Bersama teman-teman pada malam terakhir saya di Utusan.
Lukisan akrilik atas kanvas, Malam karya Rozais.

Oleh: Ku Seman Ku Hussain

Hari itu Sabtu 26 Mac 2016. Tetapi hari itu berbeza dari sebelum ini. Saya berlama-lama mengadap dinding kaca tingkat empat. Berlawan dengan garang warna perang hampir senja. Ruang amat sunyi. Hanya beberapa orang sahaja yang ada. Dua artis grafik dan Pengarang Rencana Mingguan Malaysia, Hafizahril.

Saya berjalan perlahan, berlegar-legar sambil merakamkan sebanyak mungkin kenangan di hentian terakhir sebelum memulakan perjalanan baru di luar sana. Sekaligus itu adalah senja terakhir saya di Utusan Melayu. Dan malam itu jugalah malam terakhir saya menjalankan tugas sebagai ketua operasi Mingguan Malaysia keluaran esoknya.

Tatkala jarum jam menyeberang sempadan malam itu, berakhirlah 32 tahun empat bulan saya di rumah pusaka bangsa itu. Garis masa yang bermula pada 2 Januari 1984 itu terhenti pada tanggal 31 Mac 2016.

Petang itu saya sempat mempengerusikan mesyuarat editorial buat kali terakhir menggantikan Ketua Pengarang Kumpulan pada waktu itu, Datuk Aziz Ishak. Saya mengambil kesempatan itu untuk memerhati wajah seorang demi seorang teman yang pernah bekerja dengan saya. Begitu juga sebaik sahaja selesai mesyuarat terakhir kali buat saya itu, saya tidak melepaskan peluang merakamkan dalam minda setiap ruang yang ada di pejabat editorial.

Catatan Awang Selamat dalam Mingguan Malaysia 3 April 2016.
Di bilik saya

Umpama Google Street merakamkan semampu boleh untuk dikenang selamanya. Dari hujung sebelah timur hingga hujung sebelah barat. Dari Unit Media Baharu hingga ke Mingguan Malaysia. Entahkan bila saya dapat menjejakkan kaki ke situ lagi. Selepas itu barulah saya kembali menyambung catatan terakhir saya untuk siaran Mingguan Malaysia 27 Mac 2016. Tulisan itu berkisah seputar desas-desus perletakan jawatan saya yang menjadi tular di portal berita dan media sosial.

Sebak terpendam dalam diam. Sangat seksa sebenarnya untuk mendepani detik-detik akhir bersama teman-teman. Ramai dari mereka sebenarnya tidak perasan hari tersebut adalah terakhir bagi saya. Maklumlah, saya hanyalah satu entiti dari jumlah pekerja yang relatif ramai di organisasi yang mempunyai 1,200 kakitangan.

Terdapat beberapa orang pereka grafik di unit Mingguan Malaysia yang masih bertugas sewaktu malam beranjak ke jam 1.00 pagi. Walaupun saya tahu kerja mereka sudah selesai, namun mereka belum pulang. Mungkin bersantai seketika sebelum memandu pulang. Kebetulan hari itu pula, penolong saya Azman Anuar (Penolong Pengarang Mingguan Malaysia) mengambil cuti kerana urusan peribadi. Hafizahril pula sedang khusyuk di depan komputer, menonton Youtube barangkali.

Isteri saya yang turut hadir malam itu membawa rakan-rakannya bersama untuk sama-sama merakam detik yang sangat penting dalam perjalanan saya, dan juga dia. Pangkal pagi itu, rakan se alma maternya seperti Ben dan isterinya Hayati berserta anak mereka Aisyah dan Que, serta sahabatnya Wan Rokiah sibuk mengemas bilik saya di tingkat lima.

Masing-masing berganding bahu memindahkan berkotak-kotak buku-buku serta fail ke tempat letak kereta. Aisyah pula bertugas merakam segala pergerakan kami, tidak mahu terlepas sebarang detik indah dan pahit pada malam terakhir kami di sana, khususnya saya.

Kesempatan itu digunakan sebaik mungkin, bukan semua orang boleh berada di pejabat editorial yang dikelaskan sebagai kawasan kritikal untuk bukan staf. Tidak hairanlah mereka kelihatan sangat teruja berada di pejabat editorial akhbar. Apatah lagi reka bentuk dalaman dan kemasan pejabat baharu ini jauh lebih moden dan kemas berbanding bangunan lama Utusan.

Bilik itu sebenarnya jarang digunakan kecuali untuk membaca dan berehat. Saya lebih banyak berada di meja operasi di tingkat empat bersama-sama sidang editorial Mingguan Malaysia. Bilik itu menjadi tempat persinggahan isteri saya pada setiap malam Sabtu sementara menunggu saya menyelesaikan tugas; paling awal pukul 1.30 pagi setiap minggu.

Rutin saya setiap Sabtu, mengambil dia dari tempat kerja pukul enam petang dan dia “menumpang” di bilik saya hingga dinihari sebelum balik ke rumah di Putrajaya. Dia membaca, menulis dan adakalanya terlelap keletihan di atas lantai beralaskan tikar plastik. Begitulah rutin dia saban minggu. Begitu sabar dia dengan kerenah kerjaya saya. Tetapi tidak pernah sekalipun merungut kerana penat menunggu.

Advertisement

Saya berjiran dengan Penolong Ketua Pengarang, Datuk Hassan Mohd Noor di sebelah kiri dan Pengarang Khas, Zaharuddin Mohd Ali di sebelah kanan. Bertentangan dengan Penolong Ketua Pengarang, Datuk Zaini Hassan, manakala di sebelah Datuk Zaini pula ialah bilik Timbalan Ketua Pengarang, Datuk Othman Mohamad. Malam ini semua bilik kosong dan sepi kerana penghuninya tidak berkerja kecuali saya.

Dari tingkat lima ini juga saya melihat super desk berbentuk gelang di tingkat empat. Di super desk itu tempat saya bergilir dengan Pengarang Utusan Malaysia (Datuk Hassan) menjadi ketua operasi bersama-sama visualizer, ketua jurugambar dan penyunting kanan.

Di depan super desk ada dua bilik mesyuarat berbentuk songkok. Bilik sebelah kanan dilekatkan lirik lagu korporat Utusan Melayu, Suara Keramat tulisan Zainudidn Maidin (Zam). Bilik di sebelah kiri pula diletakkan puisi Duri Dan Api karya Sasterawan Negara Usman Awang. Puisi itu didedikasikan kepada wartawan dan kakitangan Utusan Melayu yang terlibat dengan mogok terbesar dalam sejarah persuratkhabaran negara ini pada 1961.

Saya masih berteleku di meja putih di bilik berkaca jernih. Membiarkan isteri dan rakan-rakan bertungkus lumus mengutip semua barang peribadi dalam setiap laci. Saya hanya memerhati sambil menjungkir balik kenangan menjadi wartawan lebih tiga dekad lalu.

Di dinding tergantung lukisan saya, “Rumah Pusaka Bangsa”, betul-betul di depan saya. Lukisan gaya ekspresionis bangunan lama Utusan Melayu pada era 1960-an. Lukisan itu adalah penghargaan saya kepada Utusan Melayu. Di tepinya sebuah lukisan Rozais, “Malam” juga gaya ekspresionis.

Utusan Melayu terlalu rapat dengan keluarga saya. Ketiga-tiga anak saya; Ku Amirul, Ku Nurul Izzah dan Ku Nurul Afiqah sangat akrab dengan pejabat lama Utusan Melayu. Itulah tempat mereka bermain, menyorok dan berkejar-kejaran di celah-celah meja di pejabat editorial apabila saya bekerja hari Sabtu atau Ahad.

Sesuatu yang sangat dihargai, Utusan Melayu tidak pernah melarang staf membawa anak sekali-sekala ke pejabat sekiranya keadaan memaksa. Hal ini sesuatu yang positif sebenarnya kerana dengan kelonggaran itulah anak-anak saya faham akan kerja saya yang tidak menentu masa.

Mereka menyaksikan sendiri bagaimana saya bekerja, dan kerana itu jugalah mereka juga dapat menyelami kehidupan saya sebagai wartawan. Kerana itu jugalah tumbuh rasa memiliki mereka pada organisasi tempat saya cari mencari rezeki untuk membesarkan mereka.

Saya menghayati perjuangan Utusan Melayu sejak penubuhan, pramerdeka, pascamerdeka hingga alaf baharu. Utusan Melayu juga menjadi universiti dan sekolah kewartawanan kepada saya yang tidak pernah mendapat didikan akademik di mana-mana universiti. Utusan Melayu adalah universiti saya.

Sedih meninggalkan Utusan Melayu kerana akan berjauhan dengan teman-teman. Bukan sedih dan kesal mengambil keputusan berhenti. Saya nekad berhenti tanpa melunakkan matlamat dengan memohon bersara awal. Bagi saya kedua-duanya berbeza. Kerana itulah saya memilih berhenti.

Saya tidak dipengaruhi sesiapa mahupun mempengaruhi sesiapa pun untuk mengikut jalan yang saya pilih. Bagi saya, setiap manusia ada matlamat hidupnya. Masing-masing mempunyai sebab tersendiri dalam membuat sesuatu keputusan. Saya bukanlah kaya tatkala membuat keputusan yang berat itu, tetapi kerana prinsip saya nekad tidak berpaling lagi walaupun ramai rakan yang memujuk supaya menerima tawaran jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif anak syarikat Utusan.

Saya mahu hidup merdeka dan bebas dalam menyuarakan pendapat dan buah fikiran saya tanpa dikongkong kuasa dan pangkat. Bagi saya itulah kebebasan sebenar bagi seorang wartawan sejati, sekiranya saya tidak mahu hanya makan gaji dan makan hati.

Hayatilah lagu Bertemu Dan Berpisah

Kepada teman-teman yang akan meninggalkan Utusan Melayu hari ini (30 November), saya mengucapkan selamat berjaya. Anda telah melakukan yang terbaik untuk Utusan Melayu, ibarat berperang hingga titisan darah terakhir. Berbanggalah dengan kecekalan ini. Tetapi apakan daya, anda terpaksa berundur untuk menyelamatkan bahtera dari terus tenggelam. Pengorbanan anda sangat besar. Saya amat mengerti perasaan anda yang berat untuk melangkah pergi. Saya percaya anda juga seperti saya yang mendoakan supaya rumah pusaka bangsa ini terus utuh dan tiang serinya tidak digergaji oleh pertualang bangsa.

Advertisement
Please follow and like us:

Author / Editor

2 thoughts on “Malam terakhir di Utusan”
  1. Setiap yang bermula akan berakhir
    Setiap pertemuan ada perpisahan
    Setiap yang hidup akan mati akhirnya
    Itulah lumrah setiap kehidupan…
    waima makhluk atau tumbuhan
    Dari zaman ke zaman..
    Hanya AllahSWT yang berkekalan.

    – Maulana Putera,KSC Gombak-KL
    301118

  2. Salam Saudara Ku Seman,

    Sebenarnya, banyak perkara yang ingin saya kongsikan kepada Saudara akan rumah keramat Utusan. Saya dilahirkan dengan akhbar Utusan Malaysia yang selalu nenda saya membelinya apabila keluar membeli sarapan pagi di Taman Setapak. Nenda saya, seorang pencen polis, tidak pernah lekang dengan akhbar Utusan, yang akan ditandatanganinya pada penjuru kanan akhbar, selepas selesai membacanya. Begitu hormat dan sayangnya nenda saya kepada akhbar Utusan hingga apabila nenda saya mengalami penyakit Alzheimer pun, dibelinya akhbar Utusan dan diletakkan di ruang tamu.
    Dahulu pun, saya jatuh cinta dengan karya dan artikel akhbar Utusan sehinggalah peristiwa pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim pada tahun 1998. Saya tanya kepada pemilik kedai berbangsa India pada waktu tengahari ‘Akhbar Utusan sudah habis?’ dan pemilik kedai India tersebut dengan sinis tanya saya kembali ‘Awak tak tahukah apa yang berlaku pada malam semalam?’ dan saya pun mengundur diri. Tapi itu dahulu. Sejak itu, saya tidak membaca akhbar Utusan kerana lebih selesa membaca New Straits Times dan The Star dari tahun 1999 hinggalah tahun 2011. Akhbar-akhbar berbahasa Melayu hanya saya baca pada hari Sabtu atau Ahad. Hinggalah tahun 2011, di mana saya membelek dan membeli akhar Sinar Harian – yang dahulu berharga RM 1 – sebelum dinaikkan kepada harga RM 1.20. Saya suka membaca karya Abang Muhamad Yakim, tulisan bernas Datuk Abdul Jalil Ali dan lain-lain lagi wacana di Sinar Harian hinggalah berita apabila Saudara mengakhiri kareer di Utusan pada Mac 2016 setelah berjasa dengan Utusan selama 32 tahun. Baharulah saya tingkatkan bacaan di akhbar Utusan dan membeli sebuah buku Saudara sebagai tanda kenang-kenangan.
    Rata-rata di Malaysia hampir semua akhbar menghadapi cabaran – dari New Straits Times kepada akhbar The Star, tetapi Utusan masih mempunyai bekas dan ruang di hati saya. Apabila saya terpandang akhbar Utusan, saya teringat dan tahu bahawa akhbar Utusan merupakan akhbar kegemeran nenda saya. Saya didewasakan pemikiran saya oleh tulisan Prof Madya Dr Abdul Hayei di ruang Soal Jawab Agamanya, Saudara Azizi Abdullah pada Mingguan Malaysia, tulisan kontroversi Astora Jabat dan pelbagai siri wawancara baik yang disiarkan di Utusan ataupun di Mingguan Malaysia. Saya berdoa dan berharap agar akhbar Utusan akan hidup ratusan tahun lagi dan biarlah anak cucu saya dan Saudara dapat menikmati hasil perahan tenaga dan minda bangsa kita sendiri. Semoga semua usaha baik yang dipelopori oleh Yusuf Ishak selaku pengasas Utusan Melayu diberi ganjaran oleh ALLAH Taala. Ameen Ya Rabbul ‘Alamien…..

    Nik
    Subang Jaya

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *