card  sebagai tanda ‘datang bekerja.’  Itu sudah sangat lapuk untuk era digital masa ini.

Agensi berita antarabangsa misalnya mempunyai ‘pekerja’ iaitu wartawan di seluruh dunia. Wartawan yang bekerja di ibu pejabat hanya sejumlah kecil, selebihnya  wartawan berkerja di mana-mana. Mereka ada indeks petunjuk prestasi (KPI) dan tidak timbul masalah ‘pekerja’  yang tidak bekerja selagi mencapai kualiti yang ditetapkan.

Majikan tidak perlu mencemburui mereka yang bekerja dari rumah. Tidak perlu prasangka makan ‘gaji buta’ sedangkan hasil kerja yang diberikan mencapai garis yang ditetapkan majikan.  Tentulah amat keterlaluan untuk memotong gaji mereka yang bekerja di luar pejabat kecuali yang sememangnya bermasalah. (Utusan Malaysia 27 September 2021)

Advertisement
Please follow and like us:

Author / Editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *