Hari ini Tahun Baru Cina. Tahun anjing mengikut kalendar Cina. Anjing adalah salah satu daripada 12 jenis haiwan yang mewakili kitaran 12 tahun dalam kalendar Cina. Tetapi banyak pusat membeli belah terkemuka terutama di Kuala Lumpur tidak menggunakan imej anjing dalam hiasan pra perayaan Tahun Baru Cina tahun ini.
Difahamkan tidak ada larangan menggunakan imej anjing di premis-premis awam seperti pusat membeli belah. Sikap berhati-hati supaya tidak tercetus isu sensitif dalam kalangan Islam oleh pemilik premis terutama bukan Islam sangat dihargai.
Bagaimanapun tindakan ini juga boleh memberikan gambaran yang salah terhadap orang Islam. Malah seolah-olah Islam sangat ekstrem hinggakan imej binatang yang diharam sentuh dalam Islam tidak boleh dipaparkan. Orang Islam tidak akan tersinggung melulu, kalau ada, itu masalah individu berkenaan.
Islam hanya melarang umatnya menyentuh anjing dan babi. Imej berupa gambar atau binaan dibolehkan. Yang boleh mencetuskan kontroversi kalau premis berkenaan memperagakan binatang anjing atau babi. Atau ada segelintir pemilik haiwan berkenaan membawa haiwannya ke pusat membeli belah dan meletakkan dalam troli yang juga digunakan oleh orang Islam.
Memanglah dari satu sudut, tidak mempamerkan imej anjing sempena Tahun Baru Cina suatu sikap berhati-hati yang baik. Tetapi ini memberikan gambaran yang salah terhadap Islam. Sekiranya ada indvidu atau kelompok yang membantah paparan imej anjing, itu bukanlah ajaran Islam.
Sikap berhati-hati pemilik premis terutama pusat membeli belah barangkali mengambil iktibar beberapa isu sebelum ini misalnya acara menyentuh anjing yang dianjurkan oleh orang Islam dan disertai oleh Islam.
Acara ini mendapat kecaman pelbagai pihak kerana ia lebih kepada mencabar agama (Islam) apa lagi dianjurkan oleh orang Islam dan tidak melarang penyertaan orang Islam. Untuk apa diadakan acara menyentuh anjing kalau bukan mencabar agama Islam?
Kontroversi begini mendatangkan kebimbangan kepada pemilik pusat membeli belah kerana ini boleh menjejaskan perniagaan mereka. Sebaiknya mereka mendapatkan nasihat pihak berkuasa supaya tindakan yang dianggap baik sebenarnya memberikan tanggapan yang kurang baik kepada Islam.
Kebimbangan pemilik pusat membeli belah juga mungkin disebabkan kontroversi sebuah pengeluar biskut yang menggunakan nama “Pretzel Dog” di mana pihak birokrat agama Islam meminta diubah kepada Pretzel Sosej”. Ini satu tindakan birokrat yang kurang bijak seolah-olah menggambarkan orang Islam tersinggung tidak tentu arah.
Padahal dalam konteks yang sama istilah “Hotdog” begitu luas digunakan dan orang Islam menjadi pembeli produk ini.
Kenapa dilarang “Pretzel Dog” tetapi tidak “Hotdog”? Tentu pelik bukan? Malah sebuah kumpulan muzik tahun 1980-an, Black Dog Bone tidak pula dinasihatkan pilih nama yang tidak ada anjing dalamnya.
Salah faham tentang sensitiviti orang Islam mesti diperbetulkan dan tidak boleh dibiarkan difahami oleh bukan Islam dalam konteks yang salah. Hal yang demikian akan memberikan gambaran yang salah terhadap Islam.
Kesanggupan bukan Islam mengutamakan keharmonian amatlah dihargai. Tetapi biarlah mereka mengelak daripada melakukan perkara-perkara yang menyinggung perasaan orang Islam, bukan sekadar persepsi sahaja.
Tetapi pada masa yang sama birokrat agama mesti secara proaktif memberikan penjelasan terhadap perkara-perkara yang pada persepsinya menyinggung orang Islam, padahal sebenarnya tidak. Malah tidak menyalahi ajaran Islam.
Tidak letak gambar anjing salah. letak pun salah. Penulisan bercelaru.