Oleh Ku Seman Ku Hussain
CARA saya mengisi masa lapang pada hari tidak bekerja akhir tahun 1980-an dan awal 1990-an ialah berjalan-jalan di tempat yang ada penyanyi jalanan atau busker membuat persembahan. Antara yang selalu menjadi pilihan saya ialah Jalan Hang Kasturi dan Jalan Masjid India.
Menikmati persembahan penyanyi jalanan memberi kepuasan yang unik. Sudah tentu bukan kesempurnaan yang menjadi ukuran. Persembahan di jalanan lebih pada kemampuan seseorang penyanyi jalanan itu bermain muzik dan menyanyi secara semula jadi – tidak ada bantuan teknologi. Banyak penyanyi yang hebat dan penuh iltizam, antaranya Mior Aziddin, Adi Jagat dan Iedet di Jalan Hang Kasturi.
Suatu petang sekitar tahun 1991 di Jalan Masjid India, tidak berapa jauh dengan Wisma Yakin dan restoran Waspada. Dari jauh kedengaran suara mengalunkan lagu. Berbagai-bagai lagu dinyanyikan. Dia adalah penyanyi jalanan yang dikenali di sekitar Jalan Masjid India.
Dia selebriti di situ. Kerja tetapnya menyanyi di jalanan. Namanya Mat Ripin yang berusia pertengahan 30-an. Suara dia menyanyikan lagu-lagu Inggeris terutama retro tahun 1960-an sangat memukau. Malah saya salah seorang peminat Mat Ripin.
Di tepi laluan orang lalu lalang, dia terus menyanyi dari satu lagu ke satu lagu lain. Lagu Inggeris dan Melayu berselang seni. Saya ralit melayan persembahan seniman jalanan ini sambil bertenggek di tebing tembok. Rasa cukup terhibur walaupun di tepi jalan.
Rasa ikut melayang apabila Mat Ripin menyanyikan lagu Hotel California, nyanyian asal Eagles. Begitu juga ketika menyanyikan lagu Soldier of Fortune nyanyian Deep Purple. Saya perhatikan setiap kali Mat Ripin ‘menggoreng’ gitarnya, orang ramai pun mulai berkerumun. Tidak berkelip peminat Deep Purple mendengar lagu Soldier of Fortune.
Alat muzik hanya gitar akustik yang orang kampung saya panggil gitar tong. Tetapi daripada jenamanya saya percaya harga gitar itu mahal. Pembuatannya kemas. Bunyinya sedap. Tidak sama dengan gitar tong saya semasa di kampung berharga RM45.
Mat Ripin tidak banyak bercakap. Tetapi dia dengan penonton dihubungkan dengan lagu-lagu yang dinyanyikan. Ada semacam pertautan jiwa apabila dia menyanyi dan penonton menikmatinya. Saya fikir penyanyi tidak usahlah berceloteh. Orang hendak dengar nyanyian bukan celoteh.
Selalunya apabila menyaksikan persembahan saya akan membuat pemintaan. Minta Mat Ripin menyanyi lagu pilihan saya. Pernah juga minta dia menyanyi lagu Bengawan Solo dalam irama keroncong. Gemuruh orang menepuk tangan. Lagu ciptaan Pak Gesang itu menjadi sangat menarik. Cara dia menyanyi nampak mudah macam makan kacang sahaja.
“Abang, nak minta lagu boleh?” kata saya apabila dia mula memegang gitarnya semula selepas berehat seketika. Dia membuat aksi yang menunjukkan dia takut menyanyikan lagu pilihan saya.
“Lagu apo? Jangan yang susah-susah nanti hancur berd0rai lagu yang sodap-sodap.” Mat Ripin asal Rembau (disebut Rombau) dan pekat loghat Negeri Sembilannya.
“Lagu Wind of Change bang.”
“Alamak. Itu lagu Scorpions. Pasai apo tak minta Still Loving You? Scorpions jugo.”
“Wind of Change tengah meletup di Amerika, bang.”
“Cirit den nanti. Tak apolah, boleh cuba. Tak sangka engko ni peminat Scorpions. Tapi pakai tak rock pun.”
“Rock ada di sini bang,” kata saya sambil menunjuk ke dada. Kami ketawa. Kemudian dia mencari key lagu Wind of Change. Selepas dapat key Mat Ripin buat intro (muzik permulaan) dengan gitar dan memang betul-betul jadi.
Terkedu saya seketika dia menyanyi sambil bermain gitar. Apabila sampai korus lagi bersemangat Mat Ripin menarik suaranya. Saya seperti tidak perasan yang sedang menyanyi lagu itu busker berasal Rembau.
Sebenarnya kalau dia menolak pun tidak menghairankan kerana lagu itu terlalu baru, walaupun popular. Bukan mudah penyanyi Melayu hendak menyanyi lagu Inggeris dengan lenggok sebutan yang tepat. Saya lihat Mat Ripin ada kebolehan luar biasa dalam bab itu.
Bukan saya sahaja yang terpaku, malah yang lalu lalang pun ada yang berhenti seketika hingga lagu itu tamat. Lagu ciptaan Klause Meine anggota Scorpions itu memang berhantu.
Komposisi muzik Wind of Change memikat, walaupun rock tetapi ada sisi yang lembut dan menusuk ke dasar jiwa. Liriknya kuat – ilham daripada peristiwa runtuhnya Tembok Berlin tahun 1989. Ini sejarah besar dunia apabila ekoran itu runtuh pula negara-negara blok komunis di Eropah Timur.
Tembok Berlin dan Eropah timur itu sangat menarik perhatian saya. Mungkin disebabkan sejak sekolah menengah saya mengikuti perkembangan Perang Dingin antara Amerika Syarikat dan Kesatuan Soviet. Antara Presiden Ronald Reagan dengan Presiden Mikhail Gorbachev.
Latar belakang lagu Wind of Change sangat menarik. Diciptakan khusus tanda reaksi seniman dari Jerman terhadap runtuhnya Tembok Berlin pada September 1989. Tembok yang dibina pada 1961 hingga 1989 membelah Jerman Barat dan Jerman Timur. Jerman terbelah dua.
Wind of Change menjadi satu-satunya lagu yang menyingkap dan merakamkan satu sejarah penting dunia pasca Perang Dingin. Lagu ini membuktikan wujud seniman yang peka dengan persekitaran sosiopolitik. Masa yang sama meraikan pertautan kembali satu bangsa dan satu negara yang terpisah oleh perbezaan ideologi.
Pada 31 Disember 1991 Kesatuan Soviet pula berkecai. Negara-negara yang berada bawah naungan Kesatuan Soviet diberi kemerdekaan antaranya Armenia, Azerbaijan, Belarus, Estonia, Georgia, Kazakhstan, Kyrgyzstan, Latvia, Lithuania, Moldova, Rusia, Tajikistan, Turkmenistan, Ukraine dan Uzbekistan.
Ketika minum di warung teh tarik tidak jauh dari tempat dia menyanyi, Mat Ripin bertanya, kenapa saya berminat dengan Wind of Change?
“Still Loving You lebih romantik,” kata Mat Ripin.
Saya memberitahu lagu itu merakamkan sejarah besar dunia apabila negara-negara blok komunis runtuh secara serentak. Malah komunisme menjadi ideologi yang muflis. Lagu itu tentang keamanan dan meraikan kesejahteraan hidup. Lagu itu akan sentiasa mengingatkan saya pada sejarah besar dunia.
Hingga hari ini apabila mendengar pagu Wind of Change saya segera teringat Mat Ripin yang sudah lama terputus hubungan, Tembok Berlin dan Jalan Masjid India. Malah rangkap akhirnya seperti terdengar-dengar:
“Take me to the magic of the moment
On a glory night
Where the children of tomorrow dream away
In the wind of change.”
(Petikan kolum Catatan Kota Batu di Wilayahku 12 Nov 2021)