Nostalgia tulisan pertama

Saya (kiri) dan Allahyarham Azizan Hashim di pejabat Utusan Melayu Alor Setar tahun 1983.

Tulisan saya yang pertama disiarkan di Utusan Malaysia pada 1980. Saya memberikan satu sudut pandang yang kritikal mengenai belia. Ketika itu saya tergolong dalam belia, umur 20 tahun. Saya sangat naif tidak tahu hukum hakam menulis di akhbar, cuma berpandukan pengamatan dari pembacaan sahaja.

Dengan tidak disangka-sangka selepas lebih dua minggu menghantar secara pos kepada Utusan Melayu di Jalan Chan Sow Lin, Kuala Lumpur, tulisan itu muncul dalam Utusan Malaysia. Itu detik bersejarah dan pencapaian peribadi yang luar biasa hebatnya. Gembira tidak terkata apabila nama (byline) saya ditulis pada bahagian atas rencana.

Rutin saya hampir setiap pagi mengayuh basikal kira-kira 10 km ke pekan Simpang Empat, Perlis untuk membaca surat khabar. Di situ ada sebuah kedai runcit yang juga menjual surat khabar dan majalah. Selepas menghantar ke Utusan, setiap hari harapan saya berbunga yang tulisan itu disiarkan.

Saya tunjukkan dan baca kepada ibu dan ayah. Ayah hanya boleh menulis dan membaca jawi, ibu pula hanya boleh membaca al Quran. Mereka tidak boleh membaca apa yang saya tulis. Tetapi mereka kelihatan sangat gembira.   Macam saya juga yang rasa seolah-olah satu kampung baca tulisan itu.

Tiga bulan selepas itu saya menerima surat, envelop coklat bersaiz 4 inci X 9. Di luarnya bertulis “Utusan Melayu (M) Bhd”. Di dalamnya ada sekeping cek $20. Saya gembira bagai nak pitam. Pertama, kerana dapat bayaran. Kedua, buat pertama kali cek bertuliskan nama saya.

Tetapi timbul pula masalah kerana cek itu dikeluarkan oleh United Malayan Banking Berhad (UMBC) tidak ada cawangan di Kangar. Cawangan terdekat di Alor Setar. Terpaksa pula naik bas lebih sejam untuk ke Alor Setar dan sejam lebih untuk balik semata-mata untuk tunaikan cek $20 itu.

Pada akhir Disember 1982, Karim Ahmad, jurugambar Utusan Melayu di Alor Setar datang ke rumah. Dia memberitahu bos Utusan Melayu di Alor Setar hendak jumpa saya. Bos itu adalah Ketua Biro Utara, Mat Piah Teh Deris. Karim sudah “temberang ” kepada Mat Piah yang saya paling layak dijadikan wartawan sambilan (stringer).

Apa yang saya faham wartawan sambilan boleh pergi kerja ikut suka kerana bayaran dibuat berdasarkan berapa perenggan berita atau rencana yang disiar, bukan ditulis. Satu perenggan berita dibayar 80 sen.

Tetapi Mat Piah mewajibkan saya datang ke pejabat setiap hari kecuali hari cuti mingguan pada Sabtu. Maknanya enam hari seminggu saya terpaksa meredah perjalanan panjang selama lebih sejam dengan motor kapcai dari kampung saya di Perlis ke Alor Setar. Kalau tidak ada tugasan luar, wajib masuk ke pejabat pukul 10 pagi. Tugas di pejabat ialah menelefon polis, bomba dan bilik mayat di Hospital Sultanah Bahyah.

Mat Piah Teh Deris bekas Ketua Biro Utara Utusan Melayu di Alor Setar.

Stringer di pejabat biro seperti Alor Setar terpaksa bersaing dengan wartawan-wartawan yang sudah senior. Berita besar semua mereka sapu, lagi pun Mat Piah takkan mahu ambil risiko memberi tugas kepada stringer untuk buat liputan besar seperti ucapan Menteri Besar atau Menteri yang datang ke Alor Setar. Saya hanya boleh tulis berita longkang tersumbat atau yang setaraf dengan itu sahaja.

Suatu hari saya memberanikan diri masuk ke bilik Mat Piah. Saya tanya kenapa saya kena datang setiap hari dan bukan hari saya ada tugasan? Tanpa memandang saya Mat Piah menjawab, “Kau nak jadi stringer selama-lamanya ka?”

“Taklah. Kalau boleh saya nak jadi wartawan,” jawab saya dengan suara gugup. Mat Piah masa itu berumur lebih kurang 35 tahun. Sangat garang dengan wartawan-wartawan di bawahnya. Karim sudah pesan, “Hang kena jaga angin Mat Piah ni.”

“Hah, nilah kerja wartawan. Datang ofis dan cari benda-benda yang nak ditulis. Alor Setar banyak benda boleh ditulis. Pengarang di Kuala Lumpur tu kalau setakat berita Exco atau wakil rakyat masuk kampung, depa masuk bakul sampah saja.”   Begitulah penegasan Mat Piah.

Mat Piah adalah guru kewartawanan pertama saya. Dia mengajar saya apa itu berita, cara menulis berita dan menilai berita. Saya menjadi stringer tanpa pengalaman menulis berita. Kosong.   Saya hanya memberanikan diri selepas Karim menyakinkan Mat Piah saya boleh jadi wartawan.

Tetapi Mat Piah kerap mengajak saya pergi ke Wisma Darul Aman (Pejabat Menteri Besar Syed Nahar Sahabuddin) ikut tengok wartawan membuat liputan sidang akhbar, ajak pergi ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Setar dan dia memperkenalkan saya kepada OCPD dan pegawai-pegawai kanan polis di situ.  Dia memperkenalkan saya sebagai “wartawan.” Saya pun perasan saya seorang wartawan.

3 thoughts on “Nostalgia tulisan pertama”

  1. Ku Seman adalah antara sebilangan kecil wartawan yang menapak daripada stringer ke nama yang dihormati dalam kewartawanan.

    Menulis adalah seni kreatif, sama seperti melukis, memasak dan beberapa ranting seni lagi.

    Ada orang berijazah dalam penulisan, tetapi hanya pandai bercakap sahaja.

  2. Terima kasih berkongsi cerita. Kalau tak kerana Zam berkongsi artikel Ku Seman diblognya, saya pun tidak tahu ku seman ada blog baru.

Leave a Reply

Your email address will not be published.