Yusof Gajah dengan sebuah lukisannya yang bermotifkan gajah. (Gambar hiasan The Vibes)

Oleh Ku SemanKu Hussain

TERUJA pada gajah ketika kanak-kanak telah membawa dia merentas benua dan memacak tanda nama di peta dunia.  Gajah haiwan darat yang paling besar bukan sahaja menjadi motif dalam setiap lukisan malah terus melekat pada namanya.

Gajah dihidupkan dalam pelbagai bentuk dalam imaginasinya di kanvas. Karya lukisannya mengimbau khayal dan mimpi zaman kecil  tentang gajah yang sangat abstrak. Menghayati karyanya adalah turut menoleh ke pangkal kenangan dan zaman kanak-kanaknya.

Ternyata dia suka pada hidup yang disulam seli hubungan dengan alam dan kehidupan haiwan yang harmoni. Dia menyingkap  dan mempersembahkan semula keindahan itu dengan gaya naive (naive art).  Ini satu gaya dalam seni lukis yang popular terutama di luar negara.

Ternyata karya seninya telah jauh merentas sempadan alam, kepercayaan dan budaya yang kerap menjarakkan sesama manusia. Kini dia bukan lagi anak kecil yang  teruja dengan gajah, tetapi sosok seniman besar yang pernah kita miliki dan menumpang bangga dengan pencapaiannya.

Berus terus menari meleretkan warna kehidupan di kanvas. Improvisasi motif gajah memberikan tanggapan pelbagai, tetapi tidak terpisah dengan mimpi-mimpi zaman kecilnya – alam haiwan yang harmoni. Masa yang sama dia  seniman yang amat  mengerti  maksud goresan berus di tangan – kiri, kanan atas atau bawah. 

Allahyarham Yusof Gajah.

Ternyata dia seniman yang punya tanggap dan faham akan bahasa  yang membawa manusia menghayati impian dan pemikirannya.  Impian menjadi pelukis yang hidup dan bergelumang dengan warna digenggam dalam nyata.

Demikialah pelukis sohor Yusof  Ismail.  Bagaimanapun nama itu terlindung di sebalik nama baharu, Yusof Gajah.  Nama ini bukan sahaja dikenali di sekitar Central Market, Kuala Lumpur atau negara ini malah di banyak penjuru dunia. 

Karya lukisannya telah jauh membawa nama Yusof Gajah menjelajah dunia.  Banyak lukisanya disimpan di merata-rata tempat, dalam dan luar negara.

Karya terakhirnya bermotifkan gajah putih disiapkan pada 25 Fenruari lalu. Ketika itu dia  uzur dan lesu akibat masalah kesihatan.  Tangan pula semakin kejang. Tetapi dalam keadaan tidak berdaya, Yusof Gajah terus berkarya.  Goresan pada kanvas  tidak berbeza. Motif gajah berwarna putih menjadi tanda mata selamat tinggal daripada seorang seniman.

Itulah yang terakhir daripada lelaki kurus, berambut panjang dan berkaca mata ala John Lenon ini. Personaliti itu menjadi miliknya sejak lama, pancaran wajah seniman agak ketara. Seorang figura sosial yang sentiasa menunduk walaupun namanya sudah tinggi di awan.

Yusof Gajah menutup usia  68 tahun pada pagi Rabu  (9 Mac) di kediamannya di Taman Greenwood, Gombak, Selangor. Allahyarham menderita penyakit gout beberapa tahun lalu dan masalah buah pinggang sejak setahun lalu. Hidupnya hanya di rumah dan di pusat hemodialisis.

Lelaki kelahiran Johol, Negeri Sembilan ini sudah mendunia dengan karya-karyanya. Malah seorang seniman yang amat mengerti dan faham akan dunia seni yang ditempuhinya. Memilih hidup sebagai seniman sepenuh masa bukan keputusan mudah.  Tetapi Allahyarham yakin dengan berbekalkan ilmu yang dikutip  di  Akademi Seni Rupa Indonesia di Jogjakarta pada awal 1970-an. 

Sekembalinya di negara ini Allayharham merapatkan diri dengan pergerakan seni paling berpengaruh waktu itu, Anak Alam.  Anak Alam sebuah pergerakan seni yang menaungi banyak seniman  daripada pelbagai bidang – penyair, penulis, pelukis dan aktivis teater.

Advertisement

Di Anak Alam Yusof Gajah semakin yakin dengan pilihan untuk menjadi seniman sepenuh masa. Menjadi pelukis bukan mudah apa lagi tahap apresiasi seni khalayak yang rendah. Sebaliknya mereka dalam dunia seni popular dan picisan pula mendapat imbuhan berganda besarnya berbanding seni yang tulen.

“Masa aku bergiat dengan Anak Alam, ada dua Yusof di situ.  Agak mengelirukan. Yusof Ismail dan  Yusof Osman. Jadi aku ambil nama Yusof Gajah,”  Allahyarham pernah memberitahu saya beberapa tahun yang lampau ketika bersembang di Restoran Annette di Central Square di sebelah Central Market.

Yusof Gajah seniman besar lagi sohor,  tetapi perwatakannya tidak  tidak  memperlihatkan seorang figura sosial yang ternama. Sangat berhemah ketika berbicara,  nadanya perlahan dan lebih banyak tersenyum daripada berkata-kata. Kurang gemar bercakap tentang karya sendiri kecuali ditanya.

Yusof Gajah bukan sahaja pelukis tetapi pengarang.  Allahyarham banyak menghasilkan buku kanak-kanak dan ilustrasi.  Kemampuannya bercerita dengan teks dan visual sangat mempesona. Maka tidak hairanlah kalau Allahyarham  dikagumi sebagai seorang ilustrator buku kanak-kanak.

Buku ilustrasinya, The Real Elephant diterbitkan dalam bahasa Melayu oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan versi bahasa Inggeris  oleh OyezBooks. Buku ini memenangi hadiah utama di Noma Concours Children’s Picture Book Art Competition  di Tokyo pada 1996. Pertandingan ini dianjurkan oleh Pusat Kebudayaan Asia Pasifik UNESCO.

Kejayaan ini menjadi tanda aras penting bagi Yusof Gajah dalam bidang ilustrasi buku kanak-kanak. Bidang ini juga tidak terpisah dengan lukisan malah menghasilkan ilustrasi itu juga satu cabang lukisan.

Walaupun kerja seni tidak pernah ada penamatnya, tetapi Yusof Gajah mencapai impiannya untuk memacak tanda aras pada pencapaian karyanya.  Selain di negara ini Yusof Gajah banyak mengadakan pameran di luar negara antaranya Indonesia, Thailand, Jepun, Czechoslovakia, Norway dan Sweden.

Sebagai pelukis sepenuh masa sudah tentu sambutan daripada pembeli suatu yang sangat menggembirakan. Tetapi tidak pernah melukis semata-mata memenuhi kehendak pasaran. Semua lukisan itu dihasilkan sebaik mungkin dan menepati piawai peribadi.

Allahyarham mengimpikan sebuah galeri lukisannya di KLCC.  Kenapa di KLCC bukan di tempat-tempat lain yang jauh lebih rendah kadar sewanya?  Hujah Allahyarham ialah lukisan itu barang mewah.  Jual beli lukisan melibatkan golongan elit yang mempunyai peruntukkan  besar untuk lukisan yang menjadi gaya hidup.

“Bukan mudah hendak jual sekeping lukisan berharga berbelas atau berpuluh ribu. Kena tepat dengan sasaran iaitu orang berlebihan duitnya,’ Kata Allahyarham.

Di negara ini,  antara tokoh yang menjadikan lukisan Yusof Gajah sebagai koleksi peribadi  ialah Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin.  Selebihnya dimiliki oleh Balai Seni Lukis Negara, Galeri Petronas dan syarikat korporat multinasional yang ada di Kuala Lumpur.

Kepulangan Yusof Gajah bukan sahaja kehilangan kepada isteri yang setia dan menjadi pengurusnya,  anak-anak yang dibesarkan dengan  bau kanvas serta warna, tetapi dunia seni lukis negara. Seniman seperti Yusof Gajah sedikit sebanyak mengangkat apresiasi masyarakat terhadap karya seni di negara kita. (Utusan Malaysia 11 Mac 2022)

 

Advertisement
Please follow and like us:

Author / Editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *