Oleh Mohd Ridwan Talib

PERIBAHASA Melayu menyatakan, “Galas habis senggulung tandas, lamun dihitung rugi jua.” Itulah gambaran terhadap isu penggubalan Undang-Undang Anti-Lompat Parti. Penulis tidak anti kepada gerakan ini. Cuma anti terhadap pekerjaan yang sia-sia. Menggubal Undang-Undang Anti-Lompat Parti adalah sia-sia kerana tidak menyelesaikan masalah sebenar. 

Banyak pihak berpendapat undang-undang ini dapat menstabilkan politik dan ekonomi Malaysia. Ia mengelakkan tumbangnya ‘kerajaan’ (i.e. Perdana Menteri & Kabinet) yang berpunca daripada wakil rakyat yang berpaling tadah. Realitinya, undang-undang ini  bukan solusinya. ‘Kerajaan’ tetap akan tumbang meskipun ia digubal.

Fenomena ‘lompat parti’ hanyalah simptom, bukannya penyakit. Jika undang-undang hanya bermatlamat untuk merawat simptom, maka ia akan gagal. Isu sebenar ialah kehilangan sokongan majoriti di Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri. 

Di Malaysia, terdapat dua  cara untuk menubuh (dan menjatuhkan) ‘kerajaan’. Pertama, melalui pilihan raya. Kedua, lantikan Perdana Menteri dibawah Artikel 43 (2) (a) tanpa perlu melalui pilihan raya. Namun, cara pertama tetap bergantung kepada cara kedua, iaitu meraih sokongan majoriti di badan legislatif. 

Artikel 43 (2) (a) terdiri daripada dua bahagian/syarat.

Pertama, ia memperuntukkan bahawa Yang Di-Pertuan Agong melantik seorang Perdana Menteri yang merupakan seorang Ahli Dewan Rakyat (Ahli Parlimen).

Kedua, Ahli Parlimen tersebut mesti mendapat sokongan majoriti daripada Ahli Dewan Rakyat. Inilah yang menjadi ‘duri dalam daging’. Tanpa sokongan majoriti, Ahli Parlimen tersebut tidak boleh dilantik oleh YDPA sebagai Perdana Menteri dan gabungan parti politiknya tidak boleh membentuk Kabinet.

Keutamaan Parlimen ketika ini ialah menggubal undang-undang dana politik untuk mengelak berlakunya rasuah dalam kalangan politikus. (Gambar hiasan)

Jika diteliti, syarat kedua ini tidak merujuk kepada sokongan majoriti daripada parti politik atau gabungan parti politik. Tiada nama parti politik atau gabungan politik pun dinyatakan pada Artikel 43 (2) (a). Ia sebenarnya merujuk kepada sokongan Ahli Parlimen secara ‘individu’. Ini bermakna, sokongan majoriti Ahli Parlimen di Dewan Rakyat adalah keputusan individu, bukannya keputusan parti. Malah, apa yang tersirat Perlembagaan Persekutuan melalui Artikel 43 (2) (a) membenarkan amalan lompat parti.

Apa yang gagal diselesaikan oleh Undang-Undang Anti-Lompat Parti adalah fenomena kehilangan sokongan majoriti apabila Ahli Parlimen  dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) berpaling tadah tanpa perlu melompat parti. Ada juga Ahli Parlimen yang melompat parti. Fenomena ini berlaku pada 2020 di mana tumbangnya kerajaan Pusat serta kerajaan negeri di Kedah, Melaka, Johor dan Perak.

Sebagai contoh, pelantikan Ahli Parlimen Pagoh sebagai Perdana Menteri kelapan adalah hasil daripada kombinasi dua senario tersebut. Terdapat Ahli Parlimen  yang berpaling tadah untuk menyokong Ahli Parlimen Pagoh seperti Ahli Parlimen Gombak,  Ampang dan Indera Mahkota. Namun, tidak seorang pun Ahli Parlimen daripada UMNO yang melompat parti untuk memberikan jumlah sokongan majoriti kepada Ahli Parlimen Pagoh. Akhirnya, beliau dilantik menjadi Perdana Menteri oleh YDPA selepas memenuhi syarat-syarat Artikel 43 (2) (a).

Hal yang sama berlaku semasa kejatuhan kerajaan negeri Perak pimpinan ADUN Chenderiang. Beliau tumbang selepas tewas dalam usul undi Percaya di DUN Perak. Ia hasil kerjasama daripada majoriti ADUN Perak (termasuklah dari UMNO dan DAP) tanpa seorang pun ADUN DAP bertindak lompat parti.

Terbaru, Kabinet Perdana Menteri kelapan tumbang selepas 14 Ahli Parlimen UMNO menarik balik sokongan. Adakah berlaku party-hopping dalam kalangan MP UMNO tersebut? Tidak. Adakah kerajaan Pusat tumbang? Ya.

Advertisement

Semua contoh ini jelas menunjukkan bahawa kerajaan Pusat dan Negeri tetap akan tumbang tanpa perlu Ahli Parlimen dan ADUN melompat parti. Maka, jika ini natijahnya, apa perlu digubal Undang-Undang Anti-Lompat Parti? Jelas sekali, kerajaan sebenarnya boleh ditumbangkan tanpa perlu ‘lompat parti’. Apa yang perlu hanya mengalihkan sokongan majoriti.  

Ada pula yang mendakwa kerajaan ‘lompat parti’ adalah tidak sah, tidak demokratik kerana tidak melalui pilihan raya. Jawapannya mudah. Terdapat situasi di mana semua pemegang taruh tidak dapat menunggu sehingga mandat kerajaan berakhir yang mana Kabinet perlu ditukar serta-merta (e.g. krisis politik) atau pilihan raya tidak dapat dijalankan dengan selamat. Pandemik COVID-19 adalah contoh yang baik. Maka, Artikel 43 (2) (a) memberikan jalan keluar dalam situasi tersebut tanpa perlu YDPA membubarkan Parlimen dan mengadakan pilihan raya [rujuk Artikel 43 (4) dan 55 (2)]. Ia tetap demokratik dan sah kerana dibenarkan oleh undang-undang.

Seperkara lagi, sebelum Undang-Undang Anti-Lompat Parti digubal, Artikel 43 (2) (a) perlulah dipinda terlebih dahulu dengan undian 2/3 majoriti di Parlimen. Malah, Artikel 10 (1) (c) [Hak Kebebasan Berpersatuan] dan Artikel 48 (1) [Pelucutan Keahlian Dewan Rakyat] juga perlu dipinda. Contohnya, pindaan Perlembagaan ke atas Artikel 48 (1) akan memasukkan klausa baru yang menetapkan politikus akan kehilangan status sebagai Ahli Parlimen jika bertindak melompat parti dan/atau menubuhkan parti politik baharu.

Jika semua Artikel ini mahu dipinda, ia akan memberikan kesan buruk kepada kerjaya politikus. Pindaan Artikel 48 (1) misalnya akan menyebabkan politikus kehilangan status sebagai Ahli Parlimen dan tersingkir jauh daripada pusat kuasa politik. Bukankah ini songsang dengan objektif berpolitik?

Benar, ‘lompat parti’ telah menyebabkan defisit keyakinan rakyat terhadap amalan demokrasi seperti pilihan raya namun, apakah alternatif bagi politikus jika parti politiknya pula berpaling tadah? Wajarkah mereka menjadi ‘tawanan politik’ dalam parti mereka sendiri? Adilkah jika mereka dihukum dengan tuntutan mengosongkan kerusi Parlimen atau DUN? Sedangkan ini bertentangan dengan keputusan Mahkamah Agung (kini Mahkamah Persekutuan) dalam kes Dewan Undangan Negeri Kelantan vs Nordin bin Salleh yang menetapkan hak untuk berpersatuan dalam Artikel 10 (1) (c) turut menjamin hak untuk keluar daripada persatuan dan menubuhkan persatuan baharu.

Undang-undang dana politik boleh mengekang rasuah seperti yang berlaku dalam kes 1MDB

Sebaliknya, keutamaan Parlimen ialah penggubalan Undang-Undang Dana Politik. Ia patut didahulukan kerana berkesan dalam membendung rasuah yang kronik di Malaysia. Undang-Undang ini akan mencegah berulangnya kes 1MDB yang mengaibkan Malaysia. Ia mempastikan aliran wang yang membiayai kegiatan parti politik adalah berpunca daripada saluran yang sah di sisi undang-undang. Ini dapat mengelakkan politikus terpalit dengan jenayah penggubahan wang haram. Malah, ia akan memastikan kes rasuah politik dapat dihakimi dengan adil di mahkamah. Gejala rasuah dalam kalangan politikus adalah punca kerajaan tumbang. Bukannya ‘lompat parti’.

Kestabilan politik boleh dicapai jika politikus mengamalkan kematangan politik. Politikus harus berfikir panjang tentang kesan Undang-Undang Anti-Lompat Parti. Hanya kerana ia berjaya di negara lain, belum tentu menjamin kejayaannya di Malaysia. Kelak akan menyesal, ibarat peribahasa Melayu “Takutkan tuma dibuangkan kain, takutkan hantu terpeluk bangkai.”

  • MOHD RIDWAN TALIB adalah Pengamal Undang-Undang dan pelajar pasca Siswazah, Fakulti Undang-Undang & Syariah (FSU), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

 

 

Advertisement
Please follow and like us:

Author / Editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *