Gelaran hanya penting kepada masyarakat cenderung mengukur keberadaan seseorang itu sebagai tanda aras dalam kedudukan sosial. (Gambar hiasan Berita Harian)

Oleh Ku Seman Ku Hussain

Masyarakat yang mengutamakan kebendaan cenderung menggunakan pembaris yang serupa untuk mengukur kedudukan dan kemuliaan orang lain.  Hal-hal berupa benda dan terpampang di mata menjadi asas untuk diberi penghormatan. Suatu yang tidak nampak di mata cenderung diketepi atau diabaikan begitu sahaja.

Masyarakat yang seperti ini menjadi pemangkin kepada sesetengah individu mencari nama dan kedudukan dengan cara yang tidak betul – membeli pangkat dan gelaran.  Masa yang sama membuka jalan kepada pihak lain mengambil peluang menipu menjual gelaran demi kepentingan peribadi.

Berita mereka yang kemaruk gelaran Datuk ditipu oleh sindiket atau orang perseorangan sentiasa muncul di garis masa media kita. Berita begini tidak pernah berakhir, sama seperti wanita berusia kemaruk cinta  lelaki muda yang terperangkap dengan sindiket ‘love scam.’  Walaupun berulang kaji dipaparkan di media,  tidak banyak yang mengambil iktibar.

Terbaru, seorang lelaki  kehilangan lebih RM400,000 apabila menjadi mangsa sindiket menjual gelaran Datuk Seri. Dia memilih jalan gelap untuk kelihatan terapung  di mata masyarakat. Bagaimanapun ini hanya tanggapan sahaja kerana gelaran tidak pernah memuliakan penerimanya.

Kalau gelaran itu dianugerahkan kepada yang sememangnya mulia dan banyak sumbangan memang mulialah jadinya. Tetapi kalau dianugerahkan kepada yang tidak mulia,  memang tidak mulialah kedudukannya. Mereka hanya dimuliakan oleh sekelompk kecil yang bermata kebendaan.

Banyak yang percaya penipuan ini berulang-ulang seolah-olah mangsa tidak pernah belajar daripada pengalaman orang lain. Dengan modus operandi pula sama – mengaku ada laluan rahsia  di istana dan mengenakan upah yang tidak masuk akal. Tetapi masih ada yang sanggup membayar kerana percaya gelaran boleh mengangkat kedudukan.

Pertanyaan sepuluh sen saya, apakah kurangnya hidup tidak  bergelar itu dan ini?  Apakah pula lebihnya hidup mereka yang bergelar?  Saya sentiasa percaya, hidup adalah semua sesuatu yang dilakukan, bukan yang dianugerah atau diberikan supaya kelihatan di mata masyarakat.

Kehilangan wang berpuluh malah beratus ribu Ringgit untuk mendapat gelaran mungkin menjadi ‘berita kaki’ yang sangat kelakar di luar negara. Tetapi di negara ini sudah menjadi perkara biasa kerana kemaruk gelaran adalah penyakit yang sukar diubati.

Apa ada dengan gelaran?  Lebih nakal lagi ada yang bertanya, kalau tidak ada duit, adakah gelaran itu akan mengenyangkan perut yang lapar?  Tetapi jangan lupa ada juga orang Melayu yang kuat berpegang pada kata-kata, ‘biar papa asal bergaya.’  Mereka menganggap gelaran juga seperti benda lain  untuk kelihatan bergaya.

Gelaran hanya menjadi suatu yang penting kepada masyarakat cenderung mengukur keberadaan seseorang itu sebagai tanda aras kedudukan sosialnya. Tidak kiralah Datuk, Datuk Seri dan sebagainya. Mereka yang bergelar ini didahulukan  atau diutamakan dalam masyarakat.

Masyarakat harus bertanggungjawab kerana mewujudkan tanggapan palsu bahawa kemuliaan boleh diukur dengan pangkat dan gelaran. Masyarakatlah yang menjadikan semua hal-hal kebendaan ini sebagai pembaris yang salah, maka mereka jugalah yang mesti membetulkannya.

Advertisement

Sebenarnya semua  gelaran yang dimaksudkan itu adalah warisan silam dalam sistem feudal.  Memang baik diteruskan sebagai satu warisan adat dan budaya  Melayu supaya tidak hilang ditelan zaman. Buktinya acara penganugerahan gelaran diadakan dengan penuh istiadat.

Penganugerahan gelaran adalah hak mutlak Raja-Raja Melayu.  Kepada siapa yang Raja-Raja Melayu fikir hendak dianugerahkan, tidak ada siapa yang boleh mempersoalkan. Walaupun begitu ada yang tertanya-tanya  apabila ada individu yang bergelar ini tidak menjaga anugerah dengan selayaknya. Terpalit dengan isu moral dan jenayah yang memalukan.

Kemuliaan seseorang itu diukur pada peribadi yang terpuji,  tata susila yang tinggi dan  dalam budaya Melayu ada menekankan bahawa  semakin merendah diri, semakin tinggilah kedudukan seseorang itu. Sebab itulah orang Melayu meminjam sifat padi yang semakin menunduk semakin berisi.

Tetapi sesetengah dalam kalangan masyarakat sudah tidak mengukur manusia dengan sifat  padi.  Mereka mengukur dengan sifat bunga lalang, semakin kosong semakin tinggi menggamit perhatian. Kemaruk gelaran itu bukan sifat padi.  Pilihlah menjadi padi, semakin menunduk semakin berisi.

Masyarakat perlu membuat anjakan dan gelaran yang dianugerahkan itu tidak ada kena mengena dengan budi pekerti, sumbangan bakti dan kemuliaan. Hal ini perlu ditegaskan kerana banyak  individu yang besar sumbangan kepada negara, tidak terkira jumlahnya. Kerana tidak bergelar, tidak bolehlah dianggap tidak ada sumbangan.

Tugas masyarakat ialah memisahkan antara maksud kemuliaan individu dengan gelaran yang dianugerahkan itu.  Gelaran adalah hak individu dan tidak ada kaitan dalam urusan sosialnya dengan masyarakat. Apabila kita dan seluruh masyarakat menganggap demikian, tidak timbullah persoalan sekiranya yang bergelar pun terlibat dengan perbuatan penjenayah.

Semoga dengan  cara ini rakyat tidak memandang serong pada anugerah yang diberikan kepada mereka yang melanggar tata cara hidup bermasyarakat,  tidak bermoral, terlibat dalam jenayah kekerasan atau jenayah kolar putih.

Begitu jugalah apabila sejak merdeka hingga kini, banyak juak-jual politik arus utama dianugerahkan gelaran. Tidak mengapa kerana semuanya sekadar  kelangsungan warisan tradisi. Bukan tanda aras perjuangan untuk agama, bangsa dan negara.

Masyarakat perlu menggerakkan perubahan paradigma ini. Memang sukar kerana sudah sebati dan mendasar dalam pemikiran.  Tetapi perlu memulakan dengan matlamat menjaga institusi Raja-Raja Melayu. Biarlah tujuan penganugerahan gelaran itu kembali sebagai kesinambungan tradisi  silam. Adat kembali menjadi adat, bukan ukuran kedudukan dalam masyarakat.

Sebagai manusia, kita mesti terus membuat  sebanyak mungkin kebaikan dengan sesama manusia dan juga alam serta tidak mengharapkan balasan. Percayalah, kemuliaan akan datang dengan sendirinya kepada mereka yang melakukan kebaikan dengan jujur. (Utusan Malaysia 6 September 2021)

Advertisement
Please follow and like us:

Author / Editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *