
Oleh Ku Seman Ku Hussain
Setiap kali Transparency International (TI) mengumumkan Indeks Persepsi Rasuah (Corruption Perception Index – CPI) banyak pihak di negara ini melihat angka berkenaan dengan penuh debaran. Angka itu seolah-olah menjadi cermin tahap integriti sebuah negara.
Kali ini kedudukan Malaysia dilaporkan naik dari tangga 57 pada 54. Daripada satu sudut peningkatan itu kelihatan seperti ada kemajuan dalam usaha membanteras rasuah di negara ini. Seolah-olah memberi gambaran usaha memerangi rasuah berada pada landasan yang betul.
Adakah realitinya juga menunjukkan penurunan kes rasuah di negara ini? Jawapannya, tidak. Tidak ada kena mengena tinggi atau rendah rasuah di negara ini. CPI tidak lebih persepsi global sesebuah negara dan tidak mengambilkira statistik rasuah yang sebenar.
Pertama sekali perlu memahami bahawa CPI bukan indeks mengukur rasuah, tetapi persepsi terhadap rasuah. Perkataan ‘persepsi’ itu menunjukkan bahawa ukuran bergantung pada persepsi pelbagai pihak seperti laporan media, ahli perniagaan, penganalisis risiko dan institusi penyelidikan antarabangsa.

Satu perkara lagi yang perlu difahami persepsi adalah sesuatu yang mudah berubah. Antaranya disebabkan pengaruh retorik politik, imej yang dibina oleh kerajaan dan kempen komunikasi atau naratif media antarabangsa. Sebab itulah ada negara yang membayar kepada media antarabangsa untuk menaikkan imej di peringkat global.
Bukan suatu yang luar biasa juga pemimpin yang terlalu banyak bercakap tentang rasuah zaman sebelumnya, membina imej pentadbirannya memerangi rasuah. Realitinya rasuah bukan sahaja tidak berubah tetapi berkembang dalam bentuk yang lebih kompleks. Semua itu adalah imej.
CPI sering digunakan sebagai alat penjenamaan politik arus utama. Peningkatan kecil dalam ranking diangkat terlalu tinggi sebagai bukti kejayaan memerangi rasuah. Padahal perubahan beberapa tangga dalam ranking global kadangkala disebabkan kemerosotan persepsi negara lain atau kerana perubahan metodologi.
Bagaimanapun untuk membina naratif kejayaan perubahan yang kecil itu diberi makna yang jauh lebih besar. Malah dinaratifkan sebagai bukti kejayaan kerajaan memerangi rasuah. Dalam keadaan seperti itulah kita perlu berhati-hati terhadap ‘inflasi makna’ dalam permainan angka.
Sesuatu yang kecil boleh kelihatan besar apabila dibalut retorik politik. Masa yang sama juga muncul banyak ‘penganalisis politik’ yang membina naratif besar supaya kelihatan signifikan dengan peningkatan dalam CPI. Maka berhati-hati terhadap analisis yang melangkaui makna yang sebenar.
Sebenarnya kenaikan dari tangga 57 ke 54 tidak menunjukkan Malaysia menjadi lebih baik. Sebaliknya sekadar menunjukkan dalam kedudukan global, persepsi terhadap Malaysia sedikit berubah. Agensi penguatkuasa membanteras rasuah tidak perlu berasa terlampau bangga CPI ini.
Sebenarnya CPI lebih pada memberikan gambaran psikologi global terhadap integriti sesebuah negara. Tetapi bukan gambaran sebenar tentang rasuah yang banyak berlaku secara sistemik dalam kehidupan politik, pentadbiran dan ekonomi. Hal itu tidak diambil kira atau mempengaruhi ranking CPI.
Di sinilah kelemahan CPI yang paling asas. Ruang litup kriteria yang menjadi sandarannya sangat kecil – hanya menumpukan persepsi rasuah dalam sektor awam. Tidak mengambil kira rasuah di sektor swasta seperti manipulasi pasaran serta menyalahgunakan kuasa korporat.
Rasuah pada zaman moden ini berlaku dalam bentuk yang sangat kompleks – misalnya pengaruh politik dalam pemberian kontrak kerajaan, hubungan rapat ahli politik dan syarikat besar, lantikan politik dalam institusi-institusi penting dan menggunakan kuasa melindungi kepentingan pihak tertentu.
Bagaimanapun semua yang disebutkan itu tidak dimasukkan dalam penilaian CPI. Padahal rasuah yang dilakukan secara sistemik, kabur dan jarang muncul sebagai kes jenayah yang jelas itu memberikan kesan besar kepada rakyat dan negara. Misalnya lantikan politik dalam institusi kerajaan yang kini sudah dinormalisasi oleh semua kerajaan semasa.
Hal itu juga bercanggah dengan prinsip-prinsip intergriti kerana membawa kepentingan politik dalam sektor awam. Bagaimanapun sudah menjadi alah bisa tegal biasa – berduyun-duyun juak politik masuk ke sektor awam mengikut pemimpin yang baharu.
Negara terus berdepan persepsi domestik tentang penyalahgunaan kuasa. Isu-isu seperti ini sudah lama menjadi topik dalam perbahasan awam yang bukan sahaja di warung tepi jalan, bahkan di premis yang lebih mewah. Maknanya pelbagai lapisan rakyat bercakap hal yang sama.
Semua persepsi domestik itu tumbuh daripada realiti yang dilihat atau dibaca – pengurusan kes-kes rasuah tertentu yang sangat perlahan, penuh berliku, malah ada yang berakhir NFA (No Futher Action) di luar mahkamah. Rakyat tentu tidak kecewa sekiranya kes itu berakhir di mahkamah. Tetapi yang berlaku adalah sebaliknya.
Dalam banyak keadaan, masyarakat melihat undang-undang menjadi terlalu rumit dalam kes yang melibatkan tokoh-tokoh yang mempunyai jaringan dengan penguasa. Kesan psikologi daripada keadaan ini sangat besar – rakyat bukan melihat rasuah semakin berkurang, tetapi semakin banyak dan sukar untuk disentuh.
Institusi yang sepatutnya menjadi benteng utama memerangi rasuah seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diragui ruang kebebasannya. Hal itu mungkin hanya persepsi, tetapi itulah yang boleh disimpulkan hasil daripada perbahasan di ruang awam.
Kritikan yang selalu ditimbulkan adalah kemungkinan berlaku campur tangan politik secara yang sangat sistematik dalam agensi penguatkuasa. Ya, benar ini mungkin persepsi. Bagaimanapun apabila kita mengambil serius tentang persepsi yang dibawa CPI, persepsi domestik juga tidak boleh diperemehkan. Ia mesti diuruskan dengan penuh tanggungjawab dan tidak cukup mengarahkan Meta memadamkan hantaran-hantaran mengenai rasuah di media sosial.
Persepsi seperti ini merapuhkan keyakinan rakyat terhadap sistem dan undang-undang memerangi rasuah. Harus diingat, tatakelola dan tadbir urus yang baik sentiasa mengambil endah terhadap persepsi yang menjadi topik perbahasan awam.
Rakyat faham bahawa kedudukan dalam CPI itu penting terutamanya dalam menarik para pelabur. Kedudukan yang tinggi memberikan gambaran intergriti negara berada pada landasan betul. Sekalipun begitu persepsi domestik tentang rasuah juga perlu diberi perhatian khusus.
Memerangi rasuah tidak boleh bergantung kepada indeks antarabangsa. Perkara yang lebih penting adalah pembaharuan institusi secara menyeluruh, antaranya
memastikan agensi penguatkuasa bebas sepenuhnya daripada pengaruh politik.
Jangan pula meminta rakyat membuktikan, memang sukar dibuktikan kerana mungkin dilakukan secara yang sangat sistematik dan mengikut lunas undang-undang. Apa yang perlu dilakukan adalah mengambil endah terhadap persepsi yang sedemikian.
Perkara-perkara lain yang tidak kurang pentingnya adalah memperkukuh ketelusan dalam pemberian kontrak kerajaan, mempercepatkan pengurusan kes rasuah yang besar, melindungi pemberi maklumat (whistleblower) dan meningkatkan pengawasan Parlimen terhadap agensi penguatkuasa.
Langkah-langkah seperti ini sudah tentu tidak menaikkan ranking Malaysia dalam CPI. Walaupun begitu tindakan sedemikian boleh membina kembali kepercayaan rakyat yang runtuh terhadap integriti agensi penguatkuasa dan sistem perundangan.
Dalam realiti politik negara ini, rasuah tidak boleh diukur hanya melalui angka-angka. Sebaliknya perlu melihat pada iltizam menangani kes-kes rasuah terutama melibatkan individu berprofil tinggi. Agensi penguatkuasa perlu kelihatan benar-benar bertindak dengan bebas dan tanpa rasa terganggu pada kuasa politik. Rasuah tidak berubah hanya dengan retorik yang berapi-api di depan rakyat. – KAYANG POST