Draf resolusi Pertemuan Penyair Nusantara XII pada 13 – 15 Oktober 2023 di Hotel Grand Campbell, Kuala Lumpur. Pertemuan Penyair Nusantara XII bertemakan “Cinta, Luka, Damai” telah berlangsung di Kuala Lumpur selama tiga hari, bermula pada tarikh 13-15 Oktober 2023.
Pertemuan ini dianjurkan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA), Dewan Bahasa dan Pustaka, dan Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA) dengan kerjasama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Majlis Perbandaran Petaling Jaya, SHAPADU Group, serta sokongan daripada pelbagai pihak.
Seramai 247 peserta daripada lima buah negara telah menyertai PPN, iaitu dari Brunei Darussalam, Indonesia, Singapura, Thailand dan negara tuan rumah Malaysia.
Menyedari bahawa genre puisi telah berkembang luas dan merakyat dalam ranah kesusasteraan seluruh masyarakat di gugusan Nusantara dan menyedari bahawa puisi menjadi wahana ekspresi estetika, pemikiran, sikap, pandangan dan suara hati pengarang, PPN XII mengesyorkan perkara yang berikut:
- Meneruskan acara PPN dengan memilih Jakarta sebagai tuan rumah pada 2025;
- Pada setiap acara PPN sekurang-kurangnya diterbitkan sebuah antologi puisi khusus PPN oleh tuan rumah;
- Menghormati hak kemerdekaan dan pemilikan warga Rempang, Palestine, dan di mana-mana sahaja demi kemanusiaan sejagat. Penyertaan perlu dibuka kepada penulis dengan jumlah yang munasabah mengikut kemampuan tuan rumah;
- Para panitia PPN setiap negara perlu meraih sokongan dan dukungan daripada pihak pemerintah dan entiti korporat di negara masing-masing untuk mendanai kegiatan PPN;
- Bagi memperluas penyebaran karya, teknologi digital perlu dimanfaatkan secara silang budaya dan negara;
- Panitia PPN perlu menyediakan laman maya yang komunikatif secara khusus dan aktif bagi menggerakkan suasana pengkaryaan yang lebih kondusif, mencerdaskan pemikiran dan kreativiti;
- Merancang penyediaan dana pengiktirafan kepada karya dan penulis, di peringkat Nusantara;
- Merancang usaha mewacanakan karya penulis secara lintas negara. – KAYANG POST