Ini bukan zaman penghambaan

Oleh: Ku Amirul Faiz Ku Seman

Petikan Utusan Malaysia 19 Februari 2018

Gambar hiasan
Gambar hiasan

PERMULAAN 2018 bagi Malaysia dalam aspek nasib pekerja asing adalah mencemaskan. Beberapa hari sebelum penulisan ini digarap, negara ini dikejutkan dengan berita kematian seorang pembantu rumah akibat didera oleh majikannya sejak mula berkhidmat pada 2014. 

Konsulat Hal Ehwal Indonesia di Pulau Pinang, Neni Kuniati memaklumkan bahawa pihaknya tidak pernah menerima sebarang aduan daripada mangsa berhubung dengan penderaan yang telah dilakukan oleh majikannya.

Mangsa sebelum itu berjaya diselamatkan oleh polis selepas didakwa didera oleh majikannya di Taman Kota Permai, Bukit Mertajam. Ini bukanlah kes pertama yang melibatkan penderaan pembantu rumah sehingga menyebabkan kontroversi nasional.

Sekiranya kita mengimbau kembali sekitar 2004, terdapat kes penderaan yang melibatkan Nirmala Bonat. Nasib nya dikira lebih baik kerana berjaya diselamatkan ketika masih hidup dan majikan yang menderanya itu dijatuhi hukuman penjara.

Selain itu, dia juga menang dalam kes sivil tuntutan ganti rugi terhadap majikannya atas segala kecederaan yang dialaminya akibat kekejaman yang dilakukan.

Seorang lagi mangsa seksaan majikan yang kejam ialah Mantik Hani. Sewaktu diselamatkan oleh pihak polis pada 2009, dia telah dikurung selama dua hari dua malam, kepala dibotakkan dan seluruh badan menjadi tempat tumbukan dan tendangan majikannya.

Namun untuk kes Mantik Hani, nasibnya tidak sebaik nasib Nirmala Bonat kerana dia meninggal dunia selepas beberapa hari di hospital. Majikan yang menyebabkan kematiannya juga telah pun dijatuhi hukuman mati oleh mahkamah.

Rangkaian insiden-insiden ini mampu mencemaskan kita kerana kita seharusnya sedar, berita-berita ini hanyalah berdasarkan kes yang dilapor. Bagaimana pula bagi kes penderaan pekerja asing oleh majikan yang tidak dilaporkan?

Kegagalan untuk melaporkan mungkin kerana mangsa dera masih bertahan demi duit untuk dihantar ke kampung halaman atau mungkin kerana ketiadaan ruang dan peluang untuk penderaan itu dilaporkan.

Inilah antara yang dirunsingkan oleh Mantik Hani untuk terus bertahan bagi menghantar duit kepada keluarganya di kampung yang sangat memerlukan bantuan kewangan. Dalam isu ini, perbincangan yang besar dan kritikal adalah bagaimana kita ingin melahirkan persekitaran kerja yang lebih kondusif kepada pekerja-pekerja ini?

Sekiranya penderaan berbentuk fizikal maka undang-undang yang ada seperti Kanun Keseksaan (Akta 574) tersedia untuk membawa pelaku ke pengadilan. Misalnya, bagi kesalahan mendatangkan kecederaan peruntukan Seksyen 319 hingga Seksyen 338 Akta 574 adalah terpakai.

Bagi kesalahan yang melibatkan kehilangan nyawa pula peruntukan Seksyen 299 sehingga Seksyen 307 haruslah diguna pakai untuk menegakkan keadilan. Walau bagaimanapun, penulis percaya menyebut peruntukan undang-undang semata-mata mungkin tidak dapat menyelesaikan masalah.

Untuk menyediakan solusi yang mencukupi, kerajaan harus bersinergi dengan agensi-agensi, pertubuhan bukan kerajaan, pihak berkuasa serta ejen pekerjaan untuk memastikan persekitaran kerja selamat dapat disediakan. Insiden seperti ini mungkin boleh dibendung sekiranya pihak berkuasa mendapat tahu lebih awal untuk diambil tindakan.

Penulisan ini tidak ditujukan khusus bagi pembantu rumah semata-mata tetapi meliputi nasib pekerja asing dalam sektor yang pelbagai. Pekerja asing tidak wajar sama sekali dinafikan hak-hak asas seperti hak untuk bercuti, berehat, bersolat, dan kehormatan.

Dalam sektor perkhidmatan misalnya, terdapat majikan yang mengerah pekerja asing untuk bekerja melebihi tempoh yang munasabah tanpa bayaran setimpal. Sebetulnya, hak-hak ini bukanlah sesuatu yang asing memandangkan ada Akta Kerja 1955 (Akta 265) yang boleh dijadikan sebagai sandaran.

Jika pun tiada sebarang peruntukan undang-undang, pekerja asing masih mempunyai hak yang sama dengan hak asas yang dikecapi oleh pekerja-pekerja lain. Penulis percaya layanan yang adil dan tidak memeras keringat sudah memadai. Insiden kematian amah di Bukit Mertajam itu adalah satu panggilan sedar kepada masyarakat tentang isu hak-hak asas pekerja asing yang masih perlu diberikan pemerhatian.

Undang-undang dan polisi yang berkesan untuk membendung dan membina satu mekanisme yang sesuai amat­lah diperlukan. Jika tidak, dikhuatiri Malaysia akan dipandang serong dengan siri-siri penganiayaan terhadap pekerja asing di dalam wilayahnya sendiri. Pekerja kini bukanlah seperti hamba di zaman kegelapan dahulu yang tidak langsung mempunyai hak, keinginan atau suara.

PENULIS adalah pengamal undang-undang sivil dan syariah serta aktivis Concerned Lawyers for Justice, sebuah NGO gabungan dalam MACSA.

Please follow and like us:

Author / Editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *