Mengkuang Layar, Perlis 1966
Pagi ini berbeza dari pagi-pagi yang lain. Aku bangun ketika ayah sembahyang subuh. Warna alam di luar rumah masih gelap. Aku menjenguk kepala ke luar tingkap dan angin dingin menyerbu dan menampar muka. Aku berlama-lama sambil menikmati kelam dan angin pagi yang dingin tapi garang.
Di halaman, beberapa pelita dipasang ayah malam tadi masih menyala. Apinya liuk lintuk melawan angin. Tetapi pekat kelam macam menelan cahaya pelita yang tidak seberapa. Banyak juga yang padam, kalah dengan angin. Atau minyaknya kering. Aku tidak tahu.
Aku membungkus diri dengan pelikat. Mak dan kakak-kakak sibuk di dapur. Aku masih lagi di tingkap terbuka yang membawa cahaya pelita dari dalam rumah ke luar. Biasanya seawal ini suasana hanya sepi dan sunyi. Pagi ini sangat berbeza. Aku sangat teruja menunggu hari ini.
Ketupat daun palas penuh dalam bakul mengkuang di sudut kanan rumah. Gulai daging untuk cecah ketupat juga susah masak, dibiarkan di tungku berbara di atas dapur. Baulu, kuih beras dan kuih bangkit di bawah tudung saji daun nipah. Inilah juadah tradisi keluargaku menyambut hari raya, malah semua orang kampung.
Gelap di luar mengisut pergi tanpa sedar. Alam sudah samar-samar dan ayam itik riuh di reban minta dilepaskan. Bunga melor di halaman juga sudah boleh dilihat dari tingkap berbingkai buluh tempat aku berteleku. Pagi ini aku terlewat memetik bunga melor untuk diberikan kepada mak atau aku terus selitkan di sanggulnya. Pagi ini pagi raya, semuanya jadi berbeza.
Suara takbir dari masjid yang jauhnya tiga batu di sana bergema sejak tadi. Sayup-sayup kalimat syahdu itu dibawa angin dan singgah kepadaku. Syahdunya pagi ini dengan gema takbir sukar untuk diungkap, saban tahun saat-saat begini sangat menggembirakan. Kenapa? Entah. Aku tidak tahu.
Kalau hendak dikatakan bergaya baju baru, budak-budak kampung jarang berbaju baru di hari raya. Malam tadi mak menggosok baju Melayuku dengan seterika tembaga berbara merah dan berasap macam kepala keretapi. Baju itu pun dah dua tiga kali raya usianya. Masih elok, kata mak.
Pagi ini aku tidak sabar hendak bergaya dengan selipar baru, warna merah terang. Selipar raya? Memang selipar raya. Dua hari lepas ayah membawaku ke kedai Cina Pendek di pekan Simpang Empat.
Ayah suruh pilih selipar yang berkenan. Aku mencapai yang berwarna merah terang. Tiada pilihan lain. Ini yang paling berkenan di hati. Aku sangat gembira dan semasa atas dukungan ayah, selipar itu kupegang erat-erat.
Lepas membeli selipar, ayah bawa aku ke kedai gunting rambut tidak jauh dari situ. Banyak kanak-kanak sebaya aku menunggu giliran. Setiap kali hari raya, ayah akan membawa aku ke kedai gunting rambut. Kata ayah, hari raya mesti disambut dengan kemas, rambut pendek. Semua budak-budak sebaya aku di kampung akan beraya dengan “kepala baru” kepala yang baru digunting rambutnya.
Kalau tidak ke kedai gunting rambut, ayah sendiri mengunting kerana kata mak ayah pernah menjadi tukang gunting sebelum aku dilahirkan. Peralatan menggunting masih tersimpan rapi; sebilah gunting, mesin, pisau cukur, batu asah pisau cukur dan sebotol kecil minyak untuk gunting dan mesin.
Pagi ini sangat dingin. Air di perigi juga dingin. Aku menggigil tatkala mak menjirus air dari timba zink. Tapi kerana terujanya beraya aku tahankan juga dingin yang mencucuk tulang itu. Mak mencempung aku naik ke rumah dan memberikan sepasang baju Melayu. Aku menjeling ke arah selipar merah yang masih belum menjijak bumi itu. Sudah tentu raya tahun ini bertambah seronok kerana ada selipar merah.
Selepas mandi dan pakaian baju Melayu sebelum pergi sembahyang raya di masjid, mak menghidangkan ketupat daun palas dengan gulai daging. Ini kegemaranku tapi ayah jarang beli selain hari raya. Kata mak, daging mahal dan ayah tidak cukup duit untuk membelinya. Mahal? Aku pun tak tau apa itu mahal.
Ayah sudah bersiap berbaju Melayu dan berkain pelikat. Itu baju raya ayah sejak beberapa tahun lalu. Ayah ambil songkok dalam kotak dan menyapunya dengan berus. Ayah tak pakai songkok yang selalu dipakai masa sembahyang di rumah. Ayah kata, kain baldu pada songkok kena jaga, mudah melekat habuk. Aku mengangguk saja.
Aku bersalam dengan mak dan ayah di depan pintu. Mak memeluk dan mengucup dahiku beberapa kali. Kemudian mak beri duit dua kupang. Mak yang cakap duit itu dua kupang, aku tak tahu pun. Kata mak, nanti raya tahun depan dia nak beli baju Melayu baru. Aku angguk. Tidak kesah pun baju raya. Tahun ini hanya selipar baru. Aku tersengeh saja. Mak nampak macam sedih dengan baju Melayu aku. Aku rasa biasa saja.
Aku mencapai selipar dan sampai di tanah aku pakai selipar merah yang baru. Gembira tidak terkata. Asyik tunduk melihat selipar saja. Ayah mengangkat aku dan diletakkan di atas pelantar basikal. Mak melambai-lambai dari tingkap.
Pagi itu aku dan ayah meredah dingin pagi yang berkabus di atas permatang. Terasa sangat nyaman bila angin dingin merembes muka. Sampai di tengah sawah, kelihatan rumah aku telah hilang ditelan kabus. Tidak kelihatan rumah-rumah di sekeliling dan seolah-olah kami berdua dipagar kabus yang memutih. Cuma kelihatan bebola kuning mentari pagi yang samar di garis lintang kaki langit.
Aku dengar ayah berkata sesuatu tapi ak tidak faham pun. Banyak yang ayah cakap kadangkala ditelan angin. Aku mengangguk-angguk walaupun ayah tidak nampak pun yang aku mengangguk. Hari ini hari raya dan hari yang paling gembira kanak-kanak seperti aku. Hari ini aku akan dapat duit raya walaupun aku belum kenal duit. Aku nak beli air kepal, ais leminit dan aiskrim kacang merah. Aku tak dengar lagi apa yang dikatakan ayah sambil mengayuh basikal di permatang itu.
Masa terjungkir ke depan. Ayah sudah kembali menemui Ilahi tahun 1992 dan mak mengikutnya pada 2008. Walaupun kasih sudah dibatasi bumi, syahdu wajah ayah dan dingin kucup mak di dahi masih dan tetap terasa. Kedua-duanya selalu bertandang dalam mimpi, dalam ingatan dan dalam kenangan. Ayah wariskan sabarnya, mak wariskan tegas tindak dan kata. Itulah harta yang sentiasa bercahaya mengiringi hidupku yang penuh duga.
betapa mahalnya pengalaman sebegini pak Ku..cuma kita yg melaluinya sahaja akan merasai mahal harga pengalaman itu.. bagai visual tertayang di mata saat membacanya
Bulu roma menegak,
Air mata bercucuran….
Syurga pembaca ditelapak coretan hatimu, Pak ku
Terima kasih. Sekadar catatan pengalaman zaman kanak-kanak yang belum bijak membaca derita dan duka.
hanya mereka yang pernah mengharungi liku-liku ini sahaja yang memahaminya….
membacanya menjadi suatu kembara ke masa lalu yang sarat dengan warna-warni kehidupan zaman aku masih kanak-kanak… terima kasih Ku Seman bawa aku jalan-jalan ke zaman kecilku.
membacanya menjadi suatu kembara ke masa lalu yang sarat dengan warna-warni kehidupan zaman aku kanak-kanak… terima kasih Ku Seman.
Hanya mereka yang berbakat besar Dan mahir menulis mampu menyusun kata-kata indah seperti ini.
Bagaimanapun dapat menikmati kalimat-kalimat berseni seperti ini merupakan satu nikmat Dan anugerah Illahi yang wajar disyukuri.
Teruskanlah nostalgia indah ini dalam penulisan akan datang…(Shahimi Hamid)
Terima kasih tuan