Oleh Ku Seman Ku Hussain
DASAR Kebudayaan Negara (DAKEN) yang dilancarkan minggu lalu merupakan sebuah dasar atau hala tuju pembangunan seni, budaya dan warisan negara yang komprehensif dan inklusif kepada semua kaum. Malah dasar ini dilihat sangat realistik kerana mengemukakan pelan tindakan untuk menzahirkan DAKEN sebagai rujukan penting kebudayaan.
Dasar ini dengan jelas menjadi panduan untuk menjadikan kebudayaan (merangkumi seni, budaya dan warisan) sebagai pemangkin perpaduan, jati diri dan sumber ekonomi negara yang berdaya saing.
Malah yang penting daripada dasar kebudayaan ini ialah hala tuju menjadikan rakyat Malaysia hidup dalam lingkungan budaya tinggi sebagai pemangkin menjadi negara maju. Hal ini disebutkan kerana perimbangan ini sangat penting – hidup berbudaya di negara maju.
DAKEN dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob di Komplek Kraf, Kuala Lumpur Isnin lalu. Turut hadir ialah Menteri Pelancongan Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukry.
Ini adalah acara bersejarah kerana selepas 50 tahun Dasar Kebudayaan Kebangsaan (DKK) 1971 dilancarkan, inilah kali pertama dasar kebudayaan itu diberi penambahbaikan dan disesuaikan dengan keadaan semasa. Setengah abad bukan jangka masa yang singkat dan penambahbaikan ini tepat pada masanya.
DKK adalah hasil Kongres Kebudayaan Kebangsaan di Universti Malaya pada Ogos 1971. Ketika itu negara ini pada relatifnya baru merdeka iaitu 14 tahun, dan dilihat ada kelompangan dalam konteks kefahaman budaya antara kaum.
Ia telah berperanan dengan baik sebagai rujukan hal-hal berkaitan kebudayaan. Malah mampu meredakan ketegangan disebabkan ketidakfahaman budaya antara kaum-kaum di negara ini seperti rusuhan kaum 13 Mei 1969.
DKK sebenarnya bukan dasar secara rasminya kerana selama 50 tahun itu belum sekalipun dibentangkan kepada jemaah Menteri. Kita tidak pasti apakah halangan yang sebenarnya hingga tidak dibentangkan kepada jemaah Menteri.
Walaupun begitu DKK tetap berperanan kerana terdapat beberapa peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan dan akta-akta tertentu yang memberikan asas kepada unsur kebudayaan kebangsaan.
Misalnya kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, Akta Bahasa Kebangsaan, Akta Pendidikan dan kedudukan Islam dalam Perlembagaan Persekutuan. Semua akta-akta ini selari dengan perkara-perkara yang ditekankan dalam DKK.
DKK sebenarnya banyak menyumbang pada beberapa pencapaian fizikal dan bukan fizikal dalam konteks seni dan budaya di negara ini. Kejayaan itu perlu disebut untuk menunjukkan walaupun DKK dasar tidak rasmi tetapi menjadi penunjuk arah kebudayaan kebangsaan yang jelas.
Antara sumbangan DKK yang jelas ialah mempertingkatkan peranan Balai Seni Lukis Negara yang diwujudkan tahun 1958, menubuhkan Pusat Kebangsaan Manuskrip Melayu (1983), menganjurkan Tahun Melawat Malaysia (1990), mendirikan Panggung Negara yang kemudiannya dinamakan Istana Budaya, menubuhkan Akademi Seni Kebangsaan (1994) yang kemudiannya dinaik taraf menjadi Akademi Seni Budaya dan Warisan (Aswara) dan menubuhkan Muzium Etnologi Dunia Melayu (2000).
Kemantapan DAKEN pula dilihat pada teras yang mendirikan sekaligus menegakkan semua yang terkandung dalam dasar baharu ini. Melihat pada teras berkenaan, dasar ini digubal dengan sangat teliti serta mengambilkira kepentingan semua kaum dan etnik di negara ini.
Tujuh teras itu adalah tiang seri yang menegakkan dasar kebudayaan ini bagi kepentngan negara. Teras-teras yang dipilih ini menepati keperluan semasa di mana teknologi menjadi salah satu wahana pembudaayan yang amat berpengaruh di banyak negara di dunia termasuk Malaysia.
DAKEN dilihat sangat penting dalam keadaan sosiobudaya dan politik semasa sebagai punca kuasa serta rujukan dalam hal-hal ang berkaitan dengan seni, budaya dan warisan. Malah pada masa yang sama menekankan pengukuhan jati diri dalam pembinaan negara bangsa.
Dengan mengamblkira prinsip-prinsuip utama yang terkandung dalam DKK dan disesuaikan dengan keadaan semasa, perkara yang berkaitan integrasi budaya sudah menjadi naratif baharu kebudayaan negara ini. Bagaimanapun budaya tradisi kaum-kaum yang terdapat di negara dikekalkan sebagai kesinambungan dan memulihara khazanah warisan budaya.
Ini adalah panduan dan rujukan untuk memperkasa serta meningkatkan pemahaman, penghayatan, kecintaan dan pengamalan budaya dalam aspek kehidupan. Dalam kata lain dasar ini mesti dihayati dan didokong supaya matlamat melestarikan perkara-perkara yang berkaitan dengan seni, budaya dan warisan dapat dilaksanakan dengan berkesan.
Tujuh teras DAKEN ini dilihat menjadi menjadi tunggak untuk meletakkan dasar kebudayaan ini sentiasa relevan dengan perkembangan sosiobudaya semasa dan masa depan. Malah teras ini sukar untuk digoyah untuk menafikan sifat inklusif DAPEN terhadap kebudayaan, seni dan warisan sesuatu kaum.
Tujuh teras itu ialah;
- Budaya nilai tinggi
- Keharmonian masyarakat
- Pemeliharaan warisan budaya
- Pembangunan dan pengembangan budaya
- Pemerkasaan budaya
- Penjanaan ekonomi kebudayaan
- Kecemerlangan budaya.
Budaya nilai tinggi sebenarnya telah merentasi garis kaum, agama mahupun budaya. Ini nilai sejagat yang menekankan nilai-nilai murni yang diamalkan oleh semua rakyat. Ia merangkumi tiga elemen penting – tatasusila, tatacara dan tahap keintelektualan.
Tatasusila adalah sesuatu yang berkaitan dengan sikap dan perlakuan seseorang, sementara tatacara pula merujuk kepada cara-cara sesuatu tindakan itu harus dilakukan, manakala tahap keintelektualan berhubung kait dengan keupayaan berfikir sesuau yang kritikal dan analitikal.
Keharmonian pula daripada sudut budaya hanya terbentuk daripada perpaduan, keamanan, kemakmuran dan keadilan berteraskan persefahaman. Kemudian ditambah dengan sifat bertolak ansur dan saling menghormati dalam kehidupan bermasyarakat.
Untuk itu semua institusi dalam masyarakat perlu digerakkan untuk memanfaatkan semua aspek dalam seni, budaya dan warisan sebagai pemangkin keharmonian dalam masyarakat pelbagai kaum. Kehidupan berbudaya seperti ini menjadi tunggak keharmonian dalam sosiobudaya dan politik yang sangat dinamik.
Bagaimanapun kita perlu realistik bahawa DAKEN bukanlah undang-undang. Tetapi dasar ini berperanan besar sebagai rujukan untuk membangunkan sebuah kehidupan berbudaya dalam kalangan masyarakat. Penyertaan daripada seluruh masyarakat adalah faktor kejayaannya.
Pada masa yang sama, DAKEN yang kelihatan mantap dan realistik itu tetap menuntut kerjasana yang berterusan daripada semua pihak terutama kerajaan dan pihak swasta untuk menzahirkan sebuah masyarakat yang berbudaya. Kesedaran dalam kalangan sektor korporat misalnya adalah amat penting supaya tujuh teras dasar kebudayaan ini dapat dilaksanakan dengan sebaik-baiknya. (Utusan Malaysia 1 November 2021)