Perhimpunan yang mendesak kerajaan mempercepatkan perlaksanaan Undi 18 di luar pagar bangunan Parlimen baru-baru ini dipercayai mendapat dokongan aliran politik tertentu. (Gambar Malaysia Gazette)

Oleh Ku Seman Ku Hussain

HAD umur pengundi 18 tahun akan dilaksanakan dalam Pilihan Raya Umum (PRU 15) yang dijangka diadakan tahun depan. Walaupun sudah pasti dilaksanakan, tetapi kebimbangan terhadap ketidakmampuan golongan ini masih menjadi bahan perdebatan.

Oleh kerana itu semua pihak wajar meraikan pandangan, kritikan dan kebimbangan kesan di sebalik perlaksanaan had umur pengundi 18 tahun ini. Setidak-tidaknya pandangan sedemikian boleh dimanfaatkan walaupun dalam jangka yang singkat  untuk meningkatkan kualiti peribadi, pemikiran dan pengetahuan remaja tentang hal ehwal negara.

Apabila pendaftaran pengundi dibuat secara automatik termasuk yang berusia 18 tahun akhir Disember depan, dianggarkan tidak kurang 7.8 juta terdiri daripada pengundi baharu berusia antara 18 hingga 20 tahun.  Pengundi berusia 21 tahun dan ke atas termasuk dalam senarai daftar sebelum ini.

Pelaksanaan pengundi 18  tahun ini dilihat memberi keuntungan kepada golongan  dalam politik, itu pun hanya aliran politik tertentu. Sebabnya sebahagian daripada remaja lebih condong kepada aliran politik yang bersifat anti establishment, kebebasan tanpa batas, liberal malah tindakan-tindakan politik yang menjurus anarki.

Maka, tidak semua aliran politik boleh menggunakan pertambahan pengundi 18 tahun ini untuk mencapai kemenangan dalam PRU yang akan datang.  Keuntungan politik hanya menjurus kepada pihak yang selari dengan kecenderungan remaja –  kebebasan dan liberal daripada laras moral serta budaya.

Kempen Undi 18 dikatakan untuk memberi peluang kepada remaja turut mencorakkan masa depan negara (Gambar hiasan NST)

Masyarakat pada umumnya tidak mendapat sesuatu daripada langkah yang dilaung-laungkan sebagai petanda demokrasi menjadi lebih demokratik dan sistem pilihan raya semakin baik, adil dan matang.  Ini hanya retorik untuk memperlihatkan seolah-olah rakyat yang mendapat kebaikan daripada langkah ini.

Ada dua hal yang membimbangkan apabila pengundi remaja  diberi kuasa yang besar dalam turut mencorakkan hala tuju negara pada masa depan. 

Pertama, sebahagian  besar remaja tidak menguasai hal ehwal  dan isu semasa yang berlaku di sekeliling mereka. Mereka tidak jinak dengan sumber pengetahuan yang menjana pemikiran. Pada era digital sekarang ini semuanya berada di telapak tangan. Cuma isunya remaja  lebih cenderung menjauhkan diri daripada pengetahuan seperti itu.

Mereka hanya pencandu media sosial dan mengutip sekian banyak sampah sarap yang bertebaran di situ. Tetapi telah perasan cukup matang apabila terlibat dalam pertelingkahan politik  yang tidak lunak dengan rakan sebaya di media sosial. Semakin angkuh dan liar, semakin hebat rasanya.

Sesetengahnya  pula menjadi pengikut pasif aliran politik tertentu yang kelihatan mendokong modenisasi, kebebasan dan sangat prihatin terhadap suara orang muda. Semua ini dibentuk oleh media sosial yang dijadikan rujukan untuk mengetahui segala macam hal di seluruh dunia.

Maka kesan daripada undi remaja ini sangat besar kepada rakyat seluruhnya – tentang dasar politik, budaya dan sosial.  Malah nilai undi mereka ini setaraf dengan golongan yang pakar  dalam budaya, ekonomi dan sebagainya yang ada wibawa pilihannya. Bayangkan kalau separuh daripada jumlah pengundi baharu 18 tahun ini tersasar kerana ketidakmampuan berfikir ketika membuat pilihan.

Advertisement

Biasanya pada usia 18 tahun seseorang remaja baru sahaja melepasi tahap pendidikan menengah. Dalam sistem pendidikan kita tahap menengah hanya ditumpukan pada bidang akademik, pengetahuan am  dan ehwal semasa  sangat sedikit. Lalu di mana mereka mendapat pengetahuan dan maklumat mengenai politik dan hal ehwal negara ini?

Tidak banyak remaja yang membaca surat khabar  tidak kira dalam bentuk apa sekalipun – bercetak atau dalam talian. Tidak ada dorongan untuk membaca portal-portal  yang menyajikan pandangan yang kritis tentang kehidupan dan pemikiran malah politik sekalipun.

Lalu, di mana sumber yang menjana pemikiran untuk digunakan apabila memilih pemimpin yang mempunyai kaitan rapat dengan dasar sosial dan politik negara?  Tidak cukup sekadar menjadi pencandu hantaran-hantaran politik murahan di media sosial. Itu sampah sarap.

Kedua,  pada umur seperti ini mereka mudah tenggelam dan diinstitusikan oleh pengaruh luar biasa media sosial yang sudah terbukti berperanan sebagai peruntuh tamadun.  Media sosial menjadi pemangkin nilai-nilai baharu yang bertentangan dengan asas sosiobudaya  dan agama terutama di negara ini.

Sebahagian besarnya diasuh oleh pemikiran liberal yang menjadi isi kandungan utama di media sosial. Isi kandungan ini datang dari dalam dan juga luar negara. Disebabkan pengaruh media sosial yang sangat kuat, semua pemikiran yang bertentangan dengan nilai moral dan budaya setempat dianggap satu  asas kebebasan dan kemodenan.

Kepesatan teknologi terutama dalam bidang komunikasi serta arus modenisasi telah mengubah sistem nilai sebahagian besar khalayak terutama remaja. Sikap dan pemikiran  terhadap moral dan budaya berubah pada yang terbuka, bebas dan liberal.

Banyak sempadan sosial dan moral yang dulunya menjadi rujukan telah dibuang jauh. Banyak etika moral dalam masyarakat dianggap tabu dan mereka inilah yang menyerah diri pada agenda modenisasi yang tidak difahamnya.

Hantaran-hantaran di media sosial membuktikan sekaligus mencerminkan  pemusnahan identiti, jati diri dan akhlak dilakukan dengan sewenang-wenang.  Nilai dan adab terhadap generasi yang lebih tua misalnya sudah disamaratakan  dengan rakan sebaya.

Dengan menanggapi nilai hidup yang baharu,  mereka tidak berasa bersalah terhadap pelanggaran moral dan susila.  Malah bukan luar biasa tokoh agama menjadi sasaran kecaman beramai-ramai kerana tidak setuju dengan teguran terhadap sesuatu yang melanggar batas agama.

Maka daripada kedua-dua kebimbangan yang dicatatkan di atas, sudah tentu kita dapat mengagak aliran politik yang akan menjadi pilihan sebahagian remaja yang menganut pemikiran liberal dan bebas.  Membangkitkan hal-hal seperti ini bukan bermakna tidak mendengar suara dan aspirasi orang muda.

Masa yang sama memberi peluang orang muda begini dalam nenentukan hala tuju negara adalah satu bentuk eksploitasi politik yang tidak bermoral. Gagasan menjelmakan politik matang perlu membanteras segala macam eksploitasi termasuk terhadap remaja untuk mendapat undi. (Utusan Malaysia 4 Okt 2021)

Advertisement
Please follow and like us:

Author / Editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *