Oleh Ku Seman Ku Hussain
KUALA LUMPUR, 15 November,
Apabila seseorang diserang idea, ada kalanya idea yang masih mentah dan cair pun dihebohkan kepada rakyat. Cukuplah memenatkan rakyat dengan sekian banyak idea yang tidak diperhalusi baik buruknya terlebih dahulu. Kalau masih di peringkat yang mentah, perhalusi dulu, minta pandangan pihak yang arif dan tidak perlu berlumba-lumba menjadi bahan berita kepada media.
Ada kalanya kita menganggap idea yang terloncat keluar selepas bangun dari tidur itu sangat matang dan terbaik. Tetapi banyak juga idea yang mendadak itu tidak lebih idea mentah, bukan satu yang konkrit untuk dilaksanakan. Bertenang sahajalah apabila diserang idea, simpan dan peram dulu supaya lebih matang sebelum diumumkan.
Ketua Persuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohd Shukri Abdull juga telah diserang idea. Beliau mencadangkan kepada Kementerian Pendidikan supaya subjek pencegahan rasuah dimasukkan dalam kurikulum di sekolah. Bukan sekadar subjek tetapi wajib.
Alasannya, kerana ada kes rasuah berlaku di sekolah oleh guru dan juga pelajar misalnya ada guru meminta habuan seks daripada pelajar untuk lulus dalam peperiksaan. Tetapi malangnya beliau tidak memberikan statistik hingga mewajarkan subjek cegah rasuah dijadikan subjek wajib di sekolah.
Selain itu Shukri berkata beliau mahu supaya sikap membenci rasuah ditanam pada usia yang muda untuk mengelakkan mereka terjebak dengan rasuah apabila berada dalam sektor pekerjaan apabila dewasa nanti. Tujuannya memang baik dan boleh dilaksanakan tanpa menjadikan subjek wajib di sekolah.
Kenapa Shukri tidak mencadangkan supaya diperkasakan subjek pendidikan Islam (untuk pelajar Islam) dan pendidikan moral untuk pelajar bukan Islam? Bukanlah semua agama, kaum dan budaya melarang keras perbuatan rasuah; sama ada memberi atau menerima? Subjek pendidikan Islam bertujuan membina pekerti pelajar dengan cara hidup Islam, dengan sendirinya termasuk soal rasuah.
Sementara subjek pendidikan moral pula menerapkan elemen yang menjurus pada pembinaan sifat amanah atau integriti. Perbuatan rasuah disebabkan tidak ada amanah. Maka kalau elemen amanah itu tidak mencukupi cadangkan penambahbaikan. Tidak perlu satu subjek baru khusus untuk cegah rasuah.
Selepas SPRM mencadangkan subjek cegah rasuah, bagaimana pula kalau PDRM mencadangkan subjek cegah rompak dan Jabatan Penjara Malaysia mencadangkan subjek cegah masuk penjara? Bukankah semua itu boleh diterapkan dalam pendidikan Islam dan pendidikan moral?
Yang Shukri beritahu mengenai habuan seks itu pun termasuk dalam bidang agama Islam. Kalau pelajar dan guru yang memahami larangan dalam Islam, mereka tidak melakukan dua perkara yang itu, seks luar nikah dan rasuah. Islam tidak boleh dilihat secara berasingan dalam khidupan sosial kerana Islam sebenarnya satu cara hidup.
Sebenarnya yang dicadangkan oleh Shukri itu sudah ada dalam sukatan pelajaran di sekolah aliran kebangsaan di negara ini. Subjek pendidikan Islam dan pendidikan moral telah merangkumi pencegahan rasuah dan lain-lain perbuatan yang tidak selari dengan agama, tidak beretika dan tidak bermoral.
Harap Kementerian Pendidikan tidak tergesa-gesa menerima cadangan mewujudkan subjek cegah rasuah di sekolah aliran kebangsaan. Anggaplah cadangan Shukri itu satu penambahbaikan pada subjek pendidikan Islam dan pendidikan moral.