Oleh Ku Seman Ku Hussain
SEJARAH pembunuhan beramai-beramai terbesar selepas melintas garis masa alaf baharu dimulai dengan serangan tentera zionis Israel terhadap orang awam di semenanjung Gaza Oktober lalu. Itu adalah serangan yang bertujuan membunuh orang awam secara beramai-ramai .
Ini membuktikan keadaan yang berlaku di Palestin bukan perang, tetapi sengaja membunuh orang awam. Buktinya sasaran dihalakan ke kawasan awam kediaman yang padat, sekolah dan hospital. Apakah tersasar atau sengaja menyasarkan orang awam?
Seperti yang berlaku di beberapa negara lain, kali ini melibatkan Amerika Syarikat (AS) dan selalunya mereka mengelak supaya tidak kelihatan bersekongkol dengan pembunuhan itu. Akan tetapi kali ini secara terang mereka mengambil peranan melakukan pembunuhan beramai-ramai.
Tanpa selindung AS menghantar bantuan ketenteraan dengan alasan untuk memerangi ‘pengganas’ Hamas. Bagaimanapun tujuannya seperti yang beberapa kali ditegaskan oleh Perdana Menteri Israel, Benjamin Netayahu adalah untuk ‘memadamkan’ Palestin dari peta dunia.
Setakat ini lebih 8,000 nyawa orang awam terkorban termasuk lebih 3,000 terdiri daripada kanak-kanak. Kalau bukan pembunuhan beramai-ramai, istilah apakah yang lebih tepat untuk menceritakan keadaan sedemikian? Biarpun AS dan zionis Israel cuba bertenggek atas alasan memerangi pengganas, tetapi yang terkorban adalah orang awam.
Pembunuhan orang awam terus berlaku hingga kini dan seperti biasa badan dunia, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menerusi Majlis Keselamatan hilang perananya dengan tiba-tiba. Sebenarnya bukan rahsia lagi bahawa PBB dikawal oleh AS dan Majlis Keselamatan hanya berperanan melindungi proksi AS.
Sejak hari pertama pembunuhan beramai-ramai di Gaza Oktober lalu, Presiden AS, Joe Biden dengan pantas memusing fakta untuk mewajarkan tindakan tentera zionis terhadap orang awam. Biden berulang kali menegaskan tentera zionis hanya ‘mempertahankan diri’ daripada serangan pejuang ‘pengganas’ Hamas.
Fakta itu juga ikut disebarluaskan oleh hampir semua organisasi media kawalan Yahudi di AS. Semuanya selari dan sekata – tentera zionis Israel mempertahankan diri dari serangan pengganas Hamas. Hal itu mewajarkan AS menghantar bantuan ketenteraan ke Gaza untuk ‘menyelamatkan’ tentera zionis daripada ‘dianiaya.’
Sekalipun begitu sedikit pun tidak diucapkan tentang strategi sebenar yang sudah lama dirancang dan sangat teliti untuk memadamkan Palestin khususnya Gaza dari peta dunia. Perancangan yang diterajui oleh AS itu sangat lama dan pembunuhan beramai-ramai pertama pada alaf baharu itu diyakini memberi kejayaan.
Bagaimanapun sehingga kini matlamat untuk ‘memadamkan’ Gaza masih jauh, dan hakikat yang berlaku di luar jangkaan sama sekali.
Wartawan Kanada, Andrew Mitrovica menyimpulkan konflik di Gaza bukanlah peperangan atau serangan, akan tetapi satu pembunuhan beramai-ramai. Ini selari dengan arahan Netayahu, “Seleaikan Gaza dengan menghapuskan Gaza.”
Bagaimanapun pembunuhan beramai-ramai itu berdepan realiti tidak tidak pernah difikirkan – tentangan yang luar biasa daripada pejuamg Hamas. Joe Biden dan Netayahu ternyata salah hitung. Kedua-duanya tidak terfikir akan kebangkitan dan penentangan. Maka perkara itu yang tidak pernah diusulkan mesyuarat sulit AS dan Israel ke atas Gaza.
Kerja memadam Gaza dari peta dunia sudah terkeluar dari garis masa sewajarnya – mengambil masa begitu lama kerana memandang rendah kepada lawan yang pada sangkaan mereka adalah sangat kecil.
Semangat biar mati berdiri daripada menyerah diri menjadikan Gaza tidak mudah dibolosi oleh mesin pembunuh AS. Masa yang sama AS yang menjadi pembekal senjata utama kepada Israel mencetuskan konflik geopolitik apabila musuh AS seperti Rusia dan China menyatakan sokongan kapada Palestin.
Pejuang Hamas tentunya tidak mudah selesa dengan sokongan Rusia dan China. Bagaimanapun sokongan kedua-dua musuh AS itu menjadikan program memadamkan peta Gaza sudah tersasar jauh daripada perancangan asal. Bayangkan sekiranya Rusia memberi bantuan ketenteraan kepada Palestin, perang yang berlaku antara AS dan Rusia.
Joe Biden mahu menjadikan agenda penghapusan Palestin sebagai satu rekod tugasnya sebagai Presiden AS. Bagaimanapun yang berlaku adalah sebaliknya. Reputasi Joe Biden sebelum ini menjunam apabila sanggup membayar tebusan yang banyak kepada Iran untuk membebaskan warganya, tetapi dibalas Iran dengan menyatakan sokongan kepada Palestin.
Tragedi terbaru di Palestin menambahkan senarai penglibatan AS dalam beberapa siri pembunuhan beramai-ramai sejak Perang Dunia Kedua. Bagaimanapun sejak dulu juga AS sangat licik – tangannya yang jahat sentiasa bersih dan tidak ada kesan darah.
Sekalipun sudah berjuta-juta nyawa orang awam menjadi korban, AS tidak pernah terkait apa lagi didakwa atas jenayah perang yang dilakukan. Badan dunia seperti PBB menjadi boneka melindungi kepentngan AS. Maka tidak ada satu pun pembunuhan beramai-ramai terkait dengan AS. Malah menjadikan AS semakin galak menyalak tentang hak asasi manusia.
Sejak Perang Dunia Kedua hingga yang terbaru ini, AS dianggarkan telah membunuh tidak kurang 40 juta orang awam. Semua itu berlaku dalam perang yang didanai atau didalangi oleh kuasa terlindung AS. Beberapa terma seperti mempromosi demokrasi, melawan pengganas dan menegakkan hak asasi menjadi pelindung daripada dilihat sebagai dalang pembunuhan beramai-ramai.
Berikut adalah beberapa pembunuhan beramai-ramai yang mengorbankan nyawa oang awam yang tidak berdosa. Semuanya melibatkan tangan ghaib AS, tetapi yang terpapar adalah proksi dan mereka yang sanggup dipergunakan untuk tujuan tertentu.
- Di Jerman semasa Perang Dunia Kedua; AS telah mengebom beberapa bandar yang padat penduduk seperti Dresden, Nuremberg, Hamburg dan Colone yang mengakibatkan 600 ribu orang awam terbunuh.
- Di Jepun, juga semasa Perang Dunia Kedua; pihak Bersekutu yang melibatkan AS buat pertama kali menggunakan bom atom dan digugurkan di dua bandar raya – Hiroshima dan Nagasaki. Perangkaan rasmi menyatakan korbannya lebih 400,000 orang. Tetapi angka sebenar dipercayai jauh lebih besar. Tambahan pula kesan radiasi yang membunuh secara perlahan-lahan menjadikan berjuta orang awam terkorban di dua bandar raya itu..
- Dalam perang Korea yang melibatkan AS pada tahun 1951- hingga 1953 telah membunuh lebih tiga juta orang awam.
- Dalam perang di Vietnam, Kemboja dan Laos yang didalangi AS pada 1962 hingga 1975 telah membunuh 4.3 juta orang awam. Sementara itu kesan penderitaan yang membawa kematian dan kecacatan kekal oleh senjata kimia orange agent terutama di Vietnam berterusan hingga lebih 30 tahun selepas itu.
- Dalam perang di Iraq yang dilakukan oleh AS pada tahun 2003 dengan agenda ‘melawan pengganas’ telah membunuh 4.3 juta orang awam. Dakwaan bahawa Iraq mempunyai senjata nuklear tidak pernah dibuktikan hingga kini sekalipun Presiden Saddam Hussein terlebih dulu dihukum mati oleh AS. Selain itu berjuta orang awam mati dan menderita akibat keruntuhan ekonomi.
- Perang di Pakistan tahun 1971 antara tentera Pakistan yang menjadi proksi AS dengan Pakistan Timur iaitu sebuah wilayah yang besar di negara itu. Dianggarkan tiga juta orang awam menjadi korban.
- Serangan ke atas Congo, Rwanda dan Uganda oleh proksi AS yang dimulai tahun 1998 telah mengorbankan tujuh juta orang awam.
Semua yang disenaraikan di atas adalah yang menjadi korban perang yang didanai atau proksi oleh AS. Ini tidak termasuk pembunuhan secara sistematik menerusi sekatan ekonomi terhadap negera-negara tertentu yang memberikan kesan secara langsung kepada rakyat biasa. Ini juga sebenarnya satu pembunuhan beramai-ramai oleh AS.
Bagaimanapun kematian disebabkan kebuluran kerana sekatan ekonomi itu tidak diistilahkan sebagai pembunuhan beramai-ramai. Kematian itu hanya dikaitkan dengan kebuluran, tetapi sebenarnya adalah perancangan AS yang matlamatnya sama dengan pembunuhan beramai-ramai. – KAYANG POST